Friday, January 17, 2014

Rezeki minit terakhir Hafiz


HAFIZ mengakui peluang yang diraihnya sebagai juara program Pencetus Ummah merupakan suatu pengalaman hebat dialaminya.


SIAPA sangka, walaupun menjadi peserta terakhir ketika uji bakat Pencetus Ummah (PU) lapan minggu lalu, di mimbar akhir program tersebut, Muhammad Hafiz Mohd. Haneefa telah dipilih sebagai juara musim pertama.
Memanjatkan rasa kesyukuran kepada Illahi, tutur Hafiz dia benar-benar tidak menjangka akan kemenangan yang diperolehinya itu.
“Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada isteri, kedua ibu bapa, keluarga serta pengundi yang telah mengundi saya.
“Sebenarnya, menghadiri uji bakat program ini merupakan perkara yang tidak saya rancang. Namun, isteri mengajak saya untuk ke Astro untuk menghadiri uji bakat program ini.
“Walaupun masa (uji bakat) sudah tamat tetapi rezeki menyebelahi saya, alhamdulillah,” jelas Hafiz pada sidang akhbar akhir finalis PU di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Kajang.
Sebagai juara, Hafiz telah menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM50,000, pakej percutian umrah untuk dua orang, percutian halal ke China, senaskhah al-Quran, langganan majalah I selama setahun, hamper buku ilmiah berserta trofi.
Selain itu, Hafiz juga turut memenangi sebuah kereta Toyota Prius C yang mahu dihadiahkan buat isteri tersayang, Noorkamariah Abdul Manaf, 32.
Menerusi mimbar akhir program ini, Hafiz telah mengalahkan tiga lagi peserta lain iaitu Shahrul (Shahul) Hameed M.P.H Seeni Mohd. (naib juara), Mohd. Zinudin Mohamed Zaini (ketiga) dan Rahmat Ikhsan Mohd. Sofyan (keempat).
Naib juara menerima wang tunai RM30,000 dan tempat ketiga serta keempat masing-masing mendapat RM10,000. Naib juara hingga tempat keempat juga memenangi pakej percutian halal ke China, senaskhah al-Quran dan hamper buku ilmiah.

EMPAT finalis program Pencetus Ummah (dari kiri), Rahmat, Yeop, Hafiz dan Shahul.


Dikenali dan masih sama
Mahu atau tidak, setelah dinobatkan sebagai juara PU, Hafiz sudah pun bergelar selebriti. Ketika diajukan soalan tentang persediaan menjadi seorang yang popular selepas ini, jelas Hafiz, dia masih orang yang sama seperti sebelumnya.
Tambahnya, banyak perkara yang dipelajari sepanjang menjadi peserta program tersebut. Antaranya ialah bagaimana berhadapan dengan kamera, pihak media serta berdakwah secara langsung di mimbar.
“Alhamdulillah, saya akui ia merupakan pengalaman hebat buat diri. Justeru, dari situlah saya telah belajar bersedia untuk menghadapi situasi tersebut.
“Bagaimanapun, insya-Allah saya tidak akan lupa siapa diri saya yang sebelum ini mengajar agama di masjid serta surau dan situ juga saya akan pergi selepas ini.
“Saya akui, kini ada beberapa orang yang telah mula mengenali saya, ambil foto serta bertanyakan soalan. Saya terus bantu memberi jawapan kepada mereka di ketika itu juga termasuk di Facebook dan seumpamanya,” tuturnya yang tidak akan meletakkan harga tinggi sebagai penceramah selepas meraih populariti.
Musim kedua
Tidak dapat dinafikan, PU menjadi fenomena antara program dakwah yang paling berjaya setakat ini.
Ujar Pengurus Saluran Astro Oasis, Namanzee Harris, sememangnya PU mempunyai rating yang tinggi dan meningkat setiap minggu.
“Setakat ini perkembangan setiap minggu berganda dari segi rating program. Laman Facebook juga telah dapat mengumpul sebanyak 120,000 penggemar setakat ini. Begitulah saya dapat beri gambaran kejayaan PU.
“Justeru, melihat kepada sambutan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat, seharusnya kami akan tampil dengan PU musim kedua kelak,” jelasnya.
Bagi keempat-empat finalis pula, kemungkinan mereka bakal mengikat kontrak selama enam bulan hingga setahun bersama pihak Astro.
Bagaimanapun, peserta lain tidak akan dibiarkan begitu sahaja, yang mana pihak Astro Oasis juga akan menyediakan platfom bagi mereka kelak.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: