Wednesday, January 15, 2014

Penyediaan penyelesaian perniagaan dalam talian

Tawaran eksklusif menggalakkan perniagaan elektronik untuk menggunakan perkhidmatan jalur lebar tertumpu.

KEE SIAK (kanan) bersalaman dengan Lee pada majlis taklimat berhubung kerjasama antara P1 dengan Exabytes di Kuala Lumpur baru-baru ini.


PENYEDIA pengehosan laman sesawang, Exabytes Network Sdn. Bhd. (Exabytes), mengumumkan kerjasama dengan peneraju perkhidmatan 4G pertama di Malaysia, Packet One Networks (Malaysia) Sdn. Bhd. (P1) dalam menyediakan perkhidmatan jalur lebar terkini untuk perniagaan dalam talian tempatan.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Exabytes, Chan Kee Siak, kerjasama tersebut juga menyediakan teknologi terkini yang membolehkan pengusaha menguruskan perniagaan mereka dengan lebih berkesan termasuk komunikasi dengan pelanggan.
"Bagi kesemua perkhidmatan komunikasi dan pakej penyelesaian hubungan yang dilanggan Exabytes, P1 akan menawarkan mereka penjimatan tambahan daripada segi panggilan suara, pemasangan percuma, bayaran sewa talian dan peralatan berkaitan.
"Ia merupakan satu penyelesaian hubungan tertumpu yang membenarkan pelanggan kami berada dalam talian dan memulakan operasi perdagangan elektronik (e-Dagang), pada masa yang sama menguruskan penggunaan jalur lebar dan panggilan suara dengan lebih baik," katanya ketika ditemui pada majlis taklimat mengenai kerjasama kedua-dua pihak di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Komersial P1, Kelvin Lee.
Kee Siak memaklumkan, kerjasama itu berhasrat untuk mengembangkan sektor e-Dagang tempatan melalui penyediaan perkhidmatan suara dan internet.
"Hubungan merupakan elemen teras dalam perniagaan dalam talian. Ini menjadi lebih penting dengan peningkatan saingan perniagaan pada hari ini.
"Kerjasama dengan P1 akan membantu perniagaan elektronik ini untuk mencapai tahap perniagaan dan perkhidmatan yang lebih baik," ujarnya.
Sementara itu, Lee berkata, usaha sama strategik itu juga membolehkan pihak P1 mencapai lebih 60,000 pelanggan Exabytes dalam ruang perniagaan dalam talian, di samping ribuan pedagang laman web Easy.my yang merupakan salah satu platform peruncitan dalam talian yang dikendali Exabytes.
"Menurut kajian Euromonitor International, pasaran e-Dagang Malaysia dijangka tumbuh pada kadar yang pesat, daripada RM842 juta pada tahun 2011 kepada RM1.9 bilion menjelang tahun 2016.
"Kami berharap lebih banyak perniagaan akan berada dalam talian dan menggunakan nilai teknologi hubungan tertumpu yang disediakan untuk menjalankan perniagaan dengan lebih efisien dan seiring dengan penggiat dalam pasaran antarabangsa," ujarnya.
Menerusi kerjasama itu juga, dijangka lebih 70,000 pelanggan Exabytes dan 25,000 pelanggan P1 bakal mendapat pakej istimewa yang akan diumumkan tidak lama lagi.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: