TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggandakan kuasa tempur armadanya apabila sebuah daripada dua kapal korvet kelas Kasturi yang ditingkat upaya di bawah Program Pemanjangan Hayat Kapal (SLEP) siap baru-baru ini.
Program SLEP meningkatkan sistem pemerintahan dan kawalan serta sistem persenjataan Kapal Diraja (KD) Kasturi sejajar dengan kehendak spektrum peperangan maritim terkini.
KD Kasturi seberat 1,720 tan dibina di Kiel, Jerman oleh syarikat Howaldtswerke-Deutsche Werft (HDW) pada tahun 1982 sebelum ditauliahkan ke dalam armada TLDM dua tahun kemudian.
Sebuah lagi kapal kelas sama, KD Lekir pula dibina pada tahun 1983 bagi melengkapkan Skuadron Kapal Korvet Ke-24 TLDM.
Kedua-dua korvet ini dilengkapi meriam utama Creusot-Loire Compact kaliber 100 milimeter (mm), dua meriam kaliber 30 mm Emerlec Mk.74, mortar antikapal selam Limbo Mk 10 dan empat sistem pelancar peluru berpandu antikapal Exocet MM38.
Korvet kelas Kasturi dibina berdasarkan rekaan Blohm + Voss FS 1500 menggunakan konsep modular yang membenarkan kapal ini dinaik taraf dengan mudah jika perlu pada masa hadapan.
Kapal sepanjang 97 meter (m) dengan 124 pegawai dan anak kapal ini boleh belayar untuk rondaan sejauh 6,100 kilometer (km).
Firma HDW turut membina kapal jenis sama untuk Tentera Laut Colombia iaitu Kelas Almirante Padilla.
Dinaik taraf
Setelah melepasi jangka hayat 25 tahun, KD Kasturi dan KD Lekir perlu dinaik taraf bagi memanjangkan jangka hayat perkhidmatannya sehingga 15 tahun lagi.
Pada Pameran Udara dan Maritim Langkawi 2007 (LIMA ‘07), firma perkapalan tempatan, Boustead Naval Shipyard (BNS) diberi tanggungjawab melaksanakan Program SLEP dua korvet ini dengan kontrak bernilai RM703.8 juta.
Program naik taraf ini bagi memperkasakan sistem pertahanan kapal meliputi sistem peralatan elektronik, sistem pengurusan tempur, sensor dan radar, sistem tindak balas elektronik, komunikasi dan sistem persenjataan.
Sistem pengurusan pertempuran laut kapal ini digantikan dengan sistem TACTICOS CMS yang dibangunkan oleh Thales dari Perancis.
Sistem baharu ini merupakan nadi utama KD Kasturi bagi meningkatkan kesiapsiagaan tempur kapal menerusi capaian terhadap maklumat-maklumat ancaman yang diterima pada masa hakiki.
Meriam utama kapal pula digantikan dengan Bofors 57mm/70 yang dipasang sistem elektronik dan sensor terbaharu.
Ampuh
Walaupun kalibernya lebih kecil berbanding meriam sebelumnya tetapi ia cukup ampuh kerana mampu menembak sebanyak 220 butir peluru seminit pada sasaran sehingga sejauh 17,000m.
Dua laras meriam kaliber 30mm buatan MSI-Defence System pula dipasang di sisi kapal sebagai pertahanan jarak dekat.
Ketiga-tiga jenis meriam ini pula boleh disepadukan untuk memberi perlindungan terhadap ancaman serangan udara aras rendah, termasuk sebagai payung perlindungan udara kepada kapal-kapal lain semasa pelayaran sama.
Kini, kapal ini mampu menjalankan operasi antikapal selam apabila dipasang dua sistem pelancar Eurotorp B515 bagi melancarkan torpedo jenis A244S Whitehead ASW.
Torpedo jenis ini turut digunakan oleh dua lagi kapal perang TLDM iaitu frigat kelas Laksamana, KD Jebat dan KD Lekiu.
Sistem peluru berpandu antikapal pula digantikan dengan lapan pelancar Exocet MM40 Block 2 yang mampu menujah ke sasaran sehingga sejauh 160km pada kelajuan kira-kira 1,100km sejam.
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar ketika ditemui baru-baru ini memberitahu, program SLEP dapat menjimatkan perbelanjaan pertahanan negara.
Menurut beliau, KD Kasturi yang kini menjalani ujian penyesuaian di laut dijangka menyertai semula armada TLDM tidak lama lagi.
“Program ini adalah pelengkap di sebalik keperluan TLDM untuk memiliki kapal-kapal perang baharu di samping membuktikan keupayaan syarikat pertahanan tempatan.
“Dengan kelengkapan tempur terkini, KD Kasturi dan KD Lekiu merupakan aset TLDM untuk melindungi kedaulatan perairan negara,” ujar beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: