Sunday, September 29, 2013

Gabungan rock dan orkestra


ELLA muncul dengan gaya yang mempesonakan ketika dia menyanyi dengan suaranya yang unik.


BUKAN pertama kali rock dan orkestra 'dikahwinkan' di atas satu pentas. Sebelum ini, grup Deep Purple pernah tampil dengan konsep yang sama pada tahun 1969 untuk album Concerto for Group and Orchestra.
Grup Metallica, Portishead dan Radiohead juga tidak ketinggalan menggunakan konsep seperti itu.
Beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa grup rock termasuk di tanah air membuat kolaborasi hebat dengan orkestra.
Grup-grup itu menyerikan suasana dengan penampilan menggunakan gitar elektrik, selo, sut hitam, seluar kulit dan rambut panjang yang tidak berserabut.
Kali ini, di pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur, sebuah festival diadakan dengan kolaborasi antara simfoni bunyi orkestra dan muzik rock untuk diperdengarkan di khalayak ramai baru-baru ini.
Dalam rangkaian salah satu acara DFP Senifest 2013, festival rock ini dibawakan oleh Mus May, Ella dan Man Kidal. Perdampingan atau yang lebih tepat disebut jukstaposisi itu tadi dipamerkan kepada penonton.
'Otai' gitar rock, Man Kidal dalam senyum yang selalunya dilemparkan dengan tenang menyebabkan penonton berasa kagum dengan petikan-petikan gitarnya.
Petikan gitarnya yang tersusun itu tidak seperti yang dipamerkan dalam konsert-konsert rock.
Lebih tepat lagi, lagu-lagu seperti Seruan, Godfather dan Sentuhan Kidal dibawakan dengan penuh disiplin bersama anggota-anggota orkestra.
Set seterusnya masuk ke dalam mood orkestra tetapi disatukan dengan jeritan terkawal dan berkuasa daripada penyanyi rock terkenal, Mus May.
MUS MAY sempat berjenaka ketika membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur.


Penyanyi yang selalu tampil berjenaka dan bersahaja di atas pentas itu menyanyi dengan iringan muzik orkestra yang rumit.
Dua elemen ini bersantun hebat manakala vokal Mus dikawalnya dengan sebaik mungkin.
Mus yang merupakan vokalis kumpulan May itu membawakan lagu Pelayaran, Srikandi Cintaku, Hakikat Perjuangan, Sinar, Sendiri dan Staiway to Heaven dengan bertenaga.
Tidak dinafikan bahawa kemunculan Ratu Rock, Ella merupakan elemen yang paling dinantikan-nantikan penonton.
Gaya Ella dengan memakai busana yang cukup mempesona membuatkan penonton terpesona dengan gaya dan suaranya.
Dia muncul dengan membawakan lagu-lagu pemberi semangat sebagai persembahan awal iaitu Standing in the Eyes of the World.
Ella turut tampil dengan menyanyi lagu Layar Impian, Dua Insan Bercinta dan medley lagu-lagu seperti Sembilu, Rindu serta Sepi Sekuntum Mawar Merah.
Penyanyi itu memang dikenali ramai mempunyai suaranya yang unik.
Kemunculan Ella dalam tujuh buah lagu itu sebenarnya meninggalkan resah buat khalayak.
Pujian juga ditujukan kepada Datuk Ramli MS selaku Pengarah Artistik dan barisan pemuzik lain iaitu Mohd Firdaus Abd. Wahab (bes), Ihzwan Omar (gitar), Shah Nizam Abdul Halim (gitar), Acis@Hashridz Murshim Hassim (keyboard) dan Mohd. Fitri Misran (dram) yang menjadikan pentas rock pada malam Sabtu lepas bertenaga dan berada dalam kelasnya yang tersendiri.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: