Friday, March 7, 2014

Jualan amal kutip dana



SEJAK di bangku sekolah lagi anak-anak kecil telah didedahkan dengan amalan membantu dan merawat mereka yang memerlukan pertolongan menerusi unit beruniform Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).
Bukan sahaja diajar cara-cara mencuci luka, malah para pelajar turut diberi pengetahuan asas tentang cara menyelamatkan nyawa seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR). Pengetahuan pertolongan cemas yang diterapkan oleh BSMM itu merupakan antara persiapan terpenting dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan termasuk kemalangan.
Tahun ini, BSMM yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Persatuan Palang Merah, sudah berusia 56 tahun. Sungguhpun demikian, namanya tetap utuh sebagai badan penggerak yang menjaga kesejahteraan rakyat Malaysia.
Bukan sekadar menyediakan perkhidmatan ambulans dan kesihatan, menganjurkan inisiatif kutipan darah serta pengurusan bencana, organisasi tersebut tanpa henti meneruskan usaha membantu golongan yang memerlukan.
Sehubungan itu, pada 26 Januari dan 23 Februari lalu, BSMM telah menganjurkan jualan amal di Laman Lanai di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur yang menerapkan nilai membeli sambil menderma dalam kalangan masyarakat.
Turut turun padang dan meninjau sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai itu ialah Pengerusi Kebangsaan BSMM, Tunku Tan Sri Shahriman Tunku Sulaiman dan Timbalan Kebangsaan BSMM, Datuk Dr. Noordin Ab. Razak.
SHARIZAN (tengah) mempelajari teknik CPR dengan bantuan ahli paramedik.


Mengumpul dana
Menurut Tunku Shahriman, acara tersebut merupakan aktiviti yang sering dijalankan oleh BSMM bagi mengumpul dana.
“Pada hari ini, terlalu banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan perkhidmatan sokongan dan bantuan. Ia adalah suatu fenomena yang sihat.
“Bagaimanapun, situasi tersebut telah mewujudkan persaingan dalam memperoleh dana, terutamanya kepada BSMM. Justeru, bagi mengatasi masalah tersebut, pihak kami kerap menjalankan aktiviti luar yang melibatkan orang ramai,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada jualan amal itu baru-baru ini.
Acara dua hari itu menawarkan pakaian baharu yang disumbangkan oleh pengeluar jenama pakaian popular, kasut, aksesori, peralatan karaoke, alat permainan kanak-kanak, kit pertolongan cemas, makanan dan minuman.
Menurut Tunku Shahriman, acara jualan amal tersebut juga merupakan suatu bentuk perolehan dana yang tepat kerana ia mewujudkan situasi menang- menang kepada kesemua pihak terlibat.
Mengulas lanjut tentang cabaran yang dipikul BSMM pada hari ini, katanya, pihaknya akan terus menyumbangkan bakti kepada masyarakat setempat dan antarabangsa selain menjalankan aktiviti-aktiviti yang mampu menyediakan dana untuk kumpulan sasar.
Antara bentuk kutipan lain dilakukan BSMM ialah menyewakan dewan bangunan miliknya yang terletak berdekatan Jalan Belfield, Kuala Lumpur kepada orang awam dan menyediakan perkhidmatan pertolongan cemas pada acara-acara besar.

WALAUPUN usia penubuhan sudah mencecah lima dekad, BSMM tidak pernah berhenti daripada menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.


Dalam pada itu, seorang pengunjung, Norzainah Mohd. Isa, 51, berkata, penganjuran acara itu secara tidak langsung memberi peluang kepadanya untuk membantu golongan yang memerlukan.
“Kita sering melihat berita di televisyen menyeru masyarakat untuk sama-sama meringankan beban individu atau komuniti tertentu, namun kekangan masa, terutamanya bagi mereka yang bekerja menjadi faktor penghalang.
“Jadi, aktiviti jualan amal ini merupakan kaedah paling berkesan kerana di samping membeli barang keperluan, secara tidak langsung saya juga dapat menderma kepada dana BSMM,” katanya yang telah membeli dua helai seluar.
CPR
Norzainah mengunjungi acara itu setelah dimaklumkan oleh rakan-rakannya.
Acara yang bermula dari 10 pagi hingga 6 petang itu dimeriahkan lagi dengan slot cara-cara CPR bersama orang awam.
Turut mengambil bahagian ialah kakitangan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Sharizan Samad, 36, bersama empat orang anaknya.
Dia berpeluang mempelajari teknik-teknik pengepaman jantung secara luaran menggunakan tangan dan bantuan pernafasan.
Sharizan berkata, peluang tersebut sememangnya satu ilmu yang sangat berharga dan harus dipelajari oleh semua orang.
“Kaedah menyelamat ini amat penting, apatah lagi mereka yang sudah mempunyai keluarga seperti saya. Jika berlaku kemalangan, kita dapat menghulurkan pertolongan kepada mangsa sebelum pasukan penyelamat tiba.
“Setiap saat itu sangat berharga dan pertolongan cemas yang diberikan mungkin dapat menyelamatkan nyawa mangsa,” jelasnya.

BSMM turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada orang awam.


Latihan
Sementara itu, Setiausaha Eksekutif BSMM, Nor Aziah Budin berkata, BSMM turut mengadakan pembelajaran pertolongan cemas dari rumah ke rumah yang dilakukan sejak tahun 2006.
Sehingga kini, lebih 1.5 juta penduduk Malaysia telah diberi latihan dengan nisbah seorang bagi setiap kediaman menjadi ahli BSMM.
“Kami sentiasa mengalu-alukan permintaan untuk mempelajari cara pertolongan cemas yang disediakan secara percuma.
“Selain memberi pendidikan kepada orang ramai tentang asas rawatan, BSMM juga menyediakan 12 buah ambulans yang beroperasi 24 jam kepada orang ramai secara percuma menerusi talian kecemasan 999,” jelasnya.
Ujarnya lagi, BSMM juga membuka peluang kepada orang ramai menjadi sukarelawan dalam memberi bantuan atau perkhidmatan dengan cara yang altruistik tanpa sebarang keuntungan.
Aktiviti berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup dengan menanamkan nilai jati diri, menghormati insan lain dan kepuasan peribadi.
“Sukarelawan akan dilatih khususnya dalam bidang perubatan, pendidikan dan kru pertolongan cemas,” katanya sambil memaklumkan, yuran keahlian tahunan sebanyak RM2 dikenakan untuk lima tahun pertama bagi mereka yang berminat menjadi sukarelawan.
Sehingga kini BSMM mempunyai 15 cawangan dengan 148 pusat perkhidmatan di setiap daerah, di samping kira-kira 320,000 ahli seluruh negara. Maklumat lanjut, mengenai BSMM boleh diperoleh menerusi laman rasminya di www.redcrescent.org.my.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: