Thursday, January 2, 2014

Monumen Stonehenge dinaik taraf


SEHINGGA kini pakar arkeologi masih mengkaji tujuan monumen Stonehenge dibina kira-kira 5,000 tahun lalu.


SELEPAS beribu tahun kewujudan artifak bersejarah Stonehenge di Wiltshire, England akhirnya, ia mengalami pengubahsuaian. Saat kali pertama menjejakkan kaki, pengunjung pasti merasakan 'sesuatu perkara yang hilang' mengenai monumen prasejarah itu.
Kini, para pengunjung tiba di sebuah pusat yang dibina menggunakan kayu dan kaca. Ia kelihatan bercahaya terletak kira-kira 2.4 kilometer (km) dari Stonehenge.
Batu yang disusun secara bulatan di kawasan landskap hijau itu, kini tidak lagi dapat dilihat dari mana-mana lokasi. Ia adalah pengenalan kepada sebuah tapak dengan kemudahan dan landskap terkini bagi mengembalikan semula 'maruah' Stonehenge. Ia juga membolehkan lebih sejuta pengunjung menyaksikan perubahan monumen itu.
Simon Thurley, juga ketua jabatan kerajaan, English Heritage berkata, pengunjung kini boleh menyaksikan sendiri monumen tersebut bebas daripada semak dan sampah.
Pada Selasa lalu, pengamal media dan ahli English Heritage dibawa melawat sendiri pusat itu yang menempatkan 360 darjah gaya sinerama 'lawatan maya' monumen Stonehenge bersama pameran mengenai masyarakat Neolitik Briton yang membina Stonehenge kira-kira 5,000 tahun lalu.
Apabila bangunan berkenaan dibuka kepada orang awam keesokan harinya, para pekerja akan melupuskan pejabat tiket lama dan struktur bangunan berkelompok yang tidak menarik berdekatan monumen.
Kegemilangan
Jalan raya yang sibuk dengan ribuan kenderaan setiap hari berhampiran monumen itu juga ditutup dan dilitupi rumput. Idea berkenaan bertujuan mengembalikan semula kegemilangan Stonehenge, terletak di 130km barat daya London sebagai sebuah landskap kawasan pedalaman.

PUSAT Stonehenge ini dibina membabitkan kos sebanyak RM144 juta.


Pelawat akan dibawa mengembara menggunakan sebuah kenderaan khas atau berjalan kaki untuk menjelajah setiap laluan dan laluan perarakan purba yang telah beberapa tahun dipisahkan oleh asfal.
Malah, bangunan dua blok satu tingkat baharu iaitu satu blok kaca dan satu blok kayu di bawah bumbung beralun itu dibina sesuai dengan landskap kawasan berkenaan.
"Jika pengunjung tidak mengingati bangunan ini setelah pulang ke rumah tetapi masih ingat kepada monumen, ia sudah cukup baik," kata arkitek, Stephen Quinlan.
Dalam pameran itu, turut dipaparkan pencipta monumen prasejarah tersebut sebagai seorang yang sofistikated. Dia mengembala babi, memburu, mengadakan keramaian dan membina monumen yang penuh misteri itu.
Seorang pengukir forensik, Oscar Nilsson, membentuk semula tengkorak dan wajah seorang rakyat tempatan berusia 5,000 tahun. Wajah berkenaan mempunyai struktur wajah kacak iaitu lelaki zaman prasejarah.
Nilsson berkata, kebanyakan wanita English Heritage jatuh cinta dengan wajah manusia prasejarah itu.
Dana
Dana pengubahsuaian pusat itu dikumpulkan melalui derma selain keuntungan loteri negara Britain melibatkan jumlah sebanyak £27 juta (RM144 juta).
Caj kemasukan meningkat hampir dua kali ganda daripada harga asal iaitu RM42 ke RM78 untuk dewasa. Terdapat kafeteria moden dan kedai menjual barangan cenderahati yang menjual barangan seperti jem Stonehenge, coklat, topi besbol, pad tetikus, magnet peti sejuk dan baju-T tertera Stonehenge Rocks.
Kawasan komersial itu diasingkan daripada monumen asal untuk mengekalkan nilai misteri Stonehenge. Stonehenge dibina melibatkan tiga fasa iaitu antara 3,000 SM sehingga 1,600 SM. Pakar arkeologi percaya, ia merupakan pusat rumah ibadat, bagaimanapun fungsinya masih samar.

PUSAT khas mengenai Stonehenge menyediakan maklumat lengkap mengenai monumen prasejarah itu.


Kajian terkini menunjukkan kawasan itu merupakan tanah perkuburan untuk keluarga elit. Pakar arkeologi sudah menemui beberapa baki badan yang dibakar di kawasan itu dan ditanda dengan batu biru.
Batu bagi Stonehenge yang kedua masih berdiri kukuh dipercayai dibawa dari kawasan sejauh 280km dari lokasi terkini. Pembinaan berlangsung untuk beberapa abad dan ia mungkin menjadi lokasi menyembah Druid, pengiraan kalendar dan astronomi atau lokasi penyembuhan.
Kajian membuktikan, terdapat sekumpulan besar individu yang berkumpul di Stonehenge pada musim panas dan sejuk sehingga tradisi itu diamalkan sehingga kini.
Kurator, Sara Lunt berkata, masih terdapat pelbagai rahsia yang boleh dibongkar.
"Tujuan asal pembinaan Stonehenge masih bersifat misteri. Kita sedar terdapat alasan kukuh di sebalik pembinaan monumen itu dan batu yang disusun dalam bulatan merentasi British Isles pada zaman Neolitik," katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: