Sunday, September 22, 2013

Hans bikin filem di Singapura

HANS ISAAC lihat sudut positif walaupun tarikh pementasan Lawak Ke Der 3di Istana Budaya terpaksa ditunda.


PERTENGAHAN Ogos lepas filem arahan, lakonan dan terbitan Hans Isaac, Lemak Kampung Santan gagal meraih sambutan menggalakkan. Kecewa dan terkilan, Hans hampir terduduk dan membuat keputusan mahu menarik diri daripada terus menghasilkan filem.
Namun, pengumuman komedi Lawak Ke Der musim ketiga menjadi penyembuh luka buat lelaki yang hangat dikaitkan sebagai kekasih pelakon Neelofa itu untuk kembali bersemangat. Belum sempat pulih sepenuhnya, dia teruji lagi. Kali ini, persembahan teater komedi yang dijadualkan berlangsung di Istana Budaya pada 3 hingga 6 Oktober nanti terpaksa ditunda ke bulan Disember.
Ibarat jatuh ditimpa tangga, perubahan tarikh itu harus dilakukan demi memberi laluan untuk acara sambutan kunjungan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada 4 Oktober depan. Sementelahan pula, dua pelakon Lawak Ke Der 3, Nabil dan Jambu terikat dengan sebuah acara rasmi pada 6 Oktober.
Ketika produksi berkenaan berkorban untuk memberi laluan kepada acara penting itu, muncul pula desas-desus mengatakan penundaan tersebut berlaku akibat masalah dalaman. Jualan tiket tidak laku serta kurang sokongan peminat lantaran ketiadaan regu lawak popular, Jozan dalam persembahan itu. Desas-desus itu sedikit sebanyak mencengkam emosi Hans sebagai teraju utama persembahan tersebut.
"Memang pada mulanya berasa tertekan bahkan terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara itu memandangkan tiket sudah dijual. Tapi, saya harus berfikir secara rasional. Tidak semua perkara akan berlaku mengikut apa yang kita rancangkan, jadi saya harus akur.
"Cuma apa yang saya tegaskan, semua khabar angin yang mendakwa Lawak Ke Der 3 ditunda disebabkan pelawak-pelawak buat perangai, tiket tak laku kerana penonton mahukan Jozan, semua itu tidak berasas sama sekali.
"Dakwaan itu tidak benar kerana memang persembahan itu ditunda kerana kami harus beri laluan untuk acara penting negara," katanya yang berdepan pertembungan tarikh dan lokasi akibat Istana Budaya harus menyediakan Panggung Sari untuk persembahan kesenian oleh Permata Seni Negara pada tarikh yang sepatutnya menjadi malam persembahan Lawak Ke Der 3 nanti.

BARISAN pelawak yang bakal beraksi dalam Lawak Ke Der 3. Dari kiri Yus Jambu, Nabil Ahmad, Douglas Lim, Harith Iskander dan Taukey Jambu.


Berhubung soal jualan tiket yang dikatakan tidak mendapat sambutan, Hans menjelaskan perkara sebaliknya.
"Apa yang kami tahu, jualan tiket amat memberangsangkan kerana penonton sudah sedia maklum tentang kredibiliti persembahan kami. Saya langsung tidak bimbang mengenai jualan tiket kerana yakin produk itu berbaloi untuk ditonton. Harga tiket juga sangat berpatutan," ujar Hans.
Dia juga menyifatkan penundaan tersebut bakal memberi impak ke atas persembahan komedi itu.
Tambah Hans: "Penundaan ini mungkin boleh mendatangkan kesan positif. Kami akan ada lebih banyak masa untuk publisiti, latihan yang lebih efektif serta skrip yang lebih teliti. Saya lihat ada hikmah lain juga memandangkan jadual persembahan yang baharu itu jatuh pada musim cuti sekolah. Ini sekali gus boleh meningkatkan peluang ibu bapa membawa anak-anak untuk turut sama menonton."
Dalam pada itu, Hans yang masih serik untuk menerbitkan filem tempatan membuat satu perkhabaran terbaharu. Kecewa di negara sendiri, dia memilih untuk ke Singapura demi penggambaran sebuah filem terbaharu berjudul Carmina.
"Keputusan saya untuk tidak lagi terbitkan filem di Malaysia masih muktamad tapi, saya akan menghasilkan sebuah filem Inggeris pada Februari tahun depan khas untuk festival antarabangsa. Filem itu akan menjalani penggambaran di Singapura.
"Saya tidak protes industri filem negara. Namun, saya menemui cara baharu untuk buat filem. Saya pilih Singapura kerana ruang berkarya di sana lebih bebas. Filem itu nanti agak sensitif dan saya sedar, filem begitu sukar untuk mendapat pelepasan.
"Negara kita banyak undang-undang tapi, saya juga tidak mahu filem saya dipotong untuk tayangan umum. Pengisian Carmina yang serius pastinya tiada pasaran di Malaysia, buat apa hendak membazir di sini," katanya yang mengabadikan kehidupan mendiang ibunya sendiri, Carmina Anciano Isaac dalam filem berkenaan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: