
ROMIE (kiri) bersama peguamnya, Rubiah manakala Hanez pula hadir bersama peguamnya, Wan Nurliyana (dua dari kanan) dalam satu sidang akhbar khas yang berlangsung semalam.
SEJAK mengumumkan akan berkahwin pada tahun ini, nama Hanez Suraya cukup hangat. Semuanya bermula apabila pelakon berusia 29 tahun itu merahsiakan status dan identiti bakal suaminya yang dikenali sebagai Romie Razin Adilha, 34.
Pelbagai spekulasi timbul sehingga membuatkan Hanez terlanjur kata bahawa lelaki itu duda anak dua meskipun hakikat sebenarnya kekasihnya masih bergelar suami yang sah kepada wanita bernama Nurliyana Abd. Manan.
Menyedari kesilapannya, Hanez telah pun membuat permohonan maaf secara terbuka. Tidak cukup dengan itu, dakwaan isteri kekasihnya Hanez punca keretakan rumah tangganya dalam sebuah akhbar mingguan telah mengeruhkan lagi keadaan.
Kontroversi ini telah memberi impak yang negatif terhadap kerjaya dan nama baik Hanez menyebabkan pelakon itu tampil membuat sidang akhbar di Hotel One World, Damansara, Selangor semalam.
Dalam sidang akhbar yang berlangsung dengan tenang itu, Hanez ditemani kekasihnya dan juga peguam masing-masing iaitu Rubiah Jaffar dan Wan Nurliyana Abdul Rahman.
Ikuti sesi soal jawab antara pihak Hanez dan juga media.
Kosmo!: Apakah tujuan Hanez membuat sidang akhbar ini?
HANEZ: Tujuan saya membuat sidang akhbar ini adalah untuk membersihkan nama daripada fitnah yang dilemparkan kepada saya.
Boleh Hanez komen apabila dituduh sebagai perosak rumah tangga orang lain.?
HANEZ: Pertama kali saya jumpa Romie pada 20 Disember tahun lalu. Walhal masalah rumah tangga yang dihadapinya telah wujud sebelum dia mengenali saya.
Romie: Saya tidak mahu aibkan sesiapa kerana kes perceraian saya dengan isteri masih berjalan di mahkamah. Apa yang saya boleh beritahu, isteri saya telah memfailkan perceraian sebanyak dua kali, pertama pada 1 April 2011 dan kali kedua pada 8 Oktober 2013.
Dalam kedua-dua permohonan perceraiannya puncanya langsung tidak menyebut tentang orang ketiga.
Kami juga sudah tidak tinggal sebumbung sejak 15 Ogos tahun lalu apabila isteri saya bertindak keluar dari rumah. Saya telah berinya tempoh tiga bulan untuk kembali taat tetapi dia masih ingin meneruskan niatnya untuk bercerai.
Bagaimanakah dengan bukti-bukti gambar percutian kalian di Bangkok, Thailand yang dikeluarkan baru-baru ini?
HANEZ: Kami bukan pergi berdua seperti yang didakwa, sebaliknya seramai tujuh orang termasuk adik-beradik Hanez. Kami pergi bercuti, dalam masa yang sama memberi barang untuk perniagaan adik saya.
RUBIAH (peguam Romie): Gambar-gambar tersebut telah ditolak oleh mahkamah sebelum ini kerana dalam permohonan perceraiannya, isterinya tidak langsung menyatakan orang ketiga sebagai punca dia memohon cerai.
Selepas gambar itu tidak boleh digunakan di mahkamah, dia menggunakan saluran media pula. Sepatutnya gambar tersebut tidak boleh disiarkan kerana telah mendapat arahan daripada mahkamah.
Hanez dilihat seolah-olah tidak sabar untuk berkahwin, walhal kes perceraian kekasih masih belum selesai. Komen?
HANEZ: Saya tidak pernah memberitahu siapa identiti bakal suami dan tarikh perkahwinan kerana saya mahu dia selesaikan masalahnya terlebih dahulu. Dia telah melamar saya sekitar bulan Januari lalu, saya akan tunggu kerana soal kahwin terpulang kepada pihak lelaki.
Andai pihak lelaki mahu mempercepatkan perkahwinan walaupun kes perceraiannya masih tidak selesai, siapa saya untuk menolak. Saya percaya jodoh itu ditentukan oleh Allah.
Mengapakah selepas segala kontroversi yang berlaku Hanez masih setia bersamanya?
HANEZ: Saya sukakannya kerana dia seorang lelaki yang jujur dan ikhlas untuk memperisterikan saya. Selepas apa yang berlaku, dia tidak pernah mengabaikan saya, malah sentiasa ada di sisi saya untuk memberi sokongan moral.
ROMIE: Sebagai lelaki, saya memujuknya dan memberi sokongan supaya dia kuat. Benda sudah berlaku, apa yang kita boleh lakukan adalah hadapinya dengan tenang.
Saya juga telah berjumpa dengan keluarganya tanda saya serius berkawan dengan Hanez, bahkan pihak Hanez tidak pernah desak saya untuk menceraikan isteri saya.
Bilakah tarikh sebenar kalian akan berkahwin?
ROMIE: Saya tidak boleh beritahu lagi kerana nanti kelihatan riak pula, biarlah saya mengikut kententuan Allah, andai kami ada jodoh, kami akan berkahwin. Biarlah kes perceraian saya selesai terlebih dahulu.
Apakah keistimewaan Hanez sehingga anda tertarik kepadanya?
Saya kenal Hanez selepas melihat dia berlakon dalam drama Love You Mr. Arrogant. Selepas itu, tidak sangka kami berjumpa dalam sebuah majlis di Shah Alam, Selangor.
Saya tertarik kerana dia seorang yang ringkas dan boleh menerima anak-anak saya. Apabila saya suka seseorang, saya akan usahakan sampai dapat.
Adakah Hanez bimbang karma akan datang kepada Hanez selepas berkahwin atas kekecewaan orang lain?
Tidak pernah. Apa yang penting keikhlasan dalam sebuah hubungan. Jika saya mampu beri kebahagian dan menjaganya dengan baik, rasanya saya tidak perlu risau tentang karma.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: