Saturday, January 4, 2014

Uji ketahanan fizikal dan mental



DUA bulan sebelum menyertai perlumbaan BFM-The Intermark Race To The Top 2013, Muhammad Amir Firdaus Abdul Rahim, 24, telah mula membuat persiapan rapi.
Dua kali seminggu, dia akan ke gimnasium berdekatan kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor untuk melakukan senaman kardiovaskular seperti berlari yang mampu meningkatkan stamina dan ketahanan tubuh badan.
Walaupun tidak memasang impian untuk memenangi perlumbaan itu, dia tetap teruja kerana berpeluang menyertai perlumbaan larian menaiki tangga yang merupakan pengalaman baharu kepadanya.
“Setiap peserta perlu melakukan persediaan rapi sebelum menyertai pertandingan ini. Jika tidak, mereka pasti terkandas di tengah jalan dan terlepas peluang menyaksikan panorama ibu kota dari aras 63 Menara Vista ini,” ujar kakitangan swasta itu.
Muhammad Amir menyertai kategori terbuka berkumpulan bersama kakaknya, Nur Raihana, 31, dan abang iparnya, Khairul Rahimi Abdul Rahim, 31.
Menerusi kategori tersebut, setiap kumpulan yang mengandungi tiga orang ahli perlu menjelajah sekitar bangunan The Intermark dan menyelesaikan teka-teki serta cabaran fizikal sebelum menuju puncak Menara Vista.
Walaupun kelihatan mudah, peserta perlu berfikir untuk menyelesaikan teka-teki dan pada masa sama menggunakan tenaga untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan.
Menurut Muhammad Amir, setiap peserta perlu menyelesaikan teka-teki di setiap deretan premis perniagaan di tingkat bawah The Intermark.
“Walaupun sukar untuk mencari jawapan, namun halangan itu kami berjaya selesaikan. Bagi saya, cabaran utama sepanjang pertandingan ini ialah ketika menaiki tangga.
“Kami perlu berhenti di titik semak (checkpoint) di beberapa tingkat untuk melakukan cabaran salingan sebelum meneruskan perlumbaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas menamatkan perlumbaan.

PENGANJURAN pertandingan ini berjaya mengumpul dana berjumlah RM131,636.50 melalui yuran penyertaan dan tajaan untuk disalurkan kepada lima badan amal terpilih.


Kerjasama
Mengulas lanjut, katanya, peserta dikehendaki menaiki tangga ke tingkat 21 dan melakukan cabaran memasukkan bulu tangkis ke dalam bekas dengan menggunakan papan dan memakan buah-buahan tanpa memegangnya.
“Kami telah menggunakan banyak tenaga untuk menaiki tangga dan melakukan cabaran. Ia amat memenatkan,” ujar Muhammad Amir.
Beliau berkata, peserta dalam kategori terbuka berkumpulan juga boleh memilih cabaran lain ketika di checkpoint tingkat 21.
“Peserta perlu meniup daun terup keluar daripada garisan dan meninggalkan empat kad yang sama dalam petak bagi tugasan pertama.
“Bagi tugasan kedua pula, mereka perlu menyusun daun terup setelah diberi peluang untuk mengingatkan kedudukan asalnya selama seminit,” ujarnya.
Bagi Muhammad Amir, kerjasama merupakan kunci utama kepada setiap pasukan untuk melakukan tugasan sebelum sampai ke puncak Menara Vista.
Walaupun tidak memenangi kategori yang disertai, baginya, pertandingan itu juga merupakan peluang untuk mengeratkan lagi silaturahim sesama ahli keluarga.
BFM-The Intermark Race To The Top 2013 merupakan perlumbaan kali kedua yang dianjurkan oleh syarikat The Intermark Sdn. Bhd. selepas kejayaan pertandingan itu dua tahun lalu.
Edisi kali ini juga merupakan kolaborasi julung-julung kalinya bersama stesen radio perniagaan, BFM89.9.
Pertandingan yang dianjurkan pada 7 Disember lalu itu menarik penyertaan seramai 465 peserta dalam empat kategori iaitu terbuka korporat, berkumpulan terbuka, lelaki dan wanita.

PERLUMBAAN ini turut menarik penyertaan peserta-peserta dari negara asing.


Kutip dana
Selain menguji ketahanan mental dan fizikal peserta, pertandingan itu juga merupakan satu acara amal.
Hasil kutipan bernilai RM131,636.50 daripada pihak penaja dan yuran penyertaan peserta diagihkan kepada lima buah rumah amal untuk kanak-kanak sekitar ibu kota iaitu Persatuan Kebajikan Rumah Jaireh, Rumah Juara, Shelter Home, Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Ampang dan Yayasan Chow Kit.
Pemegang Amanah Yayasan Chow Kit, Tunku Abidin Tuanku Muhriz bertitah, dana yang disalurkan melalui perlumbaan itu sudah memadai untuk membantu operasi pertubuhan tersebut bagi membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik.
Titahnya, sumbangan itu sekurang-kurangnya dapat menambah dana untuk kegunaan operasi dan aktiviti pada masa hadapan.
“Pihak kami amat menghargai sumbangan yang diberikan oleh pihak penganjur kepada rumah amal ini.
“Yayasan Chow Kit memerlukan dana sebanyak RM1.2 juta setahun untuk program, aktiviti dan operasi,” katanya.
Para peserta dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM89.90 untuk kategori individu lelaki dan wanita, sementara kategori terbuka berkumpulan dikenakan bayaran RM300 dan kumpulan korporat (RM1,500) bagi setiap kumpulan.
Bagi kategori individu lelaki dan wanita, konsep pertandingan berbeza dengan berkumpulan.
Bagi kategori tersebut, peserta tidak perlu menyelesaikan tugasan dan hanya fokus kepada perlumbaan menaiki tangga sehingga ke puncak Menara Vista.
Bagi kategori ini, peserta yang berjaya menamatkan perlumbaan dengan masa terpantas dikira sebagai pemenang.
Peserta dari Kenya, Collins Kipkorir Kimosop dinobatkan sebagai juara kategori lelaki dengan catatan masa 9.09 minit, sementara kategori individu wanita dimenangi oleh Michele Tan Bee Kiang dalam masa 10.17 minit.

CABARAN salingan turut disediakan di titik semak tertentu sebelum peserta meneruskan larian menaiki anak tangga Menara Vista.


Beri inspirasi
Sementara itu, seorang peserta veteran yang menyertai kategori lelaki, Jesmail Singh, 75, berkongsi pengalaman, penyertaannya dalam pertandingan itu merupakan cara terbaik untuknya bertemu dan berkenalan dengan pelari-pelari muda dalam dan luar negara.
Dia yang merupakan pelari maraton sejak 32 tahun lalu berkata, penyertaannya dalam pertandingan itu merupakan salah satu cara untuk mengajak golongan muda menjalani gaya hidup sihat.
“Saya juga telah menyertai pertandingan ini pada edisi pertama ia dianjurkan. Bukan niat saya untuk mencabar golongan muda yang menyertai pertandingan ini.
“Sekiranya saya berupaya menaiki tangga sehingga ke puncak, mereka juga boleh melakukannya. Saya mahu memberi inspirasi kepada mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati peserta agar membuat persediaan rapi terutama aspek stamina sebelum menyertai pertandingan itu.
“Tanpa latihan yang cukup, peserta pasti tidak berjaya menamatkan perlumbaan.
“Saya membahagikan dua teknik larian dalam rutin senaman harian. Pada sebelah pagi, akan berlari selama 30 minit, manakala sebelah petang pula, saya lebih tumpukan kepada kelajuan larian,” jelas beliau.
Bapa kepada lapan orang anak ini menegaskan, rutin larian itu merupakan teknik asas bagi peserta untuk menyertai perlumbaan menaiki tangga.
Berasal dari Taman Tun Teja, Rawang, Selangor itu, Jesmail berjaya menamatkan perlumbaan BFM-The Intermark Race To The Top 2013 dengan catatan masa 20 minit.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: