|
LAPORAN-laporan muka hadapan akhbar tempatan yang mendedahkan kes mati ditembak mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini khususnya apabila kes-kes tembak ini melibatkan individu berprofil tinggi dan kakitangan awam berjawatan tinggi, misalnya kes Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, yang mati ditembak ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Dengkil ke pejabat beliau di Putrajaya pada 26 April lalu.
Seolah-olah satu musim yang berterusan, kejadian-kejadian tembak secara dekat ini umpama tiada berkesudahan. Pelbagai spekulasi timbul setiap kali kes-kes tersebut mewarnai dada-dada akhbar.
Kekerapan kejadian yang dilakukan secara terbuka tanpa mengira persekitaran secara tidak langsung menunjukkan beberapa kelemahan. Antaranya, keupayaan memiliki senjata api yang mudah di negara ini dan penularan sindiket yang dipercayai menjadi pembunuh upahan.
Faktor mempengaruhi
Menurut Pensyarah Kanan, Bahagian Psikologi, Fakulti Sains Tingkah Laku, Universiti HELP, Dr. J. Anasuya, dari segi kesan sosiologi, mereka yang terlibat dalam jenayah tembak terkesan dengan persekitaran, mahu diberi perhatian, rasa tercabar dengan rakan yang turut terlibat dalam jenayah yang sama dan kemahuan untuk memenuhi sesuatu melalui jenayah.
“Kegiatan tembak ini juga dipercayai banyak mempengaruhi generasi masa kini apabila mereka secara mendadak terdedah dengan realiti dunia luar, mudah mengakses kegiatan jenayah sama ada secara langsung atau tidak menerusi internet, filem-filem dan permainan video dengan elemen keganasan, mahupun dan pengaruh rakan sebaya. Kesan pendedahan ini meningkatkan nafsu mereka untuk mencuba,” katanya.
Walaupun tidak pernah mengendalikan atau membuat penyelidikan berkaitan penembak, Anasuya akui, kumpulan penjenayah ini secara umum mempunyai psikologi yang hampir serupa dengan seorang pembunuh.
“Mereka yang terlibat dalam kes tembak ini boleh dibahagi kepada dua kategori. Pertama, penembak upahan yang melakukannya sebagai satu kerjaya. Kedua, ialah penembak berperasaan membunuh mengikut emosi,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tambah beliau, apabila seseorang itu memilih membunuh seseorang sebagai satu pekerjaan, dia tidak akan terikat dengan sikap empati atau kesan emosi. Ini kerana bagi mereka, sasaran itu hanya untuk wang.
“Mereka juga mungkin seorang penembak yang mahir dan teliti dalam merancang agar mudah terlepas daripada pihak berkuasa. Lagipun, mereka sukar dikaitkan dengan jenayah terlibat kerana merupakan orang yang tiada kaitan dengan mangsa,” ujar Anasuya lagi.
Bagi kategori kedua, iaitu penembak yang mengikut emosi, kumpulan ini melakukannya atas dasar perasaan peribadi, balas dendam atau cemburu. Tindakan mereka lebih mudah dikesan kerana jenayah yang dilakukan tidak dirancang dengan baik dan tanpa memikirkan jalan keluar.
“Secara umum, penembak atau pembunuh, mempunyai personaliti seorang yang suka menyendiri, antisosial dan tidak empati kepada sesiapa. Namun demikian, ia berbeza dengan pembunuh upahan yang boleh terdiri daripada seorang yang berpelajaran, berstatus, suka bersosial dan mempunyai kemahiran misalnya dalam mengendalikan senjata,” jelasnya.
Apabila ditanya tentang rasa bersalah atau kesal, Anusuya berkata, penembak upahan melihat sasaran mereka sebagai satu tuntutan tugas dan tidak lebih daripada itu.
Tiada kekesalan
Seorang lagi pensyarah, Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail, 53, dari Pusat Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia turut menyokong kenyataan bahawa pembunuh upahan tidak mempunyai sifat kekesalan kerana minda mereka seolah-olah sudah diaturcara sedemikian.
“Daripada penyelidikan saya terhadap banduan-banduan yang melakukan keganasan membunuh, kumpulan ini bersikap tidak kisah akan tindakan mereka. Bagi mereka, sungguhpun mengetahui terdapat kesan mendalam terhadap perlakuan itu, namun ia dianggap sebagai suatu perkara yang telah berlaku dan tidak boleh diubah,” katanya.
Ujar beliau, sekiranya ada yang sesal, ia mungkin melibatkan banduan yang telah lama dipenjarakan, mendapat bimbingan agama dan dalam proses keinsafan.
Khaidzir bagaimanapun tidak menafikan masyarakat umum turut terkesan daripada pembunuh menggunakan senjata api ini. Masyarakat berasa tidak selamat dan takut apabila senjata api diperoleh atau digunakan secara mudah tanpa pengawasan atau kawalan.
“Namun, jika diteliti, membunuh menggunakan pisau, parang dan ilmu hitam merupakan antara kaedah membunuh yang digunakan sejak sekian lama. Tetapi pembunuhan menggunakan senjata api seperti pistol dilihat sebagai satu cara baharu dan semakin menonjol.
“Ia mungkin kesan daripada keterbukaan untuk mendapatkan senjata itu di pasaran termasuk melalui laman-laman web. Tidak cukup dengan itu, kaedah membuat senjata api juga banyak dikongsi di internet,” katanya.
Kenal pasti masalah
Dalam pada itu, Pakar Kriminologi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. P. Sundramoorthy berkata, kekerapan paparan jenayah menembak di akhbar tidak bermakna angka tersebut meningkat, sebaliknya lebih menonjol berbanding dahulu.
“Kekerapan media melapor kes seumpama itu telah menarik perhatian umum secara besar-besaran. Ia turut menyedarkan orang ramai untuk bekerjasama dengan polis dalam menawarkan maklumat,” katanya.
Bercakap dari sudut krimonologi, katanya, pihak penguat kuasa dan perundangan perlu mengena lpasti masalah akar umbi termasuk penularan kemasukan haram senjata api di Malaysia.
“Pengumpulan maklumat dan analisis memainkan peranan penting dalam perancangan jangka panjang untuk mengurang dan mengelakkan senjata diseludup ke dalam negara pada masa hadapan,” katanya sebagai salah satu cara menangani masalah ini.
Meneliti motif pembunuhan bersenjata terutamanya yang menggunakan pistol, Sundramoorthy memberitahu, ia boleh berlaku di atas pelbagai sebab dan faktor misalnya persaingan dalam perniagaan, sifat cemburu, tamak, penipuan, korupsi, konflik geng dan kebencian.
Walaupun demikian, ujarnya, kejadian seperti tembak mati bukan merupakan suatu perkara baharu di arena global dengan kebanyakan kejadian disebabkan faktor-faktor yang hampir serupa.
Kajian secara global menunjukkan beberapa negara memegang rekod kes tembak tertinggi. Menurut data Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Amerika Syarikat mempunyai rekod kes pembunuhan tembak sebanyak 9,146 kes pada tahun 2009. Tahun yang sama, Colombia dan Venezuela masing-masing merekodkan 12,808 dan 11,115 kes.
Tiga negara lain dengan kes bunuh tembak tertinggi adalah Brazil dengan 34,678 (tahun 2008), Mexico (11,309 kes pada tahun 2010) dan Thailand (20,032 kes pada tahun 2000).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: