Thursday, January 9, 2014

Keterujaan bersanding buat kali kedua

PASANGAN Faizal Arabi dan Nooriyah bertuah kerana diraikan dengan perkahwinan tradisi India Muslim.


PALUAN gendang yang dialun rancak kedengaran bergema di sekitar kawasan Tingkat Sungai Gelugor 8, Sungai Gelugor, Pulau Pinang.
Pemukulnya, iaitu dua pemuda memakai baju potongan ala Punjabi tersenyum sambil kedua-dua tangan mereka rancak memukul belulang gendang dengan bilah rotan kecil.
Beberapa wanita separuh abad menuruti di belakang membawa tujuh dulang yang antaranya berisi sepersalinan pakaian, barang-barang dandanan wanita, kuih-muih, manisan, buah-buahan dan lima biji kelapa yang telah dibuang sabut.
Mata orang ramai pula tertancap kepada seorang lelaki berpakaian kurta, iaitu pakaian tradisional bagi lelaki kaum India lengkap dengan turban yang di hadapannya dihiasi juraian bunga melor.
Dia diarak menaiki seekor kuda yang dihias cantik dengan juraian bunga.
Kemeriahan itu merupakan majlis perkahwinan Faizal Arabi Mohamed Firthouse, 31, seorang pengurus jualan di sebuah bank tempatan di George Town, Pulau Pinang.
Berbeza
Walaupun bergelar pengantin buat kali kedua, majlis tersebut cukup berbeza bagi Faizal Arabi yang disatukan di pentas pelamin bersama isterinya, Nooriyah Mohd. Tvani, 30.
Majlis serba meriah itu dijalankan mengikut adat tradisional masyarakat India Muslim Pulau Pinang sepertimana diamalkan nenek moyang pasangan tersebut kira-kira 200 tahun lalu.
Ianya inisiatif Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang (JKKN) untuk tujuan dokumentasi bagi menyambut Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014).
JKKN dengan kerjasama Liga Muslim Pulau Pinang (LMPP) menganjurkan majlis tersebut yang merupakan sebahagian daripada Festival Majlis Tradisional Perkahwinan Masyarakat India Muslim Pulau Pinang.

SEGAK menggayakan kurta, pengantin lelaki diarak menggunakan seekor kuda berhias.


Majlis kenduri dijalankan di rumah Julaiha Begum Md. Sultan yang juga Pengerusi Bahagian Wanita LMPP.
“Kami telah berkahwin pada 24 Jun 2011 dan ketika itu hampir 90 peratus majlis perkahwinan kami mengikut cara tradisional India Muslim.
“Bezanya, ketika itu saya menaiki kereta tetapi hari ini saya diarak menaiki kuda,” kata Faizal.
Nooriyah yang merupakan pengurus firma undang-undang berkata, beliau begitu gembira kerana dapat melalui majlis perkahwinan buat kali kedua.
“Majlis ini turut dihadiri sahabat handai yang tidak berpeluang menyaksikan majlis persandingan kami dahulu.
“Tetapi majlis kali ini lebih menarik kerana diadakan secara besar-besaran selain mendapat liputan media,” ujarnya sambil mengukir senyuman.
Upacara tradisional
Pasangan itu menjalani upacara tradisional seperti merisik, bertunang, akad nikah dan majlis persandingan.
Pengantin perempuan juga menjalani majlis berinai yang diadakan sebelum majlis akad nikah.
Perjalanan majlis itu mengikut susun atur sebenar perkahwinan mempelai masyarakat India Muslim.
Difahamkan, ada antara adat tradisi itu tidak lagi diamalkan dalam kebanyakan majlis perkahwinan masyarakat India Muslim Pulau Pinang selain ada keluarga memilih mengikut adat istiadat perkahwinan orang Melayu.
Perasmian majlis perkahwinan itu disempurnakan Puan Seri Fawziah Begum Mohd. Abu Bakar, isteri bekas Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Turut hadir, Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Pulau Pinang, Ong Hui Guan.
Sementara itu, Pengarah JKKN Mohd. Rizal Ismail berkata, majlis perkahwinan itu adalah yang pertama untuk didokumentasikan oleh jabatan itu sebagai persediaan untuk TMM 2014.
“Dokumentari ini akan disimpan sebagai bahan rujukan dan akan disalin ke dalam bentuk video cakera padat digital untuk diberikan kepada pelancong dalam dan luar negara.
“Ini adalah salah satu tarikan yang unik di Pulau Pinang yang kaya dengan khazanah tradisi masyarakatnya. Selain itu, generasi hari ini juga perlu mengetahui adat resam mereka yang mempunyai makna tersendiri,” ujar beliau.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: