• Guru agama derita barah perutAhli rombongan menyampaikan bantuan kepada Zaini ketika melawatnya, semalam.

NIBONG TEBAL - Seorang guru agama terpaksa menanggung penderitaan akibat penyakit barah perut tahap empat yang dideritainya sejak setahun lalu.

Zaini Mohamad, 53, berkata, penyakitnya mula dikesan sejak Ramadan lalu apabila dia mula kerap kali diserang sakit perut.

“Selepas mendapatkan rawatan di klinik swasta, saya menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan didapati terdapat ketulan di bahagian perut yang semakin membesar.

“Penyakit yang semakin kronik menyebabkan doktor tidak berani untuk menjalankan pembedahan dan kini saya terpaksa menahan sakit menerusi ubat-ubatan yang dibekalkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Sungai Bakap selepas menerima sumbangan yang disampaikan Kelab Preve Utara, semalam.

Turut menyertai lawatan ialah ahli Kelab Hilux Utara, Persatuan Angkatan Islamiah Malaysia dan Persatuan Titian Kasih.

Zaini menerima sumbangan barangan keperluan berserta wang tunai bernilai RM3,500.

Dia yang memiliki anak berusia antara 20 sehingga lima tahun berkata, anak sulungnya terpaksa berhenti belajar dan bekerja untuk menampung pendapatan keluarga.

Katanya, anak sulungnya kini bekerja di sebuah pusat asuhan di Shah Alam manakala anak-anak yang lain belajar di sekolah pondok di sini.

“Saya berhasrat untuk mencari pengamal perubatan tradisional memandangkan sudah seminggu tidak dapat membuang air besar.

“Diharapkan ada yang dapat membantu memandangkan pelbagai usaha sudah dilakukan untuk menyembuhkan penyakit ini,” katanya yang akan menjalani rawatan susulan di Hospital Bukit Mertajam pada 8 Januari ini.

Bantuan wang tunai boleh dihulur ke Bank Islam isterinya, Habsah Mat Isa melalui akaun 02057022305618.