PETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani menepis tanggapan, lagu duetnya bersama Yusry Abdul Halim berjudul Kekasih Abadi dihasilkan atas dasar mahu menumpang popularitinya sebagai pelakon popular.
Lisa atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed, 28, berkata, tiada istilah mengambil kesempatan oleh keluarga sendiri kerana ia dihasilkan atas permintaan Yusry yang ingin mengabadikan lagu tersebut sebagai memori buat mereka berdua.
"Saya rasa perkara ini (ambil kesempatan) perlu ditanya sendiri kepada pihak KRU. Tetapi saya percaya, sesebuah keluarga tidak mungkin akan mengambil kesempatan terhadap keluarganya sendiri.
"Saya menyanyi kerana Yusry. Ia merupakan satu pengalaman yang sangat indah apabila menyanyi lagu tersebut bersama-sama.
"Tak kisahlah sama ada ia akan menjadi hit atau tidak, yang penting lagu tersebut dapat menjadi kenangan apabila kami sudah tua nanti. Bayangkan apabila dah tua nanti, bolehlah kami cakap dekat cucu haa...ni haaa lagu atok dan opah dulu..." katanya menerusi mesej aplikasi WhatsApp di sini pada Jumaat.
Pelakon itu ketika ini berada di Florida, Amerika Syarikat bersama suami dan keluarganya untuk bercuti.
Pasangan suami isteri itu telah merakamkan lagu Kekasih Abadi, ciptaan Edry Abdul Halim sekitar bulan September lalu dan kini ia sudah pun boleh didapati menerusi aplikasi iTunes.
Kekasih Abadi juga akan digunakan sebagai lagu tema bagi program pengembaraanPaspot Cinta Yusry Lisa yang bakal ditayangkan bermula Mac depan menerusi saluran RTM2.
Sementara itu, Lisa berkata, pada mulanya agak sukar untuk dia menerima permintaan Yusry kerana berasakan dirinya tidak berbakat di bidang nyanyian.
Namun selepas berbulan-bulan dipujuk suami dan keluarga mertuanya, baharulah dia terbuka hati untuk menyanyi lagu tersebut.
"Saya sebenarnya segan dan tidak rasa mempunyai bakat menyanyi seperti penyanyi profesional lain. Malah saya tidak pernah terfikir bidang nyanyian akan menjadi cabang baru dalam kerjaya saya.
"Macam-macam cara sebenarnya Yusry pujuk, dan mummy mertua saya juga tahu tentang perkara ini, dia pun minta saya untuk cuba. Kemudian apabila Yusry kata 'jom kita buat benda ini untuk suka-suka, kita buat sama-sama', kemudian saya pun terima," ujarnya.
Tambah Lisa, dia juga agak gementar menantikan respons daripada peminat-peminatnya, namun bersyukur apabila ramai yang menyukai lagu tersebut berdasarkan komen-komen yang dibaca di Twitter.
Dalam pada itu, Lisa berkata, rakaman Kekasih Abadi telah mengambil masa kira-kira dua hingga tiga hari.
Ditanya, adakah selepas ini dia akan mengembangkan bakat nyanyian pula, kata Lisa: " Entahlah, saya menyanyi lagu ini kerana cinta dan sekadar suka-suka. Tengoklah macam mana, mungkin ya mungkin tidak. Apa-apa pun, setiap perkara baru yang saya buat adalah satu pelajaran buat diri."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: