|
MEMILIKI kecantikan dan berbakat besar sebagai seorang pelakon, Amyra Rosly boleh dikatakan cukup bertuah kerana sudah mula berjaya menempatkan diri sebaris dengan pendatang baharu yang sedang meningkat naik.
Sejak membintangi drama bersiri Jodoh yang ditayangkan di saluran Astro Ria pada tahun lalu, ia telah membuka mata ramai pihak dan rezekinya kini dalam dunia lakonan semakin luas.
Bagaimanapun, sewaktu namanya memanjat tangga populariti dalam bidang yang diceburinya, pelakon yang baru menjangkau usia 22 tahun itu mengambil keputusan untuk bertunang.
Menariknya, lelaki yang menjadi pilihan hatinya itu adalah seorang pelakon yang juga kini sedang meningkat naik, Dazrin Kamaruddin yang mula dikenali menerusi drama bersiri Adam Dan Hawa.
Dalam satu sesi fotografi yang diaturkan bersama pelakon tersebut baru-baru ini, Amyra ditanya tentang keputusannya itu memandangkan dia baru sahaja mula dikenali ramai.
"Sebelum membuat keputusan, saya mengambil masa memikirkannya tetapi apabila memikirkan ia kebaikan untuk masa hadapan, akhirnya saya nekad dengan keputusan untuk bertunang," jelas anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu.
Ketika ditanya tentang penerimaan peminat memandangkan dia baru sahaja mencipta nama, pemilik nama sebenar, Nur Amira Izzati Rosli itu menyatakan, peminat sekarang tidak lagi memandang status, sebaliknya lebih menilai kepada bakat seseorang pelakon.
Ujarnya, status sebagai tunangan orang juga langsung tidak menjadi halangan untuk dia terus mengembangkan kerjaya lakonannya, malah rezekinya sekarang ini semakin bertambah sejak mengikat tali pertunangan.
"Hubungan saya dan Dazrin mula rapat sejak sama-sama membintangi drama bersiri Jodoh. Padahal, sebenarnya kami sudah saling mengenali sejak tiga tahun lalu ketika sama-sama berlakon dalam filem Apokalips.
"Selepas menjalinkan hubungan serius selama enam bulan, akhirnya kami mengambil keputusan untuk bertunang.
|
"Saya memilihnya kerana dia ada ciri-ciri yang saya suka dan seorang lelaki yang bertanggungjawab," jelas Amyra yang masih belum menetapkan tarikh perkahwinannya.
Apabila diminta komennya terhadap pandangan sinis segelintir pihak yang mendakwa dia menumpang populariti Dazrin memandangkan tunangnya itu terlebih dahulu mencipta nama, Amyra merasakan dakwaan sedemikian tidak menjadi beban buat dirinya.
"Kalau saya dikatakan menumpang populariti Dazrin, seharusnya ia bukan menjadi satu masalah yang besar.
"Namun begitu, saya percaya segala yang dikecapi sekarang ini adalah hasil usaha keras yang saya lakukan sejak setahun lalu tanpa menumpang populariti sesiapa," ujarnya.
Memandangkan kedua-duanya terbabit dalam bidang yang sama, Amyra menyatakan yang dia atau Dazrin tidak keberatan untuk berlakon bersama dan merasakan berlakon dengan tunang sendiri lebih mudah.
Profesional
Apabila mengambil keputusan untuk meneruskan kerjaya lakonan secara serius, Amyra memberitahu, dia sangat beruntung kerana keluarga banyak menyokong dan menjadi tulang belakang terhadap pencapaian yang diraihnya sekarang.
Menurut Amyra, setakat ini perjalanan kariernya sebagai seorang pelakon tidak menimbulkan sebarang masalah yang besar kerana segalanya diuruskan sendiri oleh ibunya, Noor Zaridah Ahmad.
"Sebelum ini, ibu sudah mempunyai pengalaman yang cukup luas sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat rakaman tetapi kini ibu bertindak sebagai pengurus saya sepenuh masa.
"Ibu merupakan individu yang paling banyak membantu saya dari semua sudut berdasarkan pengalaman yang beliau miliki.
"Jadi, tidak ada masalah buatnya untuk menguruskan kerjaya seni saya," jelas pelakon yang berasal dari Kuala Lumpur itu.
Biarpun mempunyai ikatan hubungan antara ibu dan anak, pelakon tersebut menyatakan, dari segi kerja masing- masing bertindak secara profesional dan dia bersedia menerima sebarang teguran yang diberikan oleh ibunya.
"Apabila diuruskan oleh ibu sendiri saya tidaklah rasa terikat sangat dan menjadi lebih selesa. Lagipun kalau ada sebarang perkara yang berbangkit, kami selalu berbincang bersama," luahnya.
|
Gementar
Menceritakan tentang aktiviti lakonan terbaharunya, Amyra berkata, ketika ini dua drama bersiri lakonannya sedang ditayangkan di TV3 iaitu Ku Cinta Kau Seorang sejak 19 November lalu serta Kalimah Jiwa yang baru sahaja ditayangkan pada 1 Januari.
Menariknya, dalam drama bersiri Ku Cinta Kau Seorang yang ditayangkan setiap hari Selasa pada pukul 9 malam itu, dia diganding- kan dengan pelakon hebat iaitu Remy Ishak, Ruminah Sidek, Faradhiya dan Zack X-Factor.
"Ketika mula mendapat tawaran membintangi drama bersiri itu, saya berasa agak terkejut kerana diberi watak utama sebagai Batrisya.
Tambahan pula, saya digandingkan dengan Remy Ishak sehingga membuatkan saya berasa gementar.
"Namun begitu, perasaan tersebut hilang sepanjang menjalani penggambaran dan rasa seronok pula dengan peluang yang diberikan.
Biarpun saya dilabel sebagai pelakon baharu tetapi pelakon yang lebih senior banyak membantu dan kami bekerja sebagai satu pasukan," ujarnya.
Jelas Amyra, penampilannya dalam drama bersiri itu turut mendapat maklum balas yang positif daripada penonton dan ia telah memberikannya satu kekuatan untuk tampil dengan lebih baik.
Selain itu, dalam Kalimah Jiwa yang ditayangkan setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 4 petang, Amyra berlakon di samping pelakon muda lain seperti Nazim Othman, Nabila Dally, Amar Bahrin dan Raja Ilya.
Memandangkan namanya yang kini semakin kukuh apabila ramai pihak sudah melihat kemampuannya dalam bidang lakonan, namun ia bukanlah bermakna dia kini sudah mula bertindak selektif dalam memilih sesebuah tawaran.
"Saya tidak kisah kalau diminta membawakan apa sahaja watak, asalkan saya tidak disuruh berpakaian yang mendedahkan atau membabitkan sentuhan yang melampau dengan lelaki.
"Misalnya, kalau diberikan watak seorang pelacur tidak bermakna saya perlu berpakaian terlalu seksi. Semuanya boleh dilakukan menerusi perbincangan antara pelakon dan pengarah serta ada batas yang tertentu," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: