PETALING JAYA: Pelakon Sofi Jikan mengakui terkilan apabila kenyataannya untuk berhenti daripada bidang lakonan menerima kecaman dan cacian daripada pengguna internet.
Sofi berkata, pandangan negatif sehingga melanggar tatasusila kemanusiaan yang ditulis di blog-blog itu bukan sahaja mengguris hati, malah mampu membunuh kerjaya dan semangatnya untuk berkarya.
"Saya takut untuk membaca blog selepas menerima cacian berbaur hinaan di internet terhadap kenyataan berhenti berlakon baru-baru ini.
"Kalau mereka benci sekalipun tidak perlulah untuk mencaci saya sehingga melanggar tatasusila kemanusiaan yang boleh menjatuhkan maruah seseorang," katanya kepadamStar Online.
Tambah Sofi, dia berharap pihak pengurusan blog itu sendiri perlu sedar tentang bahaya perkara ini dan mengawal mesej yang ditinggalkan di blog mereka.
Katanya, sebagai individu yang menjadi mangsa kecaman tersebut, dia berhak untuk mengambil tindakan undang-undang jika ianya melampau batas.
"Kebanyakan mereka tidak membaca secara keseluruhan sesebuah artikel dan salah faham dengan kenyataan tersebut.
"Saya pelik kenapa mereka terlalu marah dengan kenyataan tersebut sedangkan sebelum ini ada sahaja artis yang berbuat demikian, namun masih ada lagi dalam industri," katanya.
Kata Sofi, dia tidak menolak kemungkinan kebencian masyarakat timbul berikutan watak antagonis yang sering dilakonkannya.
Dalam pada itu, Sofi yang turut ditanya tentang keputusan berhenti berlakon berkata, dia hanya akan berlakon watak yang dapat membersihkan namanya daripada pandangan negatif masyarakat.
Dia yang juga bakal mengarahkan filem pertama berjudul Gangsterock ini percaya karya tersebut mampu merubah persepsi masyarakat terhadapnya.
"Saya harap diberi peluang sekali lagi dalam memberi sumbangan kepada industri seni tanah air.
"Kali ini saya yakin filem Gansterock tidak mengecewakan dan mengembalikan kepercayaan penonton terhadap file-filem tempatan," katanya.
Dalam perkembangan lain pula, Sofi juga bakal keluar dengan album rock pertamanya berjudul Kasi Sengat pada 3 Mac depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: