|
BEKERJA sambil belajar bukanlah sesuatu yang cukup asing dilakukan oleh masyarakat. Ironinya, ia kini menjadi pilihan sebahagian golongan muda pada hari ini.
Tidak dinafikan sudah banyak institut pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan pengajian secara separuh masa, khusus kepada mereka yang sedang bekerja.
Ada yang berbuat demikian kerana inginkan peningkatan dalam kerjaya atau sekadar mengisi masa lapang, semuanya terpulang kepada tujuan dan matlamat masing-masing.
Dalam industri hiburan pula, perkara sebegini turut menjadi pilihan segelintir artis yang kini menuntut di institut pengajian tinggi dan pada masa sama masih meneruskan karier dalam bidang seni.
Salah seorang artis yang berbuat demikian ialah pelakon Rashidi Ishak yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Mula menuntut di universiti berkenaan pada tahun 2004, suami kepada pelakon Vanida Imran itu mengakui ia bukanlah satu langkah yang mudah buat dirinya.
Matlamat utamanya untuk menjadi antara artis yang berpelajaran tinggi, Rashidi menyatakan pelbagai cabaran terpaksa dilalui semata-mata ingin menggenggam segulung ijazah.
"Sudah tentu saya berhadapan dengan pelbagai kesukaran sepanjang pengajian, meskipun saya cuma mengambil pengajian secara separuh masa dan kelas pula dilangsungkan pada hujung minggu.
"Kalau rakan-rakan yang lain menamatkan pengajian mereka selama empat tahun, saya pula berbeza kerana memerlukan masa sehingga tujuh tahun dan sudah tentu ia satu tempoh yang cukup lama," ujarnya yang akhirnya berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2011.
Ketika ditanya faktor yang menyebabkan dia tidak mampu menamatkan pengajiannya lebih awal, pelakon itu memberitahu jadual kerjaya sebagai pelakon yang tidak tentu masa menjadi penghalang utama.
|
Jelasnya, dengan lakonan sebagai punca rezeki utama, biasanya ada tawaran berlakon yang diterima memerlukan dia berada di lokasi dalam tempoh lama sehingga dia tidak dapat hadir ke kelas.
"Selalunya jadual lakonan pasti akan bertembung dengan waktu kelas pengajian. Memandangkan berlakon itu periuk nasi saya, pastinya ia lebih menjadi keutamaan.
"Akibatnya, saya beberapa kali terpaksa menangguhkan semester pengajian. Selain itu, saya pernah gagal dalam beberapa mata pelajaran sehingga terpaksa mendudukinya semula," ujarnya.
Akuinya, dia juga pernah berasa sangat tertekan sehingga tidak mahu menamatkan pengajian, namun sokongan daripada ahli keluarga menjadi kekuatan buat dirinya.
"Untuk melakukan perkara sebegini bukanlah mudah kerana ia memerlukan komitmen yang tinggi. Paling penting, seseorang itu perlu bijak dalam pembahagian masa supaya tidak tercicir dalam pelajaran dan kerjaya," ujarnya.
Ternyata kejayaan yang diraih olehnya itu telah menjadi pemangkin buat isterinya untuk mengikut jejak langkahnya. Ketika ini, Vanida juga sedang menyambung pelajaran, namun Rashidi enggan memberitahu tentang universti dan bidang pengajian yang dipilih oleh isterinya itu.
Kata dua
Pada saat karier lakonan yang semakin berkembang dengan pelbagai tawaran yang mencurah-curah, ternyata ia memberi tekanan kepada pelakon Nelydia Senrose yang kini sedang mengikuti pengajian Diploma Psikologi di Kolej SeGi.
Menurut Nelydia, melakukan dua perkara dalam satu masa yang serentak dirasakan sebagai satu bebanan yang agak besar sehingga dia berbelah bahagi sama ada mahu mengutamakan pelajaran atau lakonan.
"Sudah tentu pelajaran itu amat penting buat saya, tetapi tidak sangka pula rezeki saya semakin murah dengan tawaran yang mencurah-curah. Apa yang sedang dilakukan ini iaitu belajar dan berlakon adalah minat saya.
"Begitu juga dengan jadual kehidupan harian saya yang selalu tidak menentu. Adakalanya penggambaran tamat pukul 6 pagi, kemudian saya cuma dapat berehat selama dua jam sebelum pergi ke kelas pula," jelasnya.
|
Menyedari ia merupakan satu tugas yang berat dan sukar demi mengecap kejayaan dalam kedua-dua bidang, Nelydia akui dia masih lagi mampu untuk berhadapan dengan segala cabaran.
Ungkapnya, dia bersyukur kerana meskipun sibuk dengan lakonan sekarang ini, pelajaran tetap tidak dilupakan serta keputusan peperiksaan yang diterima agak memuaskan setiap semester.
"Dalam perkara ini, pensyarah begitu memahami keadaan saya dan memberikan sedikit kelonggaran, malah rakan-rakan turut memainkan peranan penting membantu saya.
"Biasanya kalau ada kelapangan kami akan mengulangkaji bersama-sama dan mereka membantu menerangkan lebih lanjut tentang topik-topik pelajaran yang saya ketinggalan," ujarnya yang kini sudah berada di tahun kedua.
Hujung minggu
Berbanding pelakon, ternyata kerjaya sebagai penyanyi dilihat lebih mudah kerana biasanya sesuatu persembahan akan berlangsung pada waktu malam atau hujung minggu.
Penyanyi Najwa Latif yang sudah aktif dalam nyanyian sejak di bangku sekolah lagi berkata, ketika mula-mula bergelar penyanyi dahulu dia sudah meletakkan beberapa syarat agar sesi persekolahannya tidak terganggu.
"Saya memberitahu kepada pihak pengurusan yang saya akan menyanyi pada hujung minggu sahaja. Selain itu, mereka turut mengatur segala jadual saya dengan baik.
"Kalau ada persembahan saya akan datang ke Kuala Lumpur pada hari Jumaat dan pulang ke Batu Pahat, Johor pada hari Ahad. Itulah rutin saya setiap minggu sewaktu bergelar penyanyi dahulu," ujarnya.
Menurut Najwa, semasa mula menyanyi ketika berada di tingkatan empat, dia mengakui pembelajarannya sedikit terganggu dan kerap tidak dapat hadir ke sekolah.
|
Ternyata ia merupakan cabaran besar yang ditempuhi kerana ia boleh mengakibat dirinya ketinggalan dalam pelajaran.
Namun begitu, lama-kelamaan permasalahan tersebut telah dapat diatasi dengan susunan jadual yang fleksibel dilakukan oleh pihak pengurusannya.
"Kalau menceritakan pengalaman menarik ketika aktif menyanyi zaman sekolah, saya pernah menyiapkan kerja sekolah di dalam bas ketika perjalanan ke Kuala Lumpur.
"Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan kerana selalunya saya akan membuat kerja sekolah apabila mempunyai masa terluang sebelum persembahan atau ketika berada di rumah kakak," jelasnya yang kini merupakan penuntut Asasi Pengurusan di Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar), Kelana Jaya sejak Jun lalu.
Biarpun meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, penyanyi berkenaan menyatakan, karier nyanyian masih lagi tetap diteruskan seperti biasa.
Ujar Najwa, pihak universiti telah memberi kelonggaran kepada dirinya jika tidak dapat hadir ke kelas, asalkan memberi surat kepada pensyarah.
"Sistem pembelajarannya sekarang ini lebih mudah, sekiranya saya tidak dapat hadir ke kelas, pensyarah akan memasukkan semua nota dalam portal pelajar. Ternyata cara tersebut memudahkan saya membuat ulang kaji pelajaran," ujarnya yang akan menuntut selama setahun sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah pula.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: