|
SEKITAR bulan September tahun lalu, aktor Farid Kamil masih merahsiakan identiti anaknya. Sekadar memberitahu nama anak lelakinya Muhammad kepada umum, Farid juga masih belum mempunyai tarikh khusus bagi mengadakan majlis akikah serta khatam al-Quran untuk Diana Danielle yang akan disiarkan secara eksklusif dalam satu program di Astro.
Terkini, Farid yang ditemui pada majlis prebiu filem terbaharu lakonan isterinya, Kami Histeria di Cathay Cineplexes Cineleisure, Damansara, Selangor, dia mengakui belum mempunyai tarikh akikah anaknya kerana masih menunggu Diana menghabiskan bacaannya.
Selain itu, Farid yang sebelum ini enggan mendedahkan gambar anaknya kepada umum dikhabarkan sudah mencipta akaun Instagram dan Twitter khas atas nama anaknya, Muhammad.
Kewujudan akaun Instagram dan Twitter tersebut membuatkan peminat tertanya-tanya sama ada Farid mahupun Diana sudah bersedia mendedahkan anak mereka yang berusia enam bulan itu. Ikuti penjelasan Farid kepada Kosmo!.
Kosmo!: Sudah mempunyai sebarang tarikh bagi majlis akikah anak dan khatam al-Quran untuk Diana?
FARID: Masih belum ada lagi. Majlis akikah tetap akan berlangsung tetapi mengikut kecepatan Diana menghabiskan bacaan al-Quran.
Bagaimana perkembangan Diana dalam pembacaan al-Quran?
Tiada paksaan. Saya harus beri dia peluang untuk menghabiskannya.
Bagaimana pula dengan program eksklusif yang akan menampilkan majlis akikah anak kalian di kaca TV?
Program TV itu saya tidak pasti. Program itu atas rundingan mereka (pihak Astro). Saya hanya menjaga nilai eksklusif anak saya.
Jika Farid menjaga nilai eksklusif anak, bagaimana pula dengan gambar-gambar Muhammad yang dimuat naik di Instagram menerusi akaun Muhammad sendiri, @muhammadfkdd?
Saya terkejut gambar anak saya dinanti-nantikan orang. Saya tidak mahu menunjuknya kerana dia masih kecil. Akaun Instagram Muhammad itu bukan saya atau Diana yang buat sebaliknya ia dibuat oleh pihak pengurusan Diana.
Apakah perasaan Farid apabila gambar-gambar Muhammad tersebar?
Rasa satu kejutan juga bila mereka menghasilkan akaun dia (Muhammad) dan memuat naik gambar anak saya. Namun, pada saya gambar-gambar yang dikeluarkan okey.
Apakah momen menjadi seorang bapa?
Kalau boleh saya tidak mahu berpisah jauh dengan Muhammad. Saya mahu tengok proses pembesarannya di depan mata tetapi hendak buat macam mana, saya kini sedang mengikuti latihan Unit Tindakan Khas (UTK) di Muar, Johor.
Saya cuma berkesempatan melawatnya seminggu sekali sahaja. Bagaimanapun, saya beritahu Diana tidak mahu melepaskan momen Muhammad berjalan.
Kenapakah Farid mengikuti latihan UTK?
Saya mengikutinya dengan rela hati dan saya berbesar hati kerana diberi peluang. Bila saya terlibat dalam unit ini secara tidak langsung ia dapat membentuk jati diri dan disiplin.
Berapa lamakah tempoh latihan tersebut dan apakah bentuk-bentuk latihan yang perlu anda lalui?
Secara keseluruhan latihan itu mengambil masa selama tiga bulan. Saya perlu menjalani latihan selama 12 jam sehari. Antara latihan-latihan yang perlu dilakukan adalah mendaki bukit dan menembak.
Komen sedikit mengenai kemunculan Diana dalam filem Kami Histeria selepas berkahwin dan melahirkan Muhammad?
Pada saya, ia suatu permulaan baik untuk dia. Saya tidak menghalangnya untuk terus berlakon, cuma saya ada menasihatnya agar tidak lagi mengejar keseronokan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: