Friday, September 27, 2013

Seni klasik perspektif baharu



MUNGKIN ada sesuatu yang menarik dan mengujakan tentang porselin. Bentuk menarik, kaedah pembuatan yang unik, rekaan terperinci, permukaan yang licin dan harga yang tinggi adalah antara faktor yang menjadikan porselin sebagai bahan koleksi kegemaran golongan khusus.
Ramai yang sanggup menjelajah ke luar negara semata-mata untuk meluaskan koleksi perhiasan seramik mereka. Antara negara yang terkenal dengan pembuatan porselin adalah China, Itali, Denmark dan Perancis.
Pencarian porselin biasanya melibatkan perbelanjaan yang besar. Namun demikian, pencinta seni dan pengumpul porselin tempatan kini berpeluang menjamu mata menyaksikan porselin terbaik dunia yang dipamerkan penuh bergaya di butik baharu Franz di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur.
Butik yang dilancarkan pada awal bulan ini itu menawarkan koleksi dengan rekaan indah berinspirasikan alam semula jadi yang merangkumi pinggan mangkuk sehingga ke barang kemas.
Juara dalam setiap pertandingan dan pameran antarabangsa selain menjadi pilihan utama untuk cenderahati dalam kalangan pemimpin dunia, Franz ditubuhkan di San Francisco, Amerika Syarikat dengan nama Franz Collection Inc. pada Jun 2001.

BUTIK mewah Franz di Pavilion Kuala Lumpur mampu membuatkan pelanggan rambang mata dengan kepelbagaian pilihan yang ditawarkan.


Syarikat itu diasaskan oleh usahawan artistik yang menempa banyak kejayaan, Francis Chen.
Kata Chen, Franz diwujudkan untuk membangkitkan penghargaan orang ramai terhadap alam semula jadi dan memahami falsafah kebijaksanaan Timur menerusi seni porselin.
Palitan warna
Menggabungkan seni pembuatan porselin tradisional China bersama pengaruh artistik Eropah, ia hasil imaginatif dengan palitan warna bertenaga porselin Franz yang diinspirasi daripada gaya Art Nouveau dan lukisan dinding Flying Fairies yang terdapat di Dunhuang, China.
Ia disempurnakan dengan teknik tuangan acuan potongan bawah, satu teknologi yang telah dipatenkan. Ini menjadikan Franz istimewa berbanding jenama-jenama lain terutamanya dari segi perincian rumit yang dipaparkan.
Franz menggunakan lukisan tangan dalam kaca dan dibakar pada suhu 1,200 hingga 1,350 darjah Celsius bagi mencapai kualiti tertinggi sama ada dalam elemen memutih, kekerasan dan kepelbagaian warna.
Mengeluarkan variasi pinggan mangkuk, aksesori dekorasi rumah dan barisan barang kemas, Franz turut menggabungkan aspek bentuk dan fungsi melalui penekanan keperluan harian. Ia sekali gus memimpin individu untuk mengintegrasikan seni dalam kehidupan seharian.
“Saya amat teruja dan gembira untuk berkongsi seni Franz di Malaysia,” ujar Chen.
Katanya, sebagai sebuah bandar raya berbilang kaum dan terbuka kepada banyak pengaruh, Malaysia merupakan padanan sempurna aspirasi Franz yang menyatukan gaya Timur dan Barat.
“Saya berharap Franz dapat menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia yang mencintai keindahan alam semula jadi dan menghargai seni klasik dari perspektif baharu.

SENTUHAN alam semula jadi dalam setiap rekaan porselin Franz menyuntik elemen segar dan elegan.


“Franz memperkenalkan era baharu dunia porselin. Rekaan tiga dimensinya yang unik menawarkan orang ramai cara baharu bagi menghayati seni perhiasan seramik,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Reflections Enterprise, pengedar eksklusif rangkaian Franz di Singapura dan Malaysia, Desmond Teo berkata, pihaknya percaya jenama itu akan diterima baik dalam kalangan pengumpul tempatan.
Kisah Franz
Menghasil dan memasarkan pelbagai aksesori dan dekorasi kediaman, Franz yang kini berpangkalan di Taipei, Taiwan mengeluarkan koleksi yang terdiri daripada pinggan mangkuk dan barang kemas.
Jenama itu memainkan peranan sebagai penghubung antara budaya Timur dan Barat. Rekaan dengan kaedah pertukangan tradisional menyerlahkan karakter ketimuran Franz, manakala seni hiasan Art Nouveau memaparkan aspek Baratnya.
Porselin Franz mula menjadi tumpuan selepas ia memenangi anugerah persembahan terbaik bagi koleksi rama-rama Papillion pada Pameran Hadiah Antarabangsa New York 2002.
Koleksi porselin Franz dihasilkan menggunakan tanah liat dan kaca terpilih di China dengan melibatkan lebih 12 proses pengasingan bahan. Sepanjang proses pengeluaran, setiap produk diukir teliti tanpa mengabaikan tumpuan pada perincian rekaan.
KOLEKSI porselin Franz tidak akan menghampakan pembelinya.


Artisan-artisan Franz mahir dalam teknik tradisional penghasilan porselin termasuk mewarna, menghablur dan menindih kaca bagi menghasilkan produk-produk rumit dan unik.
Rata-rata semua motif koleksi jenama ini berinspirasikan alam semula jadi dengan rekaan flora dan fauna seperti rama-rama, bunga-bungaan, haiwan dan motif lain.
Pelaburan syarikat ini dalam teknik pengeluaran dan artisan berkemahiran tinggi telah memahat nama Franz sebagai satu jenama unik dengan inovasi berterusan dan rekaan berkualiti tinggi. Kini porselin Franz diedarkan di lebih 5,000 butik porselin di seluruh dunia dengan pejabat perwakilan di Asia, Amerika Syarikat, Eropah, Australia dan New Zealand.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: