Thursday, March 6, 2014

Mendokumentasi khazanah negara


SARAWAK Chamber di Taman Negara Mulu mempunyai ruang bawah tanah terbesar di dunia hingga mampu menampung 40 buah kapal terbang Boeing 747.


HANYA 30 minit lagi, kakinya akan menjejak ke Taman Negara Mulu selepas menaiki penerbangan dari Miri, Sarawak.
Meskipun sudah lima kali berkunjung ke Mulu, Diana Rose, 40, masih teruja dan bersedia menerokanya semula.
Apa yang pasti, Diana mahu menikmati keindahan alam semula jadi di samping menyaksikan semula contoh terbaik luluhawa batu kapur tropika termasuk kawasan rabung batu kapur yang tajam, ngarai dan curam hingga digelar sebagai The Pinnacles itu.
Menariknya, kata Diana, taman negara tersebut memiliki bentuk geografi yang unik terdiri daripada gua batu kapur, lingkaran air batu yang jernih dan dilitupi oleh hutan dara tropika.
"Taman Negara Mulu bukan hanya untuk orang-orang yang inginkan ketenangan daripada kesibukan kota tetapi sesuai kepada mereka yang menginginkan kegiatan lasak.
"Taman negara ini juga menawarkan pelbagai aktiviti pilihan dalam meneroka keindahan Gunung Mulu termasuk trek mendaki yang sukar tetapi ia sangat berbaloi," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Diana yang berasal dari Mukah memberitahu, taman negara tersebut boleh dikunjungi menggunakan pesawat dari Miri dan terus ke Taman Negara Mulu.
Bagaimanapun, katanya, bagi yang inginkan cabaran, mereka boleh pergi ke Mulu menggunakan jalan lain iaitu menggunakan bot ekspres dari Kuala Baram, Miri ke Marudi dan kemudian ke Taman Negara Mulu.
Ceritanya, bagi yang pertama kali datang ke Mulu, pasti berasa kagum dengan rangkaian-rangkaian gua terpanjang di dunia yang terdapat di Mulu selain Sarawak Chamber iaitu ruang bawah tanah terbesar di dunia hingga mampu menampung 40 buah kapal terbang Boeing 747.

WARISAN Arkeologi Lembah Lenggong yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Ipoh, Perak diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.


"Sukar untuk menggambarkan bagaimana perasaan saya ketika pertama kali melawat Gua Rusa iaitu gua yang mempunyai terowong terbesar di dunia.
"Saya juga tertarik dengan Gua Air Jernih iaitu gua paling panjang di Asia Tenggara yang menjadi tempat tinggal berjuta-juta kelawar dan burung layang-layang yang berterbangan keluar menjelang waktu senja," jelasnya.
Begitulah pengalaman mengunjungi tapak warisan semula jadi yang mendapat pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) itu.
Taman Negara Mulu diwartakan sebagai Taman Negara pada 3 Oktober 1974 dan terletak di hulu Sungai Tutuh dengan keluasan 544 kilometer persegi dan ia dikategorikan sebagai warisan ketara di negara ini.
Itu cerita warisan ketara, lain pula ceritanya bagi warisan tidak ketara yang menumpukan kepada soal permainan, bahasa dan persuratan, busana, seni, makanan, lauk-pauk, perubatan tradisional, adat serta budaya.
Makanan warisan
Menurut Pakar Makanan yang juga selebriti, Cef Kamarul Hasni Che Ros, 39, perlu satu tindakan yang lebih ke depan dalam usaha mengangkat makanan-makanan di Malaysia sebagai warisan negara.
Misalnya, nasi lemak, kata Kamarul, makanan tersebut seharusnya sudah diangkat sebagai warisan negara memandangkan ia sudah menjadi makanan ruji kepada seluruh lapisan masyarakat di Malaysia.
"Nasi lemak bukan lagi makanan pilihan, tetapi menjadi makanan wajib seb6agai sarapan pagi di negara ini bahkan hidangan itu turut dimakan pada waktu lain termasuk tengah hari, petang dan malam.
"Jadi, tidak salah jika makanan seumpama ini diangkat sebagai makanan warisan negara. Jangan nanti ada negara lain seperti Singapura, Indonesia mahupun Brunei mendapatkan hak warisan terhadap makanan itu dan akhirnya kita berputih mata," ujarnya.
Kamarul menegaskan, negara lain sentiasa berusaha untuk mengangkat makanan-makanan yang ada di negara mereka sebagai warisan hinggakan ada hidangan yang mengambil sempena nama negara itu sendiri seperti mihun Singapura.
Selain Singapura katanya, Indonesia turut mempunyai nasi lemak yang dipanggil nasi uduk, meskipun ada sedikit perbezaan tapi ia banyak persamaan dengan sajian berkenaan.
"Malaysia selalu terkebelakang dalam soal mengiktiraf atau mendapatkan hak dan paten makanan sebagai warisan negara selain kurang mendokumentasikan khazanah-khazanah seumpama itu.
"Seharusnya, pihak yang bertanggungjawab perlu bekerjasama dengan pemain industri untuk mencari mekanisme bagaimana untuk mengangkat warisan-warisan negara ini," katanya yang turut mencadangkan perlu ada piawaian dan keseragaman dalam usaha untuk menjadikan nasi lemak sebagai warisan tidak ketara itu.

MEK Jah mempersembahkan tarian makyung yang diiktiraf sebagai warisan dunia oleh UNESCO pada tahun 2005.


Iktiraf
Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan), Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Rosnan Abdul Rahman, 41, sependapat dengan Kamarul bahawa warisan negara seharusnya didokumentasi serta dibukukan supaya tidak luntur dek panas, tak lekang dek hujan.
Rosnan yang merupakan satu-satunya pakyung lelaki dalam seni persembahan teater tradisional makyung memberitahu, masih banyak bidang seni dan budaya di negara ini yang belum lagi diangkat atau diiktiraf sebagai warisan negara seperti makyung yang mendapat pengiktirafan daripada UNESCO pada tahun 2005.
Antara kebudayaan dan kesenian yang boleh diangkat sebagai warisan ialah wayang kulit, mek mulung, tarian barongan, tarian asyik, tarian hadrah, gamelan, ghazal, dikir rebana, boria, dikir barat, cak lempung dan sebagainya.
"Makyung misalnya, adalah satu-satunya bentuk kesenian rakyat negara ini yang telah diangkat menjadi antara warisan dunia sekali gus memperlihatkan betapa tinggi nilainya.
"Justeru, kita mahu warisan kesenian dan kebudayaan lain di negara ini turut mendapat pengiktirafan yang sama dan harus dipertahankan dari generasi ke generasi seterusnya," katanya yang pernah mewakili Malaysia mengadakan persembahan di New York, Amerika Syarikat dan Paris, Perancis.
Dalam pada itu, Rosnan menjelaskan, di negara-negara luar terdapat panggung tradisional yang khusus untuk persembahan kebudayaan mereka seperti persembahan opera di China serta kabuki di Jepun yang identitinya dikenali seluruh dunia.
"Di Malaysia, kita tidak ada panggung khas untuk makyung sedangkan ia sudah bertaraf warisan dunia. Saya berharap kita tidak hanya menang pada nama, tetapi kita juga harus menang dalam mempersembahkan warisan budaya sendiri kepada dunia luar," katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: