Wednesday, March 5, 2014

CCTV rakam aksi pecah masuk


  • CCTV rakam aksi pecah masuk pusat latihan komputerAntara aksi penjenayah yang didakwa memecah masuk pusat latihan komputer menyebabkan mangsa kerugian RM15,000.

SUBANG JAYA – Sebuah pusat latihan komputer yang baru sehari beroperasi di USJ 1 dekat sini dipecah masuk menyebabkan pemiliknya kerugian hampir RM15,000.

Dalam kejadian 24 Februari lalu itu, lelaki berkenaan dipercayai memanjat bahagian belakang premis yang terletak di tingkat 1 sebelum lolos masuk ke ruang pusat latihan berkenaan.

Aksi selamba gerak-geri lelaki itu ketika berada dalam premis berjaya dirakam CCTV yang dipasang pemiliknya, Sam Suresh, 27.

Mangsa memberitahu meninggalkan pusat latihan berkenaan kira-kira jam 7.05 petang dalam keadaan berkunci.

Dia terkejut apabila mendapati empat komputer riba dan sebuah kamera berjenama terkenal ghaib sebaik memasuki premis keesokannya.

Setelah membuat pemeriksaan, dia mendapati tingkap terletak di bahagian belakang pecah dan apabila CCTV dimainkan semula, terdapat seorang lelaki berada dalam premisnya kira-kira jam 7.54 malam.

Sam berkata, dia tidak pasti bagaimana penjenayah terbabit memanjat masuk ke premis yang baru dibelinya dan tidak tahu bagaimana penjenayah itu tahu terdapat barang berharga meski baru sehari beroperasi.

“Dalam rakaman CCTV itu jelas menunjukkan gerak geri penjenayah tersebut selamba ke sana dan ke sini mencari barang berharga untuk dilarikan.

“Yang membuatkan saya terkejut, lelaki itu datang kembali ke pusat latihan ini kira-kira jam 9.30 malam untuk mencuri barang kali kedua. Mungkin kali pertama dia tak cukup tangan kerana melakukan jenayah itu berseorangan," katanya.

Sam turut akui terkejut apabila majoriti pemilik premis berhampiran memberitahu premis mereka juga pernah di pecah masuk.

“Saya minta polis buru suspek ini kerana dia seolah-olah seperti penjenayah profesional kerana tahu kabel dan wayar mana perlu diputuskan sebelum melakukan jenayah,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis  USJ 8, 25 Februari lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: