• Penguasa Kastam dijel, dendaTertuduh dibawa keluar oleh pegawai SPRM dari kamar perbicaraan Mahkamah Sesyen, di sini, semalam

JOHOR BAHRU - Seorang Penguasa Kastam dari cawangan Penguatkuasaan, Perlesenan, Bahagian Cukai Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kluang dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh, Suhaimi Abdul Hamid, 40, didapati bersalah atas pertuduhan menerima sogokan berjumlah RM1,500 daripada seorang peniaga, Leong Po Tong, 47, untuk mengurangkan kompaun kesalahan menjual minuman keras tanpa lesen, November tahun lalu.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman tersebut setelah Suhaimi mengaku bersalah menerima suapan pada 15 November tahun lalu sekitar jam 3.25 petang dalam bilik pejabat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jalan Pejabat Kerajaan 2, Kluang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan.

Peguambela tertuduh, Liow Boon Lee mengemukakan rayuan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minima memandangkan tertuduh mempunyai tanggungan tiga anak masih kecil dan ibu bapa warga emas menghidap strok.

Suhaimi yang telah berkhidmat selama 13 tahun sebagai Penguasa Kastam juga bakal kehilangan jawatan dan tidak mempunyai apa-apa hasil kedapatan daripada pekerjaannya itu.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Noorfazlin Hamdan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal yang boleh memberi keinsafan kepada tertuduh kerana sebagai seorang Penguasa Kastam, tertuduh tidak sepatutnya terlibat dalam kes rasuah seperti itu.

Noorfazlin juga memohon wang sogokan RM1,500 dikembalikan kepada pihak pendakwaan.

 Mohamad Haldar dalam keputusannya turut mengarahkan wang sogokan RM1,500 diserahkan kepada pihak pendakwaan.