Monday, September 2, 2013
Suntikan inspirasi George Benson
ADA sebab mengapa perlu ke Konsert Jelajah Inspirasi George Benson yang berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam Rabu minggu lepas.
Pertama, kerana mahu mendengar petikan gitar yang pasti automatik menikam terus ke jantung dan keduanya untuk mendengar alunan merdu vokalnya terutama lagu hit Nothing's Gonna Change My Love For You.
Sesiapa saja peminat setia penyanyi jazz itu pasti memberikan jawapan yang sama. Beliau seorang penyanyi hebat, gitaris luar biasa dan penghibur yang dinamik.
Sebanyak 36 buah album studio, lima buah album live dan tujuh buah album kompilasi sudah cukup menterjemahkan hasil persembahannya selain album keempat di bawah label Condord Records, Inspiration: A Tribute to Nat King Cole yang baru dilancarkan Jun lalu.
Bagai sudah menjangkakan bentuk kejutan yang bakal dijamu George sebelum melangkah masuk ke dewan berprestij itu. Tapi penyanyi itu memberikan lebih daripada yang dijangkakan!
George membuka rendisi rentak perlahan dengan lagu Weekend in LA kemudian disusuli Breezin, Love x Love dan Kisses The Moonlight.
Beberapa lagu lain yang mengikat penonton untuk terus setia melekat bersamanya adalah Feel Like Making Love, Give Me The Night, This Masquerade, hit sepanjang zaman Nothing's Gonna Change My Life For You dan persembahan ditutup dengan lagu On Broadway.
Keupayaan vokal George menerusi lagu In Your Eyes, Give Me The Night dan Turn The World Around memang tidak disangkal namun, seandainya lagu-lagu tersebut dibikin secara instrumental pastinya malam itu lebih membuai jiwa.
George bagaimanapun menyeimbangkan persembahannya dengan beberapa segmen yang diselang-seli dengan pengalaman dan jenakanya bersahaja.
"Sudah lama tidak berkunjung ke Malaysia dan akhirnya saya kembali untuk menghiburkan peminat saya di sini. Mereka (peminat) telah membuktikan kepada saya bahawa mereka suka apa yang saya lakukan," ujarnya serba ringkas.
Salah sebuah lagu yang disampaikan George pada malam tersebut merupakan nyanyian asal Nat King Cole yang dirakamkan lima tahun lalu berjudul All In The Game.
Sementara, This Masquerade pula merupakan nyanyian asal Leon Russell dan berjaya disampaikan George seperti sebuah lagu versi dirinya sendiri.
Begitu juga lagu On Broadway yang menutup tirai persembahan pertamanya di Malaysia Rabu lalu yang asalnya telah dipopularkan oleh The Drifters.
Beliau telah melakukan keajaiban yang sering gagal dilakukan oleh artis lain iaitu mencipta putaran baharu tanpa merosakkan semangat asal lagu.
Menyerikan acara, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tunku Munawir dan isteri, Tuanku Ampuan Durah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin hadir sama mencemar duli.
Turut serta Tunku Bendahara Kedah, YTM Datuk Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.
Selain itu, Lisa Surihani, Amanda Imani, Datuk Mahadzir Lokman. Noryn Aziz, Adibah Noor, Anuar Zain dan Datuk Sheila Majid antara selebriti yang hadir menyaksikan persembahan memukau George Benson.
Sepanjang 100 minit beraksi di pentas Plenary Hall KLCC, George yang diiringi lima ensembel berhasil menghiburkan. Penonton pula tidak lekang senyum. George Benson semestinya bakal dirindui!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: