• Debaran AJL 28Barisan penyanyi yang bakal berentap pada Anugerah Juara Lagu ke-28. 

Anugerah Juara Lagu 28 (AJL 28) adalah antara acara popular yang sering dinanti-nantikan seluruh penggiat dan peminat seni muzik tempatan.

Sedar atau tidak penganjuran AJL yang bertujuan memartabatkan industri muzik tanah air kini memasuki hampir tiga dekat.

Sama seperti tahun-tahun lalu, acara berprestij ini sentiasa dimeriahkan dengan idea persembahan yang menarik bersesuaian dengan tema yang telah ditetapkan.

Lebih menarik, tahun ini AJL 28 memperkenalkan Game On sebagai konsep dan tema persembahan.

Penerbit AJL 28, Khalijah Mohamed berkata, arus pembangunan industri muzik tanah air sentiasa membuka ruang kepada penggiat muzik yang sentiasa berani menyahut cabaran dan menggalakkan eksperimen baharu dalam membentuk seni muzik yang lebih kreatif.

"Ini tahun ke-28 penganjuran AJL, sudah tentu kami mahu memilih satu konsep yang baru dan segar dan 'Game On' menepati ciri-ciri yang kami mahukan.

"Setiap peserta akan mencari idea tersendiri untuk membuat persembahan mengikut tema dan ia tidak melibatkan susunan muzik lagu yang disampaikan," katanya.

Menurutnya, tema yang ditetapkan AJL juga sedikit sebanyak dapat menguji kreativiti peserta.

"Bukan sahaja menjadi pentas pengadilan untuk lagu-lagu terbaik, malah AJL juga merupakan salah satu platform buat penyanyi dan komposer menguji daya kreativiti menyampaikan lagu bersesuaian dengan tema yang di tetapkan setiap tahun," katanya.
AJL 28 akan bersiaran secara langsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil bermula 9 hingga 11.30 malam pada 26 Januari ini.

Antara 12 artis berkumpulan dan solo yang akan membuat persembahan adalah Aku Pelat (Salammusik), Takkan Terpisah (Black), In Love With You (Aizat Amdan & Noh Saleh, Hanya Aku (Hyper Act), Bosan (Stacy), Bahagiamu Deritaku (Hafiz), Penglipur Lara (Hazama & The Penglipurlara), Ikut Rentakku (Jaclyn Victor), Sahabat (Najwa Latif feat Sleeq & Syamkamarul, Tanda Tanya (Azlan & The Typewriter), Kau Yang Terindah (Alyah) dan Kalau Aku Kaya (Awi Rafael & Altimet)
Selain finalis bertanding penonton turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada beberapa artis popular seperti Shila Amzah, Mus (May), Waris, Ziana Zain, Datuk M Daud Kilau, Dali (Ahli Fikir) dan Zaidi (One Nation Emcees).


Gandingan AG, Scha

Tanpa hos, sesuatu acara mungkin tidak dapat berjalan dengan baik.

Berbeza dengan tahun sebelumnya, AJL 28 kali ini bakal menampilkan pasangan hos Muzik-Muzik 28, AG dan Scha Al Yahya.

Pertama kali digandingkan bersama di pentas AJL, Khalijah bagaimanapun yakin kemampuan kedua pengacara itu untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

"Kami lihat AG dan Scha ada keserasian yang baik dan bagi saya kelebihan ini akan mampu menghidupkan suasana malam AJL 28 nanti. AG dan Scha masing-masing ada kekuatan yang tersendiri tambahan pula mereka berdua ada pengalaman mengendalikan program Muzik-Muzik 28.

"Jadi tidak ada perkara yang perlu kami risaukan kerana mereka berdua mampu menjadikan malam AJL 28 berjalan dengan lancar," katanya.