Saturday, September 21, 2013

Wajah 'jambu' rezeki buat Farish


FARISH mencuba nasib dalam bidang bisnes dengan membuka butik yang dikenali sebagai 1984 Jesselton.


KARIER Farish Aziz dalam bidang seni bermula sebagai seorang pengacara, kemudian dia menceburkan diri pula dalam lapangan lakonan dan sudah membintangi banyak drama bersiri dan telemovie seperti Gaia, Kau Dan Aku, Dunia Anita dan Gaia.
Bagaimanapun, namanya kini seakan-akan tenggelam setelah mendirikan rumah tangga pada 2011 dan mengambil keputusan untuk menetap di kampung halamannya di Kota Kinabalu, Sabah.
Bertemu dengannya dalam satu sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, Farish mengakui memang ramai yang beranggapan dia sudah tidak lagi terbabit dalam dunia hiburan.
Ujarnya, sekarang ini dia kembali aktif sebagai seorang pengacara dan sering berulang-alik antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur semata-mata memenuhi tawaran yang diterimanya.
Kosmo!: Sudah lama Farish tidak tampil dalam drama bersiri atau telemovie sekarang. Adakah anda enggan lagi terbabit dalam lakonan?
FARISH: Selepas berumah tangga dahulu, saya membuat pilihan untuk menetap di Kota Kinabalu memandangkan isteri saya yang bekerja sebagai peguam tidak dapat berhijrah ke Kuala Lumpur.
Saya anggap ia sebagai suatu pengorbanan yang besar dengan pilihan yang dibuat kerana saya sedar tidak lagi boleh bergiat aktif seperti dahulu.
Sepanjang menetap di Kota Kinabalu, apakah aktiviti yang anda lakukan?
Selama dua tahun saya telah menjadi penyampai radio untuk stesen Suria FM Sabah, namun kontrak saya berakhir sejak awal tahun lalu.
Selain itu, saya telah membuka sebuah butik pakaian yang diberi nama 1984 Jesselton. Butik saya itu menjual pelbagai pakaian untuk lelaki dan wanita.
Setelah tidak lagi menjadi penyampai radio, bagaimanakah dengan perjalanan karier seni anda sekarang?
Buat masa ini saya kerap mendapat tawaran menjadi seorang pengacara. Namun begitu, saya lebih banyak terbabit dalam program kanak-kanak untuk saluran TVi, Tutor TV dan TVIQ.
Sebenarnya saya agak hairan kerana pada usia yang sudah mencecah 29 tahun, banyak pihak yang menawarkan saya mengacara rancangan kanak-kanak. Saya merasakan bahawa dengan memiliki wajah 'jambu' merupakan suatu kelebihan, namun saya tidak mahu menolak rezeki yang diberikan.
Apabila kembali aktif mengacara, adakah Farish akan menetap terus di Kuala Lumpur?
Buat masa ini, saya akan berulang-alik antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur. Biasanya dalam tempoh sebulan, saya akan turun sekali ke Kuala Lumpur dan menyelesaikan segala kerja yang ada.
Mungkin ramai yang ingat saya akan berasa penat dengan melakukan cara sebegini tetapi saya sudah terbiasa dengan keadaan yang dilalui sekarang.
Adakah Farish tidak teringin untuk kembali aktif berlakon semula?
Keinginan tersebut memang ada memandangkan kali terakhir saya berlakon kira-kira dua tahun lalu menerusi telemovie Simpang Jalan. Selepas itu, tiada lagi tawaran yang saya terima sehingga ramai yang menyangka saya sudah berhenti berlakon.
Ketika ini, rezeki saya memang mencurah-curah dalam bidang pengacaraan tetapi saya sedia mempertimbangkan sebarang tawaran lakonan sekiranya ada nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: