DINDING rumahnya dihiasi penuh dengan lukisan bermotifkan tumbuh-tumbuhan dalam belukar, ayam, burung dan pemandangan di jeti sungai.
Sekali imbas, semua lukisan tersebut persis gambar yang dirakam menggunakan kamera digital. Terbit rasa ingin mengetahui makna di sebalik lukisan-lukisan yang bercirikan alam tersebut.
Pemilik lukisan yang dimaksudkan ialah Mohd. Yusof Abdul Wahid, 57, atau lebih dikenali dengan nama Mass Yusof dalam kalangan penggiat seni lukisan tanah air.
Suasana desa
Rupa-rupanya, setiap lukisan yang dihasilkannya merupakan imbasan nostalgia kepada corat-coret yang dilalui pada zaman kanak-kanaknya.
Beliau dibesarkan di Kampung Mentaram, Klang, Selangor dan tinggal jauh dari bandar telah membuatkan persekitaran hutan menjadi medan permainannya dengan kawan-kawan sekampung.
“Semasa kecil, saya terjun dalam kawasan paya dan menyorok di sebalik daun keladi ketika bermain dengan kawan-kawan. Kadang-kadang teringat juga zaman nakal melastik burung bersama mereka.
“Semua itu membuatkan saya rindu dengan kenangan manis yang ditempuhi semasa alam kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di rumah beliau di Ampang, Selangor baru-baru ini.
Ternyata perasaan yang membuai kenangan terhadap nostalgia lama itu tidak dialami Mass Yusof seorang. Beliau memberitahu, ramai rakan-rakannya di laman sosial Facebook turut gembira melihat gambar-gambar lukisan yang dimuat naik olehnya.
Lukisan-lukisan tersebut turut membuatkan mereka mengimbau kenangan lama. Barangkali, rakan-rakannya juga merindukan suasana hidup di desa.
Muzik keroncong
Lain orang lain caranya. Bagi Mass Yusof untuk mendapatkan mood sewaktu hendak mula memegang berus lukisan cukup unik.
Dengan elemen kampung dan tradisi yang sentiasa dekat di hatinya, pelukis itu sering memainkan alunan muzik keroncong tatkala menyiapkan naskhah lukisannya.
Kata Mass Yusof, muzik keroncong boleh membuatkan beliau masuk ke alam khayalan bagi mengimbas memori silam yang penuh dengan pemandangan indah alam semulajadi.
Figura tersebut mendapat pendidikan formal dalam bidang seni halus di Universiti Teknologi Mara pada lewat tahun 1970-an. Bagaimanapun, Mass Yusof terpaksa menamatkan pengajian sebelum tiba masanya atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.
Biarpun begitu, bakat yang ada tidak pernah disia-siakan. Beliau diterima bekerja di Utusan pada tahun 1980 sebagai pembantu pelukis grafik.
“Saya melukis pada masa lapang selepas tamat waktu bekerja. Lama-kelamaan, ada orang yang berminat membeli lukisan saya.
“Selepas bersara, saya banyak menghabiskan masa melukis di studio mini di rumah ini,” ujarnya yang gemar menggunakan teknik pengadunan bahan akrilik dalam lukisan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: