PERKAHWINAN memang menjadi idaman untuk setiap manusia dengan tujuan memiliki zuriat keturunan dan hidup dalam kebahagiaan.
Maksiat juga dapat dielakkan jika seorang lelaki itu mendirikan rumah tangga.
Situasi yang sama turut dialami oleh Nizam (nama samaran) yang telah berusia 40 tahun dan bekerja sebagai seorang eksekutif sebuah syarikat swasta.
Dia telah berkenalan dengan Siti (nama samaran di tempat kerja yang sama) selama dua tahun.
Nizam bersyukur dengan pekerjaannya itu kerana dia juga dapat mengamalkan sifat berjimat-cermat.
Lelaki yang kini mempunyai tiga orang anak itu dapat membeli sebuah kereta Proton Wira secara tunai dan sebuah rumah murah bernilai RM30,000 di Puchong, Selangor.
“Saya makan tidak bermewah-mewah.
“Saya tidak gemar bersosial seperti menonton wayang, melancong dan bermain boling. Kebanyakan pakaian yang saya beli adalah yang terpakai,” katanya ketika di temui di sebuah kedai makan di Puchong baru-baru ini.
Selain tidak merokok, dia juga tidak teruja untuk membeli kereta mahal.
“Gaji bulanannya hanya untuk membayar sewa bilik dan makan. Sejumlah lagi wang daripada gajinya dihantar kepada keluarga di kampung. Selebihnya, saya simpan.
“Syukur hasil amalan berjimat-cermat itu, dalam tempoh sepuluh tahun sahaja, saya mampu membeli sebuah kereta dan rumah.
“Pada waktu malam, saya berniaga burger di flat yang disewa,” katanya.
Kahwin
Disebabkan dia sudah lama mengenali Siti (bukan nama sebenar), Nizam merancang untuk menamatkan zaman bujangnya.
Dia kemudian berjumpa dengan keluarga Siti untuk meluahkan hasratnya.
“Terkejut saya, kerana keluarganya meminta wang hantaran sebanyak RM20,000. Itu belum termasuk kos kenduri dan makanan untuk para tetamu.
“Perkara itu ternyata merunsingkan saya kerana saya tidak mahu membuat pinjaman peribadi semata-mata untuk berkahwin,” katanya.
Menurut Nizam, dia tidak suka berhutang.
“Hutang itu tidak perlu kerana sebaik sahaja perkahwinan, pelbagai perbelanjaan lain yang perlu kita sediakan.
“Lagi pun keperluan seperti rumah dan kereta telah dipenuhi sekali gus tidak mendatangkan masalah buat saya apabila berkeluarga kelak,” katanya.
Nizam terfikir untuk tidak menjadikan Siti sebagai isterinya kerana kos perkahwinan itu.
“Ada masanya, saya terfikir untuk meninggalkan Siti. Tetapi, masih sayangkan dia. Lagi pun, saya tidak pernah melakukan perkara yang tidak baik dengannya,” ujar lelaki tersebut.
Namun, selepas menghadiri satu ceramah di sebuah masjid di Puchong, dia mempunyai pandangan yang berbeza tentang alam perkahwinan.
“Ustaz itu memberitahu, perkahwinan yang paling penting ialah pernikahan selain mengadakan majlis makan hanya sekadar untuk memberitahu jiran-jiran dan keluarga tentang perkahwinan.
“Selain itu, ustaz tersebut juga memuji sikap saya yang tidak membuat pinjaman peribadi yang bakal menyusahkan saya kelak.
“Dia juga meminta saya berbincang dengan keluarga mertua dan menjelaskan kepada mereka tentang tujuan saya untuk berkahwin,” jelas Nizam.
Terima
Menurut lelaki itu, pada mulanya, agak berat untuk ibu mertuanya menerima cadangannya kerana kakak dan abang Siti melangsungkan perkahwinan secara besar-besaran.
Menurutnya, langkah yang dilakukannya adalah dengan membawa keluarga mertuanya ke kedai makan selain membelikan hadiah kepada mereka.
“Semasa itu, saya cucuk jarum dan menerangkan kepada mereka tujuan saya berkahwin dengan Siti. Saya juga memberitahu, tidak akan mempersia-siakan anak mereka.
“Saya juga memberitahu, saya tidak mahu kehidupan saya dibebani dengan hutang. Syukurlah, selepas beberapa bulan, mereka bersetuju untuk tidak mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran ,” katanya.
Majlis perkahwinan Nizam dan Siti diadakan serba ringkas dengan hantaran hanya RM1,000.
Kini, setelah 15 tahun berkahwin, lelaki itu bersyukur kerana dia telah mempunyai tiga orang anak selain tidak mempunyai bebanan hutang.
“Saya juga dapat menumpukan perhatian untuk membesarkan anak-anak selain dapat mengubah suai rumah.
“Saya juga dapat membeli kereta tanpa berhutang. Sebenarnya, tidak berhutang membuatkan kehidupan kita lebih selesa,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: