PETALING JAYA: Penyanyi baru yang sedang popular tetapi hanya ingin dikenali dengan gelaran Encik Mimpi tidak berhasrat sama sekali untuk mendedahkan identitinya kepada masyarakat termasuklah teman-teman rapatnya buat masa ini.
Encik Mimpi, 25, yang kini sedang popular dengan lagu Rindukanlah berkata, setakat ini tiada siapa tahu identiti sebenarnya kerana ketika kemunculannya, dia memakai topeng.
Dia mendakwa yang rakan-rakan sepejabatnya pun tidak mengenali yang dirinya ialah 'Encik Mimpi' dan sedang popular dengan lagu Rindukanlah.
"Kalau boleh saya tidak mahu dedahkan identiti sebenar saya kepada umum. Buat masa ini hanya keluarga terdekat sahaja yang tahu saya adalah seorang penyanyi menggunakan nama Encik Mimpi. Malah teman-teman di pejabat pun tidak tahu saya adalah penyanyi lagu Rindukanlah.
"Paling kelakar apabila kawan-kawan saya menyanyikan lagu tersebut, tanpa mengetahui penyanyi asalnya berada di sebelah mereka. Saya hanya mampu tersenyum dan geli hati," katanya kepada mStar Online.
Lagu Rindukanlah mula popular sejak ia dimainkan sebagai runut bunyi untuk dramaPlayboy Itu Suami Aku yang disiarkan bermula 30 Disember 2013 menerusi TV3 pada setiap hari Isnin hingga Khamis (pukul 7 malam).
Rindukanlah merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Rumhadi dan Nico.
Sebelum muncul dengan lagu Rindukanlah, Encik Mimpi hanya dikenali sebagai penyanyi di dalam laman sosial YouTube. Dia menyanyikan lagu-lagu penyanyi popular lain.
Nama Encik Mimpi dicetuskan secara tidak sengaja ketika menghasilkan blog di mana dia ingin tulisan blog miliknya itu dikenali pembaca tanpa mengetahui identiti sebenarnya penulisnya sehinggalah terhasilnya nama berkenaan.
Dalam pada itu Encik Mimpi yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat berkata, langkahnya untuk tidak memaparkan wajah sebenar disebabkan dia masih kurang keyakinan untuk muncul di depan khalayak.
Pada masa sama, dia juga bukan sengaja ingin mencari publisiti secara mudah dengan imej bertopeng itu.
"Memang dari dulu lagi menerusi laman blog dan YouTube saya gunakan nama pena Encik Mimpi dengan memakai topeng. Ini disebabkan saya ada sedikit rasa malu dan kurang keyakinan diri.
"Bukan sengaja nak cari publisiti murahan. Tetapi rasanya dengan wajah bertopeng ini juga, mungkin saya dapat mengelakkan kontroversi," ujarnya.
Walaupun masih kurang keyakinan diri, Encik Mimpi sebenarnya memiliki suara lunak yang merdu dan manja.
Lagu baru Rindukanlah yang dicipta untuknya itu sememangnya sesuai dengan lengguk nada suara yang manja dan merdu.
Sementara itu, Encik Mimpi tidak keberatan untuk mendedahkan yang dia bercadang untuk menghasilkan sebuah lagi single terbaharu serta sebuah album mini dalam masa terdekat ini memandangkan sambutan hangat yang diberikan peminat kepada laguRindukanlah.
Bergerak sendirian, Encik Mimpi berharap pembabitannya secara serius di industri seni tanah air diterima positif oleh semua pihak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: