PETALING JAYA: Pelakon Beto Kusyairy mengakui dia seorang yang suka berahsia apabila diminta menceritakan kisah peribadi mahupun perihal keluarga.
Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan Osman, 34, berkata, dia mengambil pendekatan untuk tidak terlalu menceritakan perihal keluarga kerana merasakan ia terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum.
"Saya ada juga kongsi perihal keluarga tetapi secara dasarnya sahaja. Bukannya apa, sebagai seorang selebriti, menjadi lumrah umum akan tahu serba serbi tentang diri saya.
"Jadi biarlah saya simpan sedikit hal peribadi untuk diri saya tanpa ditatap orang ramai. Memang saya seorang perahsia apabila membabitkan hal-hal berkaitan keluarga," katanya kepada mStar Online.
Tambah Beto, sifat perahsianya itu juga timbul mungkin kerana dia juga seorang pemalu dan pada masa sama risau apabila setiap pertuturan kata yang dinyatakan akan membuatkan orang rasa benci.
Justeru itu, Beto ingin membuatkan orang ramai lupa mencari kisah-kisah peribadinya dengan cara menampilkan hasil lakonan yang terbaik setiap kali muncul di kaca televisyen mahupun layar perak.
"Saya percaya, apabila kita terlalu terbuka, memang orang terlalu cepat terima kita. Tetapi kita juga mungkin akan terlalu cepat dibenci.
"Jadi sebagai hadiah buat peminat, saya akan bekerja keras untuk hasilkan lakonan yang terbaik. Barulah mereka berpuas hati ketika menonton," ujarnya.
Sementara itu, Beto akan muncul menerusi drama Qadr, arahan Faisal Ishak bermula Khamis ini di saluran Astro First.
Drama tersebut turut menampilkan Zahiril Adzim, Shera Ayob, Kismah Johar dan Tengku Hanis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: