Wednesday, March 5, 2014

Aiman mahu kembali menyanyi

AIMAN mengakui teruja untuk meneruskan langkah dalam dunia lakonan teater selepas pertama kali muncul menerusi pementasan, Bidasari.


LANGKAH bermula menerusi program pencarian bakat nyanyian, Mentor 5 pada tahun 2011, Aiman Hakim Ridza kini nampak selesa mencongak kerjaya dalam arus dunia lakonan.
Seperti meminggirkan kerjaya nyanyiannya, harus diakui kredibiliti Aiman di pentas seni suara tidak secerah kualiti dalam bidang nyanyian.
Atas dasar itu, keselesaan itu barangkali menjadi bekal untuk protege Rahim Maarof itu untuk terus berkelana dalam dunia yang lebih terjamin dan mudah meraih populariti itu.
Paras rupa dan ketinggian sebagai bonus buat anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu mencipta fenomena tersendiri.
Selepas drama bersiri Vanilla Coklat, Indera Joned, Friday I’m In Love, Rindu Bertamu Di Abu Dhabi, Diandra dan terkini, Projek Memikat Suami, mungkin Aiman sendiri sudah sebati dengan dunia lakonan.
Aiman yang ditemui pada acara Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur di Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini menerangkan lebih lanjut mengenai prioriti dalam kerjayanya.
Ikuti temu bual pelakon tinggi lampai ini bersama Kosmo!.
Kosmo!: Selepas satu persatu drama lakonan Aiman dan terbaharu selesai pementasan teater bangsawan Bidasari, apa pula selepas ini?
AIMAN HAKIM RIDZA: Kalau boleh setiap hari saya mahu belajar perkara baharu, tidak kira teknik berlakon atau kemahiran untuk menguasai pelbagai emosi berbilang watak. Insya-Allah, kalau ditawarkan untuk berlakon teater lagi saya akan terima sebab sudah mula rasa seronok. Buat masa sekarang, saya berehat seketika selepas tamat pementasan teater Bidasari pertengahan bulan Februari lalu.
Apakah pengalaman berharga yang dikutip daripada pementasan teater bangsawan Bidasari sepanjang tujuh hari?
Hari pertama memang huru-hara, sukar untuk saya biasakan diri dengan pentas. Memang ada kritikan saya terima, tapi hari demi hari saya perbaiki kekurangan daripada pihak saya. Puasnya teater kerana sarat dengan ilmu seni yang tidak dapat melalui penggambaran drama.
Berlakon dengan pelakon teater yang sudah berpengalaman, adakah mungkin Aiman hilang fokus apabila mereka boleh memanipulasi keadaan dengan mudah berbanding Aiman sendiri?
Mereka nama-nama besar seperti Raja Azura dan Datuk Jalaludin Hassan yang boleh ‘makan’ saya kalau terleka. Sepanjang 10 kali pementasan selama tujuh hari saya sedikit sebanyak boleh menggenggam apa maknanya pentas dan mengenalpasti corak permainannya.
Ke arah manakah pementasan teater itu membawa hala tuju karier Aiman sendiri?
Sejujurnya, teater ini telah mengembalikan keyakinan yang hilang ketika menyertai Mentor 5 sebelum ini. Itulah ilmu percuma yang saya tidak dapat sebelum ini. Teater ini permulaan semula untuk saya kembali aktif dalam bidang nyanyian dan memang menyanyi adalah cita-cita saya yang tidak akan saya ketepikan. Malah, single pertama saya berjudul Buatmu Cinta menjadi runut bunyi drama Projek Memikat Suami yang sedang ditayangkan sekarang.
Apakah lagi drama lakonan Aiman yang sedang ditayangkan di kaca televisyen sekarang dan projek lain yang sedang diusahakan anda?
Projek Memikat Suami ditayangkan di Astro Ria), 7 Suami (TV9) dan Antara Laut China Selatan (TV2). Selain itu, saya sedang mengusahakan bisnes keluarga iaitu sebuah studio jamming, penerbitan iklan dan pengurusan acara di Ara Damansara, Selangor.
Apabila watak lakonan Aiman dilihat hampir sama dalam setiap drama dan telefilem, apakah impian Aiman untuk melihat perubahan corak karakter pada masa akan datang?
Saya akui kebanyakan karakter yang saya lakonkan kelihatan hampir sama dan mungkin juga pada skripnya. Ia bukan soal duit tapi lebih pada niat saya untuk belajar lebih banyak lagi. Teringin juga saya melakonkan watak seorang wartawan dan orang gila selepas ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: