• Gagal larikan mesin ATMMesin ATM yang ditinggalkan di tepi jalan di sebuah bank di Taman Tasik, selepas gagal dilarikan empat penjenayah.

JOHOR BAHRU -  Meskipun sudah berjaya menarik keluar sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Taman Tasik, di sini, namun empat penjenayah berputih apabila gagal dalam percubaan melarikan mesin berkenaan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.15 pagi itu, semua penjenayah terbabit berjaya menarik keluar mesin ATM dengan menggunakan tali sebelum melarikan diri selepas menyedari tindakan mereka disedari orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Nor Azizan Anan berkata, siasatan awal menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) mendapati sebuah kereta Proton Waja dan satu pacuan empat roda sedang menunggu di luar bangunan tersebut ketika kejadian.

“Namun, mereka meninggalkan mesin ATM di tepi jalan selepas menyedari tindakan mereka dilihat oleh orang ramai yang melalui kawasan tersebut.

“Semua suspek masih belum dapat dikenal pasti dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Nor Azizan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian  hotline 07-2212999 untuk membantu siasatan kes tersebut.