- Aiman Hakim
Menurut Aiman, 24, dia terpaksa menarik diri di saat akhir dari menyertai perlawanan amal bola sepak antara Malaysian Artist Sports Club (MASC) dengan pasukan Lavester di Sabah, atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
"Saya memang teringin untuk ke Labuan dan main bola bersama rakan-rakan yang lain. Tapi, pada masa yang sama. saya terpaksa membuat pilihan.
"Sebenarnya, saya sedang menjalani penggambaran drama untuk TV9. Walaupun pada awalnya saya bersetuju untuk ke Labuan pada waktu itu, namun produksi memilih untuk mempercepatkan tempoh penggambaran kerana sudah beberapa hari tertangguh akibat hujan.
"Jadi, nak atau tidak, saya terpaksa korbankan satu darinya. Saya terpaksa memberitahu perkara itu di saat akhir kerana saya sendiri tidak dimaklumkan lebih awal mengenai 'cut down' itu. Namun, saya tahu, ia adalah salah saya," kata pelakon drama bersiri, Vanilla Coklat ini.
Mengenai dakwaan sukar untuk memberikan kata putus mengenai kegagalan hadir ke program berkenaan, Aiman memberitahu, dia terpaksa menyerahkan tugas itu kepada pembantu peribadinya.
"Ketika itu, Aiman menjalani penggambaran di Kuang. Jadi, rangkaian telefon tidak berapa elok. Jadi, saya serahkan telefon itu kepada pembantu saya.
"Sebab itulah dia (pembantu) yang menjawab segala panggilan di telefon. Its not about money!," katanya yang bercadang untuk berjumpa pihak pengurusan tidak lama lagi.
Menurut Aiman, dia akan berjumpa pihak berkenaan untuk menjernihkan keadaan agar ianya tidak berlarutan dan menjadi duri dalam daging.
"Mereka juga terdiri daripada kalangan rakan-rakan saya. Sejujurnya saya berasa bersalah sangat-sangat. Buat masa ini, jadual saya masih padat.
"Insya-ALLAH, saya akan berjumpa dan meminta maaf pada mereka tidak lama lagi," katanya.
Aiman puji Emma Maembong
Sepanjang penglibatannya dalam industri seni, nama Aiman beberapa kali dikaitkan dengan kontroversi melibatkan masalah disiplin.
Namun, kontroversi sebegini tidak melemahkan semangat Aiman untuk terus bekerja dan memberikan yang terbaik dalam lakonan.
"Saya tak kisah apa jua tohmahan orang ada saya. Lagipun, saya tiada hak untuk menutup mulut orang. Namun, orang yang pernah bekerja dengan saya semestinya tahu dan kenal saya.
"Bagi saya, ia hanyalah dugaan sebagai anak seni. Malah, segala tindak tanduk kita walaupun sekecil zarah sekali pun, tetap di ambil kira," katanya yang dipilih sebagai tonggak utama menerusi drama adaptasi terbaru, Projek Memikat Suami.
Bertanya mengenai gandingan bersama pelakon cantik, Emma Maembong, Aiman mengakui, bintang itu mempunyai keistimewaan tersendiri dalam lakonan.
Walaupun masih baharu, namun bagi Aiman, Emma mempunyai bakat yang bagus dan berjaya berada sebaris dengan bintang-bintang terkenal.
"Saya tidak pernah bekerjasama dengan Emma sebelum ini, namun apa yang saya nampak, Emma sangat membantu dalam menghayati watak dan komunikasi.
"Di awal penggambaran, saya agak terkejut melihat potensi Emma dan dia adalah pelakon yang bagus," katanya yang mengakui tidak pernah keluar bersama pelakon ini di luar set penggambaran.
Bertunang tahun ini?
Walaupun sering berdolak-dalih mengenai hubungan istimewanya bersama pelakon cantik, Nur Fathia Latiff, 26, namun penafian itu ada kalanya sukar menyembunyikan status mereka.
Menurut Aiman, penafian itu bukan kerana melibatkan populariti, namun lebih kepada mengutamakan kedua ibu bapa mereka.
"Saya dan Fathia memang rapat dan dia merupakan wanita yang paling dekat dengan saya. Saya tak kisah apa jua tanggapan dan andaian orang mengenai hubungan kami.
"Namun, kami lebih selesa untuk tidak terlalu terbuka dalam berbicara mengenai hubungan cinta dan peribadi. Tunggulah ada ikatan yang sah dahulu, sekurang-kurangnya bertunang.
"Kami masih ada ibu bapa yang perlu dihormati dan restu mereka amat penting bagi kami dalam melangkah ke fasa yang seterusnya. Bagi saya, hubungan ini masih dalam proses mengenali," katanya lagi.
Tambah Aiman, fokus utama di lembaran 2014 lebih kepada kerjaya dan berazam untuk memperbaiki kelemahan diri serta menjadi insan yang lebih baik.
"Pengalaman lalu banyak mengajar saya apa itu kehidupan. Jadi, pada tahun ini, saya harapkan yang terbaik dalam kehidupan terutamanya dalam bidang kerjaya.
"Soal jodoh, biarlah menjadi rahsia Allah SWT. Kalau ada jodoh, kami terima dengan hati yang terbuka. Soal bertunang, kami tidak pernah berbincang mengenainya.
"Kalau dah sampai jodoh, Alhamdulillah." katanya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: