|
BERMULA dengan menonton video seorang individu sedang menunggang sebuah basikal elektrik selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara, Kuala Lumpur, Elizuan Rafys, 35, ternyata kagum dengan rekaan inovasi tersebut.
Dia tertanya-tanya, apakah basikal itu merupakan salah satu inovasi terbaharu yang dibikin oleh rakyat tempatan?
Ketika dalam perjalanan menaiki kereta ke pejabatnya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia sekali lagi melihat seorang ekspatriat menunggang basikal tersebut di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman.
Dia melihat individu tersebut memakai sut dan membawa beg bimbit seperti gaya seorang korporat.
Ketika itu, dia begitu teruja kerana berpeluang melihat rekaan basikal elektrik itu dengan lebih jelas.
"Rekaan basikal Yike Bike seolah-olah kenderaan makhluk asing dalam filem Hollywood yang memukau mata untuk memandangnya. Saya beranggapan harga basikal elektrik itu pasti mahal," ujarnya yang mengetahui jenis basikal tersebut melalui carian di internet.
Kunjungan Elizuan ke Festival Antarabangsa Petaling Jaya, Disember lalu memberi peluang kepadanya untuk bertemu dengan komuniti pengguna Yike Bike di Malaysia iaitu Wow Yike Bike.
Gerai Wow Yike Bike merupakan antara tumpuan pengunjung sepanjang festival itu. Elizuan juga tidak melepaskan peluang untuk bertanya soalan tentang basikal elektrik itu.
Basikal elektrik Yike Bike merupakan inovasi teknologi dari New Zealand pada tahun 2009 di bawah kendalian YikeBike Ltd.
Pengiktirafan
Jika dilihat secara fizikal, Yike Bike tidak ubah seperti sebuah basikal klasik Penny Farthing yang dicipta oleh jurutera British, James Starley pada tahun 1871.
Dengan kecanggihan teknologi masa kini, pelbagai inovasi telah dilakukan dengan reka bentuknya. Yike Bike memperoleh pengiktirafan Guinness Book of World Records sebagai basikal elektrik paling ringan kecil dan mudah lipat di dunia pada tahun 2011.
Walaupun hendalnya dicipta dibahagian belakang tempat duduk, ia tetap selesa untuk ditunggang dalam jangka masa lama. Rekaan itu juga memberi imbangan yang sempurna kepada penunggang agar tidak mudah tumbang.
Hanya 20 saat diambil untuk melipat sebuah Yike Bike, sebelum memasukannya ke dalam beg. Ia memudahkan pengguna meletakkannya di dalam but kereta mahupun ketika menaiki pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT) dan komuter.
Menurut seorang pengguna Yike Bike dan ahli Wow Yike Bike sejak setahun lalu, Mohd. Fadzil Muda, 35, dia mula tertarik dengan basikal elektrik itu apabila melihat jirannya menunggang Yike Bike.
Menurutnya, ketika dia menunggang basikal itu di sekitar ibu kota, ramai yang tertarik untuk bertanyakan pelbagai soalan mengenai spesifikasi Yike Bike.
"Yike Bike merupakan satu inovasi teknologi terkini yang sesuai bagi mereka yang menghargai masa. Saya sering menggunakan LRT terutamanya untuk ke tempat kerja. Saya menunggang Yike Bike untuk ke destinasi-destinasi terdekat. Ia ternyata menjimatkan masa dan tenaga terutamanya ketika berjumpa klien.
"Melalui Facebook Wow Yike Bike, kami memperoleh banyak respons positif mengenai basikal ini. Ramai yang berminat dengan Yike Bike. Ia merupakan platform utama untuk kumpulan kami memberi maklumat mengenai basikal ini kepada orang ramai," ujar pengedar Yike Bike di sekitar Lembah Klang dan wilayah Pantai Timur itu.
|
Kategori
Kategori Yike Bike bergantung kepada berat sesebuah basikal. Ia terbahagi kepada tiga jenis iaitu 10 kilogram (kg), 11 kg dan 14 kg. Setiap kategori basikal mempunyai spesifikasi yang sama. Ia juga direka untuk aktiviti tahan lasak. Hanya berat yang membezakan harga dan kemudahan untuk pengguna.
Bahagian bingkai badan Yike Bike 10 kg diperbuat sepenuhnya daripada karbon manakala bahan separuh karbon dan fiber untuk basikal seberat 11 kg. Bagi Yike Bike 14 kg pula, ia dibina sepenuhnya daripada aloi atau logam.
Menurut Mohd. Fadzil, Wow Yike Bike kini mempunyai seramai 21 orang ahli, kebanyakannya golongan eksekutif berusia 35 tahun keatas.
Pengangkutan utama
Di New Zealand, Yike Bike merupakan antara pengangkutan utama penduduk yang tinggal di kawasan bandar. Sebagai contoh, penduduk Pulau Waiheke di Auckland menggunakan Yike Bike untuk ke tempat kerja dan melakukan aktiviti harian.
Kelajuan Yike Bike boleh mencecah 23 kilometer sejam. Dua pek bateri litium ion 450 watt yang diletakkan pada kompartmen di bahagian tayar basikal berupaya menggerakkan Yike Bike sejauh 10 kilometer.
Yike Bike juga dilengkapi lampu diod pemancar cahaya dan signal di bahagian belakang untuk tujuan keselamatan.
Pengarah Urusan YikeBike Ltd. Malaysia dan Indonesia, William Shaw, 32, memberitahu, bateri akan dicaj secara automatik apabila penunggang menekan picu brek pada hendal.
|
"Apabila menuruni bukit, bateri juga akan dicaj secara automatik. Bateri litium ion 450 watt keluaran syarikat Jepun, Sony Corporation itu juga boleh dicaj sehingga 1,000 kali sebelum dilupuskan. Yike Bike merupakan sebuah pengangkutan mesra alam.
"Basikal elektrik ini merupakan jalan penyelesaian terbaik kepada kesesakan lalu lintas yang dihadapi warga kota. Mereka dapat menggabungkan dua cara dalam satu masa iaitu pengangkutan awam dan persendirian tanpa menggunakan sebarang bahan api," ujarnya yang sudah menunggang basikal elektrik itu sejak dua tahun lalu.
Jangka hayat sebiji tayar dianggarkan bertahan selama setahun. Kos sebanyak RM110 untuk menukar tayar hadapan Yike Bike.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: