Tuesday, March 4, 2014

Lambaian glamor Flora Terrace


FLORA Terrace diibaratkan taman mewah untuk kunjungan setiap lapisan masyarakat.


SETIAP pelanggan restoran Flora Terrace pasti akan menguntum senyuman sebaik melangkah masuk ke dalam restoran berkenaan. Barangkali mereka terpukau dengan panorama sederhana ruang makan eksklusif itu. Mungkin juga latar warna putih dan kelabu dalam restoran membuai perasaan mereka.
Konsep Glam Hollywood bawaan restoran di pusat bandar raya Kuala Lumpur itu sangat gah. Kebijaksanaan susun atur meja dan kerusi, padanan warna lembut dan pencahayaan senada, hiasan bunga pastel dan lilin kuning cair menjadi sandaran luar biasa Flora Terrace.
Sejak dibuka pada tahun 2012, restoran itu telah menerima kehadiran ramai individu popular. Antaranya ialah penyanyi adik-beradik, Ziana Zain dan Anuar Zain; pelakon dan pengacara, Rozita Che Wan dan beberapa kelompok orang kenamaan.
RUANG dalam restoran ini mampu memuatkan kira-kira 100 orang pada satu-satu masa.


Pandangan awal para pelanggan ke sini selalunya, makanan di restoran ini pasti mahal harganya.
Jika anda salah seorang yang belum pernah melewati Flora Terrace yang terletak di pinggir Persiaran Hampshire, Jalan Mayang Sari, Kuala Lumpur dan menyimpan tanggapan itu, anda silap. Restoran berkenaan bukan untuk orang kaya, malah golongan berpendapatan sederhana juga mampu merasai pengalaman gastronomi di situ.
Ia diibaratkan taman mewah untuk kunjungan segenap peringkat individu.
Berbanding restoran mewah yang ada di Kuala Lumpur, Flora Terrace memiliki keseimbangan sempurna dari segi harga, kuantiti dan kualiti. Malah, ia tidak menghidangkan apa jua minuman atau makanan bercampur alkohol.

SPAGETI ikan masin antara menu yang wajib dicuba pelanggan.


Rangkuman menu tempatan restoran ini pula ringkas. Pilihan sajian warisan Johor menjadi keutamaan. Hidangan asam pedas, mi bandung, laksa dan nasi hujan panas antara seleksi menarik untuk dicuba.
Penggemar mi rebus juga tidak akan kecewa. Kepekatan kuah dan rencah serta mi yang dihidang dalam mangkuk besar pasti memberi kepuasan kepada setiap yang merasa.
Menu istimewa seperti spageti ikan masin juga wajib dipesan pelanggan. Gabungan cita rasa Barat dan tempatan sajian ini telah menambat ramai pelancong asing.
Menu tempatan
“Kami juga memperkenalkan konsep makan secara hidang. Bagi set menu tempatan, ia akan didatangkan dengan hidangan daging masak hitam dan ayam masak lada hijau. Salad campur, sup bawang Perancis dan pasta aglio olio pula antara yang tersenarai dalam set sajian Barat.
“Setiap hari Jumaat, kami menyediakan hidangan bufet pada harga RM28++ bermula pukul 12.30 tengah hari hingga 3 petang,” jelas Eksekutif Jualan dan Pemasaran Flora Terrace, Syed Safwan Syed Rahmatullah ketika ditemui baru-baru ini.

KIRI: Penggemar hidangan mi rebus pasti tidak kecewa dengan kekayaan rasa yang ditawarkan.


Menerusi set hidang, pelanggan dengan dua orang hanya perlu membayar RM150++. Selain disajikan dengan variasi menu utama dalam kuantiti yang memuaskan, puding jagung atau coklat juga siap untuk dipilih sebagai pencuci mulut.
Sekiranya mahu makan secara ala carte, kami sarankan anda memesan menu ringan klasik berupa ubi rebus atau goreng dan pisang sira. Sajian yang jarang ditemui ini pasti akan mengembalikan memori manis anda terhadap kampung halaman.
Sebagai restoran yang tinggi nilai dekorasinya, Flora Terrace mampu diubah suai menjadi ruang acara yang elegan.
Justeru, ia banyak menerima tempahan bagi majlis pertunangan, perkahwinan atau acara makan malam syarikat.
Ruang dalamnya boleh memuatkan 100 orang, sementara bahagian luar atau sinonim sebagai zon teres pula mampu menghimpunkan kira-kira 150 jemputan menggunakan meja bulat pada satu-satu masa.
Tambah Syed Safwan, kadar sewa bagi keseluruhan restoran adalah pada harga RM1,000 untuk tempoh lima jam. Selain itu, Flora Terrace turut menyediakan khidmat katering luar.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: