Tuesday, September 24, 2013

Usah abai kecantikan kaki


RAJINKAN diri merendam kaki di dalam air suam bersama limau dan beberapa jenis bunga.


KETAHUI cara mudah dan ringkas bagi mendapatkan tumit dan kuku kaki yang bersih serta cantik menerusi enam langkah yang praktikal.
1) Batu pumis
Amalkan penggunaan batu pumis iaitu batu gunung berapi yang poros dan ringan. Gosok batu itu pada tumit yang kering dan bahagian yang berkematu. Ia membantu kaki kekal cantik ketika menyarungkan kasut tanpa penutup belakang atau selipar.
Sebelum menggosok batu pumis pada permukaan kulit kaki yang bermasalah, rendamkan kaki ke dalam air suam untuk tempoh 10 hingga 15 minit bagi melembutkan tekstur kulit.
Selain batu pumis, lulur pelembap kaki yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan juga ideal untuk menyingkirkan sel-sel mati. Selepas proses melulur, sapu krim kaki atau salap yang mengandungi mentega shea atau mentega koko.
Cari salap atau krim tumit yang mengandungi asid salisilik atau urea bagi melembutkan kematu.
2) Pelembap
Jika tumit kering dan merekah, jumpa pakar kaki atau pakar dermatologi untuk rawatan. Jika masalah itu tidak serius, gunakan produk pelembap yang terdapat di pasaran.
Anda mungkin boleh mencuba memakai pelapik tumit yang dilengkapi fungsi melembutkan kematu ketika berjalan. Selepas kematu itu mengelupas, gunakan krim kaki bagi melembutkan permukaan kulit yang kasar pada tumit.
Gunakan krim yang mengandungi petrolatum, emolien atau humektan seperti asid laktik yang membantu melembapkan kulit.
3) Perangi kulat
Terdapat banyak jenis produk antikulat dijual di pasaran seperti lakuer, krim, losen, cecair, serbuk penyembur dan cecair penyembur. Kesemua produk itu hanya berkesan untuk masalah kaki yang sederhana dan tidak melibatkan jangkitan kulat pada kuku kaki.
Cari serbuk atau penyembur yang berfungsi secara klinikal pada kaki yang mudah berpeluh. Serbuk selalunya mengandungi aluminium heksahidrat klorida bagi membantu mengekalkan kulit dalam keadaan kering.
Namun untuk kaki kering gunakan losen antikulat. Keringkan kulit anda sebelum mengaplikasi serbuk atau losen tersebut.
Bagaimanapun langkah terbaik bagi mencegah masalah kulat ialah dengan menjaga kebersihan kaki. Basuh kaki dengan kerap dan keringkan terutamanya pada celahan jari. Jangan lupa memakai stoking yang bersih.

KUKU kaki perlu dipotong dengan kerap dan pastikan kikis kutikel menggunakan penggilap kuku.


4) Pakai pelindung matahari
Usah meragui kepentingan krim pelindung matahari untuk kaki. Sapukan krim pelindung matahari yang dilengkapi SFP30 ketika berkaki ayam, memakai selipar atau sandal.
5) Sokongan kaki
Berdiri terlalu lama boleh melenguhkan kaki. Memakai pelapik kaki boleh memberi keselesaan pada kaki.
Gunakan pelapik yang memiliki sarung plastik pada bahagian bawah. Pakar kaki mengatakan, sarung jenis itu menguatkan pelapik yang bertujuan menyokong kaki.
6) Kuku kaki
Anda gemar merawat kuku kaki? Teknik yang digunakan amat penting dalam memastikan kebersihan kuku. Potongan kuku yang tidak sekata boleh meninggalkan lebihan kuku dan pertumbuhan kuku kaki yang tidak seragam.
Elakkan memotong kutikel kerana ia mengundang kepada jangkitan kuman pada kuku kaki. Sebaliknya, kikis kutikel itu dengan lembut menggunakan penggilap kuku.
Kuku mudah patah seiring pertambahan usia. Bahan-bahan dalam pewarna kuku atau pembersih pewarna kuku akan mempercepatkan proses tersebut sekali gus mengeringkan tekstur kuku anda.
Bagi melembapkan kulit kaki, anda disaran menggunakan krim untuk kutikel, jeli petroleum atau minyak vitamin E. Sapukan pada keseluruhan kuku kaki termasuk kutikel dan gosok dengan perlahan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: