Tuesday, September 24, 2013

Zhafran sokong Fouziah



SERI pengantin dan keterujaan melayari bahtera sebagai pasangan suami isteri terserlah pada wajah pelakon Fouziah Gous dan suaminya, Md Zhafran Md Yusof ketika majlis akad nikah selesai.
Hanya dengan sekali lafaz, Fouziah sah menjadi isteri kepada Zhafran tepat pukul 9.42 malam di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 21 September lepas.
Walaupun kelihatan tenang, namun air mata Fouziah mengalir tanda bersyukur dan gembira setelah semuanya berjalan seperti yang dirancang.
“Pada awalnya, perasaan saya sangat berdebar, tapi saya cuba untuk kawal perasaan serta banyakkan berselawat di dalam hati. Saya rasa walaupun mungkin sebelum ini saya sudah biasa berada di hadapan khalayak ramai, namun keadaan kali ini berbeza. Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya dan ia berjalan dengan lancar,” jelas Fouziah ringkas ketika ditemu ramah pihak media.
Fouziah yang anggun memakai busana putih rekaan Atilia Amani itu memilih musim sejuk Pakistan sebagai konsep majlis pernikahannya itu. Majlis tersebut juga dihadiri kira-kira 200 orang tetamu termasuk ahli keluarga dan teman rapat kedua mempelai.
Bicara Zhafran pula, perasaan gementar tetap ada walaupun luaran kelihatan agak tenang. Perasaan bercampur baur memikirkan kini dia telah punya tanggungjawab sebagai seorang suami kepada seorang wanita yang dicintai dan diminatinya.
“Sebelum masuk dewan, saya ada hantar pesanan kepada Fouziah. Namun, dia berjaya tenangkan saya dan meminta supaya saya banyak berselawat dan fokus dengan apa yang perlu dilakukan kelak. Doa ibu bapa dan kawan-kawan juga banyak membantu saya untuk bertenang dan syukur semua berjalan dengan lancar,” kata Zhafran yang sentiasa mengukir senyuman ketika ditemu ramah.
FOUZIAH dan Zhafran bersyukur kerana impian mereka untuk bergelar suami isteri tercapai dengan majlis pernikahan berjalan lancar.


Usaha Zhafran, gelak Fouziah
Bercerita tentang keistimewaan pasangan masing-masing, tutur Fouziah memulakan kisah perkenalan mereka, usaha Zhafran membuatkan dia tertarik dengan ahli perniagaan itu.
“Perkenalan pada bulan Jun tahun lepas memulakan perhubungan kami ini. Namun, ketika itu kami hanya berkawan biasa dan pernah tidak berhubunag buat beberapa ketika. Kami mula rapat semula awal ini dan niat di hati hanya ingin berbincang mengenai perniagaan sahaja.
“Pada masa itu juga, saya mula buka hati saya, banyak beribadat dan minta petunjuk. Secara kebetulan selepas itu, Zhafran banyak berkomunikasi dengan saya dan membantu saya dalam pelbagai perkara. Saya dapat lihat usahanya untuk benar-benar rapat dengan saya.
“Dipendekkan cerita, setelah beberapa perkara yang berlaku secara kebetulan terhadap diri saya dengan Zhafran, ketika itu juga saya sedar mungkin dia merupakan jodoh yang diberi Allah kepada saya,” cerita Fouziah mengimbau kisah perkenalan mereka.
Cerita Zhafran pula, semenjak mengenali dan rapat dengan Fouziah, hatinya sentiasa berasa gembira dan tenang. Gelak tawa dan kecantikan zahir dan batin Fouziah membuatkan dirinya lebih tertarik terhadap wanita ini.
Selain itu, tutur Zhafran, perwatakan Fouziah sendiri pada mulanya telah membuat dia terus melamar Fouziah menjadi isteri walau hanya empat hari berhubungan secara serius.

ZHAFRAN dan Fouziah berbalas tujuh dengan sembilan dulang hantaran yang antaranya berupa set kelengkapan diri, wangian, barangan kemas serta jam tangan.


Tahu batas dan tidak kisah
Jelas Fouziah, sebelum dia menjadi seorang artis, dia sentiasa menjaga batasnya sebagai seorang anak perempuan dan wanita. Dia pernah berjanji kepada ibunya bahawa akan sentiasa menjaga diri sendiri tidak kira bidang apa pun yang diceburinya.
Tambahan kini, setelah mempunyai status sebagai isteri, batasan terhadap karier lakonannya dan pergaulannya juga akan dijaga walaupun tidak diberitahu oleh suaminya.
Menurut Zhafran pula, sebagai seorang suami, dia sentiasa inginkan yang terbaik buat si isteri dan tidak mahu menghalang karier Fouziah sebagai seorang model dan pelakon.
“Tiada apa-apa yang saya bataskan kepada isteri saya. Saya rasa sebagai isteri Fouziah sudah sedia maklum tanggungjawab dan batasannya. Ini kerana sebelum saya mengenalinya, dia sudah pun bergelar seorang selebriti. Jadi, saya tidak kisah jika dia ingin teruskan kariernya dalam bidang ini,” tuturnya yang juga pernah menjadi peminat Fouziah.
Ketika ditembak persoalan tentang penambahan bilangan ahli keluarga pula, kelihatan keduanya sudah bersedia untuk bergelar ibu bapa pada bila-bila masa sahaja.
“Kami tidak membuat sebarang perancangan untuk mendapatkan cahaya mata dan menyerahkan kesemuanya kepada rezeki Allah kelak. Namun, setakat ini, perancangan berbulan madu belum lagi kami rencanakan kerana ingin beri fokus dahulu terhadap majlis resepsi yang akan berlangsung kelak," tutur Fouziah dan Zhafran sama-sama beri jawapan terhadap soalan yang diajukan.

PERNIKAHAN mereka telah mencantumkan dua buah keluarga besar daripada kedua-dua belah pihak.


Terima kasih
Sibuk berbicara tentang kehidupan dan perancangan setelah bergelar suami isteri, sempat juga Fouziah menyelit beberapa kenyataan tentang sokongan yang diterimanya.
“Terima kasih kepada peminat yang telah mendoakan saya dan tidak jemu-jemu menyokong saya sehingga kini. Bangun sahaja dari tidur, perkara pertama ialah membaca laman Twitter saya dan saya rasa bersyukur kerana disayangi peminat. Saya berharap semua orang dapat doakan supaya perhubungan kami ini kekal sehingga ke akhir hayat.
Selain itu terima kasih juga kepada keluarga kedua belah pihak serta teman-teman yang sudi menghadiri dan memeriahkan majlis ini,” tutur Fouziah mengakhiri bicara.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: