|
Ayam rintik di pinggir hutan
Nampak dari tepi telaga
Nama yang baik jadi ingatan
Seribu tahun terkenang juga
TERKENANG-KENANG vokal merdu nyanyian penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza.
Suaranya yang lunak menuju tepat di telinga khalayak sekali gus meninggalkan kesan. Huruf hidup yang keluar dari kotak suaranya dirasakan ikhlas dari hatinya.
Kali ini, dia membawakan sesuatu yang dekat dengan jiwa. Lebih tepat lagi, dia membawa cahaya muzik, alunan, irama dan melodi serta jiwa Melayu ke Istana Budaya.
Serapan jiwa Melayu itu pastinya lebih menghadirkan debar kerana ia merupakan mimpi yang menjadi realiti setelah diulit dalam diri selama 18 tahun nan lalu.
Tarikh 20 hingga 22 September merupakan satu titik di mana mimpinya berleluasa atas nama Konsert Lentera Timur Datuk Siti Nurhaliza.
"Saya rasa puas hati sangat kerana penantian sudah menjadi kenyataan. Tiga tahun lalu, saya suarakan impian saya untuk mengadakan konsert tradisional dan kini di Istana Budaya bersama Orkestra Tradisional Melayu, semuanya berjalan lancar. Saya bersyukur," ujarnya merendah diri.
Dididik dari kecil
Segala rentak di bawah lembayung kemelayuan dibawa dengan gah di mimbar Istana Budaya. Daripada makyong ke ghazal mahupun joget, tidak dilupa nafas baharu dalam dikir yang diberi nama dikir timur.
Justeru selepas dua hari dipentaskan, semuanya mengalir dengan jujur daripada pihak produksi, kerjasama dan aliran suara serta jiwa Siti itu sendiri. Manakan tidak, pohon yang tumbuh dari kecil sudah beranting kemelayuan yang punya akar yang cukup tulen dan kuat. Malam ini, malam terakhir untuk roh Melayu itu disalurkan kuat ke jiwa umum.
Sang biduanita muda ini mengimbas betapa dari kecil dia sudah ditadah dan dilestarikan dengan keindahan budaya Melayu.
"Datuk saya dulu suka mengalunkan violin. Dia panggil cucu-cucu dan perdengarkan lagu-lagu Melayu. Waktu itu, sudah tumbuh kecintaan terhadap lagu-lagu Melayu klasik. Kemudian disusuli dengan nyanyian ibu saya yang sering mengumandangkan lagu-lagu lama seperti Sri Mersing," senyumnya mengingat momen lalu yang sebenarnya akar utuh buat jati dirinya.
"Lagu pertama yang saya nyanyikan sewaktu tadika ialah Sirih Pinang. Maknanya elemen kemelayuan itu sudah ada," tambah isteri tercinta Datuk Mohamad Khalid Jiwa ini.
Budaya Melayu
Senyumnya terukir cantik memberitahu bahawa dalam kesempatan konsert itu, dia menerokai keindahan makyong yang belum pernah dicuba sebelum ini. Dia juga puas melontarkan dikir timur yang mengangkat loghat Pahang, tanah lahirnya yang diletakkan atas predikat unik.
Lalu penulis menanyakan empunya diri, tidakkah dia lelah mengalun lagu-lagu tradisional baik dalam album mahupun persembahan semasa?
"Saya sudah mempunyai empat album tradisional, ia agak mudah dari segi nyanyian. Melalui konsert ini, saya lebih mendalami kemelayuan itu daripada tarian. Saya bertemu dengan kelembutan dalam setiap lenggok tarian yang digemalaikan. Melayu itu lembut dan penuh lenggok," katanya dalam nafas puas.
"Kelainan juga ditemui dalam aspek muzik orkestra yang dibawakan oleh Orketsra Tradisional Malaysia. Khalayak boleh lihat instrumen klasik yang dibawa dan dibunyikan dalam Konsert Lentera Timur ini," jelasnya tentang konsert kerjasama dengan Istana Budaya ini.
Larut dalam jiwa Melayu yang kuat dalam dirinya, lalu dilontarkan soalan tentang pandangannya terhadap sesetengah orang Melayu yang malu dan alergi terhadap lagu, filem malah untuk berbahasa Melayu itu sendiri.
Siti senyum lagi, menjawab dalam tenang dan angguk tanda faham dengan situasi yang dimaksudkan. "Perkara itu tidak boleh dipaksa namun, kita perlu mendedahkan budaya dan bahasa Melayu kepada generasi sekarang.
"Memang lagu-lagu Melayu dinyanyikan tetapi dalam acara-acara tertentu. Semua itu perlu bermula dari alam persekolahan supaya mereka menghargai keindahan budaya, bahasa dan produk Melayu. Mungkin ia boleh diajar melalui tarian dan lagu-lagu," katanya.
Dia juga meletakkan tugasan melestarikan kekuatan budaya Melayu kepada anak-anak seni. Lebih-lebih lagi kepada artis yang sedang diangkat sebagai ikon oleh generasi masa kini.
|
"Saya melihat Loque sebagai anak seni yang punya jati diri yang kuat. Baru-baru ini, kami terlibat dalam lagu Tanah Airku Tanah Airmu Jua dan dia membawakan elemen bunyi lama dalam lagu tersebut. Saya dan suami juga gemarkan lagu nyanyiannya bersama Azlina Aziz, Batu Belah Batu Konkrit. Bagi saya, dia memang kreatif dan usahanya wajar dipuji," jelasnya.
Meletakkan Datuk Sharifah Aini sebagai salah seorang ikon kemelayuan yang unggul, Siti melihat biduanita tersebut berjaya dalam membawakan lagu-lagu tradisional dalam jiwa dan menggunakan suara yang cukup indah.
"Kita perlu ada artis muda yang menjadi ikutan dan tampilkan budaya kita dalam lagu. Jika tidak betul-betul asli atau klasik, mungkin boleh masukkan elemen tradisional dalam lagu," ujarnya mencadangkan penyelesaian.
Bina yakin diri
Bila Siti Nurhaliza, seorang penyanyi dan penghibur melintas di atas panggung, seisi ruang sudah terasa auranya. Lantas apabila pembuluh suara dilagukan, satu panggung boleh terdiam, menghayati. Itu kuasa yang ada padanya. Layaknya, dia dipanggil seri panggung.
Lalu diajukan lagi soalan, dari mana datangnya segala keyakinan dirinya itu. Penyanyi itu juga diajukan soalan tentang cara dia mengumpul segala keberanian sehingga jarang sekali melihat khilafnya sewaktu berdiri cantik menyalurkan getar vokalnya nan indah. Bukan sekadar memuji semberono, buktinya sudah ada di mana-mana.
Ketawa, menutup mulut. Dia menjawab dalam getar ketawa berbaki: "Kalau Beyonce ada alter ego di atas pentas dan menjadi Sasha Fierce, begitu juga Siti. Saya melihat contoh yang baik daripada Beyonce, atas keyakinannya sewaktu konsert. Saya ada satu alter ego di atas pentas. Siti di atas pentas bukanlah Siti versi khalayak lihat di luar. Jujurnya, saya seorang yang pemalu dan segan. Tetapi, bila di pentas, secara automatik saya naik syeikh.
"Bila berhadapan dengan penonton, saya lihat khalayak perlu saya tawan. Perlu bagi sesuatu yang mereka katakan 'wow'. Saya yang kendalikan suasana dan perlu rasa begitu."
Wanita berhoroskop Capricorn ini mengaku semuanya mengalir dan membesar dengan waktu dan pengalaman. Jujurnya, dia sendiri kelakar melihat aksinya yang dulu-dulu, betapa semua pembelajaran berjalan dengan waktu dan kematangan.
"Semuanya saya ambil sebagai pengalaman. Membesar dengan persembahan dan pentas. Malah, sebenarnya persembahan seperti Minggu Setiausaha dan makan malam memberi ruang belajar yang banyak kerana terlibat dengan pelbagai pihak. Kita perlu buat orang rasa selesa dengan kerja kita," jujurnya kembali membumi.
Peralihan waktu memang benar memberi pengalaman dan pengajaran buat Siti Nurhaliza. Namanya cukup besar dan budinya terhadap industri persis pantun yang disebut tadi. Namun satu yang kekal dan perlu jadi tanda aras buat anak-anak seni muda sekarang iaitu jati diri dan perasaan membuminya yang cukup tegar dalam pembuluh darahnya. Sekali lagi, bukan pujian semberono tetapi buktinya sudah nyata. Siti Nurhaliza, dialah lentera timur itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: