• Scha Al YahyaScha Al Yahya

BARU saja dikejutkan dengan berita menjalani pembedahan membuang ketumbuhan Endometriosis dalam rahimnya pada awal September lalu, pelakon dan pengacara, Scha Al Yahya, kini giat merencanakan karier seninya.

Menyifatkan ia sebahagian dari dugaan dalam hidupnya, isteri kepada hos terkenal, Awal Ashaari, ini bagaimanapun, memanjatkan rasa syukur kerana penyakit itu tidak menjejaskan rahimnya. 

Sebagai wanita, tipulah sekiranya dia tidak berasa risau dengan penyakit itu, sementelah ia melibatkan sistem reproduksi yang menghasilkan zuriat. Malah akui Scha, suamilah yang paling risau dengan situasi yang dialaminya.

“Doktor maklumkan ketumbuhan itu belum sampai tahap serius, tetapi jika tidak dibuang, ia boleh membesar dan membahayakan nyawa. Atas nasihat doktor, saya setuju dibedah dan tidak mahu berlengah lagi.

"Saya juga bersyukur kerana semuanya berjalan dengan selamat,” ujar Scha yang turut memuji sikap Awal yang sentiasa bersamanya di saat susah dan senang.

Menyentuh mengenai cahaya mata, Scha berkata, seperti pasangan lain, dia dan Awal juga sudah bersedia sekiranya dikurniakan rezeki dari ALLAH SWT. Namun kesibukan karier, membuatkan mereka tidak mahu terlalu memikirkannya.

“Memang saya sudah bersedia untuk bergelar ‘mummy’, Tapi buat masa ini, kami masih sibuk dengan kerjaya masing-masing," katanya ringkas.


Masih laris

Beralih mengenai karier, ternyata status isteri yang dipegangnya juga tidak menghalang tawaran seni yang datang. Buktinya sehingga kini pemilik nama sebenar Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir, 30, ini masih punya aura dan tuah tersendiri apabila menerima banyak tawaran untuk iklan komersial.

Selain Oral-B, Watson dan SNE Beutskin Essence, Scha juga masih diberi kepercayaan untuk menyambung kontraknya bersama Bio Essence dan Avon Perfume.

Malah turut dipilih untuk menjalani kempen bersama beberapa jenama terkenal seperti Johnsons, Listerine dan Kopiko kopi.

“Alhamdulillah sampai sekarang saya masih diberi kepercayaan untuk menjadi duta produk, model iklan dan  kempen.

“Saya juga dalam proses menyiapkan cawangan butik kedua Schapoholic di Wangsa Walk,” ujarnya yang kini sedang mengasah bakat pengacaraan dan tawaran untuk mengendalikan majlis-majlis keramaian.

Menyangkal dedas-desus yang mengatakan dia menumpang populariti Awal,  Scha berkata, dia sendiri berusaha keras untuk memastikan kariernya di tahap yang membanggakan.

“Saya rasa pandangan ini salah. Saya pasti, mereka yang cakap tu tak buat ‘research’ mengenai saya. Saya bermula dari modeling dan iklan kemudian ke dunia lakonan. Namun, untuk bidang pengacaraan, saya tak nafikan Awal yang banyak membuka jalan.

“Tapi bakat dan kerja keras juga perlu seiringan. Jika saya tidak berbakat dan bekerja keras dengan tawaran yang saya terima, ia tidak akan ke mana. Dan saya yakin, rezeki saya semakin bertambah selepas saya berkahwin. Alhamdulillah rezeki Allah kepada saya dan suami,” ujarnya yang masih lagi belajar untuk mengembangkan bakatnya sebagai pengacaraan.