Wednesday, January 8, 2014

Run Run Shaw meninggal dunia


RUN RUN SHAW (dua dari kanan) menghadiri parti ulang tahun kelahirannya pada 19 November 2001 di Hong Kong.


HONG KONG - Pengasas Studio Jalan Ampas di Singapura dan bapa filem kung fu, Sir Run Run Shaw (gambar) meninggal dunia di kediamannya di sini semalam pada usia 106 tahun.
Satu kenyataan daripada syarikat milik beliau, Television Broadcasts Limited (TVB) memberitahu, mendiang meninggal dunia pada pukul 6.55 pagi waktu tempatan.
"Mendiang menghabiskan hayatnya mempromosikan industri hiburan di Hong Kong dan sikap dermawan beliau tidak terhad hanya di bandar ini serta di China tetapi tersebar di seluruh dunia," kata, Ketua Eksekutif Hong Kong, Leung Chun-ying.
Mendiang mengasaskan syarikat televisyen TVB pada tahun 1967 yang banyak melahirkan para pelakon berbakat termasuklah Chow Yun-fat, Wong Kar-wai, Andy Lau dan Stephen Chow.
Anak bongsu daripada enam beradik itu dilahirkan di Shanghai pada tahun 1907.
Bapanya, Shaw Yuh Hsuen merupakan seorang ahli perniagaan tekstil yang kaya.
Pada tahun 1937, Shaw yang ketika itu berusia 19 tahun dan abangnya, Runme melebarkan perniagaan mereka dengan mengasaskan studio perfileman di Singapura dan menghasilkan 10 buah filem Melayu tetapi terganggu akibat Perang Dunia Kedua.
Runme meninggal dunia pada tahun 1985 pada usia 84 tahun.
Selepas Perang Dunia Kedua berakhir pada tahun 1947, dia dan Runme menubuhkan syarikat Malay Film Productions di Jalan Ampas yang selepas itu lebih dikenali sebagai Studio Jalan Ampas.
Kegemilangan studio berkenaan dianggap sebagai pencetus zaman emas perfileman Melayu.
Bintang filem Melayu yang terkenal, Tan Sri P. Ramlee pernah berlakon dalam beberapa filem keluaran Run Run antaranya Bujang Lapok dan Seniman Bujang Lapok.
Pada tahun 1958, Run Run menubuhkan Syarikat Shaw Brothers di Hong Kong yang menghasilkan filem-filem kung fu popular, antaranya The One-Armed Swordsman dan The Magnificent Concubine.
Shaw Brothers yang mempunyai kompleks studio yang ketika itu antara terbesar di dunia turut menghasilkan filem untuk Amerika Syarikat seperti Blade Runner yang dibintangi oleh aktor terkenal, Harrison Ford pada tahun 1982.
Bagaimanapun, mendiang gagal membawa aktor legenda kung fu, Bruce Lee menyertai syarikat itu kerana masalah kontrak sebelum pelakon berkenaan menandatangani kontrak dengan syarikat Golden Harvest.
Mendiang mempunyai empat anak hasil perkahwinan dengan bekas isterinya, Lily Wong Mee-chun yang meninggal dunia pada tahun 1987.
Dia kemudian berkahwin dengan seorang penyanyi, Mona Fong.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: