Wednesday, January 8, 2014

PICC padat acara hiburan 2014


BARISAN pelawak yang terlibat dalam persembahan GengLawak @PICC (dari kiri), Os, Yus, Tauke, Jihan, Yasin dan Syuk.


KAPASITI penonton yang hadir menyaksikan persembahan Geng Lawak @PICC di Dewan Planery, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada malam Tahun Baru (31 Disember) lalu, hanya mencecah 1,000 berbanding 3,000 kapasiti tempat duduk yang disediakan.
Bagaimanapun, itu tidak menjadi masalah buat Ketua Pegawai Operasi PICC, Badlishah Ahmad kerana objektif utama yang ingin disampaikan pihaknya tercapai.
"Persembahan Geng Lawak @PICC merupakan eksperimen untuk kita. Memang satu risiko apabila pihak PICC menganjurkan sebuah persembahan berbayar pada malam Tahun Baru. Sedangkan, pada masa yang sama terdapat beberapa konsert percuma turut diadakan.
"Namun, apa yang penting pulangan ke atas aset (ROA) berjaya walaupun pulangan ke atas pelaburan (ROI) tidak seberapa. ROA itu lebih penting sebab orang ramai kini tahu PICC juga menganjurkan acara santai seperti Geng Lawak @PICC.
"Malah bermula tahun 2014, PICC akan mengadakan lebih banyak acara hiburan seperti konsert gabungan artis Indonesia dan Malaysia serta Karnival Pertandingan Magik peringkat junior dan antarabangsa," ungkapnya optimis mengenai perancangan PICC pada masa hadapan.
Malam Tahun Baru lalu menyaksikan buat pertama kalinya PICC mengadakan sebuah majlis hiburan berbentuk komedi dengan membariskan beberapa pelawak terkenal seperti Osama (Os & Isma), Jambu (Yus & Tauke), SYJ (Syuk, Yassin & Jihan), Sabri Yunus, Kuah Jenhan dan KL Street Drummers.
Tiket-tiket persembahan telah dijual pada harga RM85 sehingga RM205 dan biarpun tidak penuh, namun sambutan yang diterima untuk program pertama kali seumpama itu boleh dibanggakan.

SYJ yang pertama kali bergabung teruja kerana dapat terbabit dengan program diadakan buat julung-julung kali tersebut.


Acara yang bermula pada pukul 9.30 malam itu dimulakan dengan persembahan KL Street Drummers. Selepas itu, kumpulan SYJ mengambil alih pentas menghiburkan penonton dengan aksi lawak daripada Syuk, Yasin dan Jihan.
Mereka yang membawakan watak warga Indonesia yang menyambut Tahun Baru di Malaysia, berjaya mencuit hati penonton pada malam itu.
Usai SYJ membuat persembahan, kumpulan Osama pula mengambil alih dengan lawak bersahaja daripada pelawak veteran Os dan juga Isma Aliff.
Masih berbisa, persembahan kumpulan Osama cukup menghiburkan kerana bakat meniru suara penyanyi daripada Isma. Isma juga mempunyai suara yang cukup merdu ketika menyanyi.
Kesimpulannya, persembahan Geng Lawak @PICC cukup menghiburkan kerana pelawak-pelawak mengangkat tema lawak muzikal malam Tahun Baru.
Mengulas lanjut mengenai persembahan Geng Lawak @PICC, kata Badlishah, kemungkinan besar jika mereka mahu menganjurkan program sedemikian lagi pada tahun depan, pihaknya akan mengkaji lebih lanjut mengenai bayaran yang akan dikenakan.
"Kami akui harga tiket yang dikenakan pada malam Tahun Baru itu agak mahal. Sebabnya kami hanya merancang acara ini kira-kira dua minggu.
"Kami akan kaji semula harga bayaran yang akan dikenakan kepada penonton. "Mungkin juga kami akan memanggil lebih ramai pelawak untuk turut serta di masa akan datang," ungkapnya.
Persembahan terbaik
Sementara itu, menurut Yus dari kumpulan Jambu, dia bersyukur dan berterima kasih kepada peminat-peminat kumpulan itu yang sanggup membeli tiket pada harga mahal untuk menyaksikan persembahan mereka.

JAMBU terharu kerana peminat mereka sanggup membeli tiket untuk menyaksikan persembahan berbayar mereka pada malam tersebut.


Sedar hakikat tersebut, Yus mengakui, sanggup memanggil beberapa orang pelakon tambahan bagi menjayakan lawak yang mengangkat tema Tahun Baru itu.
"Saya sedar, ramai penonton yang hadir dalam kalangan peminat-peminat Jambu. Sebabnya, ramai peminat yang memberitahu saya, akan hadir menyaksikan lawak Jambu.
"Disebabkan itu, saya berjanji untuk memberikan persembahan yang terbaik kepada mereka. Buat pertama kalinya juga kumpulan Jambu menggunakan pelakon tambahan untuk menunjukkan kemeriahan sambutan Tahun Baru," tuturnya yang lega ramai penonton yang terhibur menyaksikan persembahan Jambu pada malam itu.
Syukur kerana dipilih pihak PICC, Yasin daripada kumpulan SYJ pula memberitahu, dia tidak kisah mengenai sambutan jumlah penonton yang hadir asalkan kumpulannya dapat menghiburkan penonton pada malam Tahun Baru itu.
Yasin juga mengakui tidak berasa tertekan memberikan persembahan terbaik pada malam itu kerana tema yang diberikan oleh pihak PICC adalah bebas


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: