![]()
SHARIMAN
|
KUCHING – Seorang penjual ikan dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam setelah mengaku bersalah melakukan rompakan bersenjata di kediaman Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya, di Jalan Sultan Tengah di sini Ogos tahun lalu.
Hakim Nixon Kennedy Kumbong menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohammad Shariman Alwi, 30, yang didapati bersalah mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan serta dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Menurut Kumbong, hukuman yang dijatuhkan itu setimpal dengan apa dilakukan oleh tertuduh sehingga mengakibatkan kerugian besar serta trauma kepada mangsa.
Hukuman tersebut hanya akan berkuat kuasa selepas Mohammad Shariman selesai menjalani hukuman penjara tujuh tahun dan lima sebatan lain bagi kesalahan ragut yang telah disabitkan ke atasnya oleh mahkamah sama pada 10 Oktober tahun lalu.
Ini menyebabkan, tertuduh terpaksa menjalani hukuman keseluruhan selama 21 tahun penjara serta 18 sebatan bagi kesalahan ragut dan menceroboh rumah Mufti itu.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd. Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut tuduhan, Mohammad Shariman bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas menceroboh masuk ke rumah Juanda di Jalan Sultan Tengah di sini pada pukul 4.30 pagi 16 Ogos 2013 dengan membawa bersama sebilah pedang samurai.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: