|
WAHIDIN SALIM dengan penuh berhati-hati mengira daun terup yang diterimanya daripada seorang ahli silap mata, Kabir Khan Mohamad Reaz.
Dia yang merupakan seorang jurugambar akhbar Kosmo! pasti terdapat sebanyak 10 kad daun terup selepas dia membuat pengiraan.
“Anda pasti. Masukkan semua kad daun terup tersebut ke dalam poket baju kemeja anda,” kata Kabir.
Wahidin menuruti arahan Kabir.
Ahli silap mata dan psikik itu kemudian menggosok kad terup itu dengan menggunakan kedua-dua tapak tangannya selama beberapa saat.
Wahidin kemudian diminta mengira semula kad daun terup itu yang terdapat di dalam poket bajunya di pejabat Kabir di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
Jurugambar itu terkejut kerana jumlahnya bertambah dari 10 kepada 13 kad daun terup.
Wahidin tergamam sebentar.
Namun, persembahan silap mata itu tidak memberikan kepuasan maksimum kepada kru Jurnal.
Seperti dapat meneka fikiran penulis, Kabir yang berasal dari Georgetown, Pulau Pinang itu melakukan aksi yang berbeza.
Kad terup
Penulis diminta memegang sepuluh kad daun terup tetapi diminta berdiri di sebuah bilik yang pintunya dikunci dengan rapat.
Kabir berdiri berdepan dengan penulis tetapi dihalang dengan cermin bersaiz besar dan panjang.
Dia kemudian menggosok kedua-dua tapak tangannya sebelum meminta penulis mengira kad daun terup yang berada di tangan.
Sekali lagi, jumlahnya bertambah dari 10 menjadi 17 kad daun terup.
Masih tidak berpuas hati, jam tangan Wahidin pula menjadi mangsa.
Kabir yang masih bujang menggenggam jam tangan itu sebelum menggosoknya beberapa kali.
Jarum jam tangan itu menunjukkan pukul 6.30 petang. Namun, setelah digosok jarum jam itu menunjukkan pukul 8.30 malam.
Buku nota Kosmo! yang tidak terdapat sebarang wang kertas hanya direnung oleh Kabir. Selepas sehelai kertas nota itu diselak, terdapat wang kertas RM50 di dalamnya.
Selain silap mata, lelaki yang rambutnya ala penyanyi terkenal, mendiang Elvis Presley itu juga mampu membaca minda seseorang.
Kabir yang agak kepenatan kemudian duduk bersandar di sebuah kerusi sofa sambil menghirup air minuman tin yang dibelinya di sebuah kedai serbaneka berhampiran pejabatnya.
Menurutnya, minat dalam bidang silap mata mula tercetus sejak dia kecil lagi.
“Mungkin kerana bapa saudara saya juga ahli silap mata iaitu George Chan. Ibu bapa kanakkanak lain membelikan hadiah permainan sempena hari jadi anak mereka.
|
“Tetapi, kerana saya meminati silap mata, ibu bapa saya membelikan set barangan silap mata,” katanya sambil tersenyum.
Dia berjinak-jinak dengan dunia silap mata dengan membuat persembahan di depan rakan-rakan sekelasnya.
“Upahnya bukan mewah pun. Hanya habuan gula-gula atau air minuman di kantin. Tetapi, saya tetap puas,” kata Kabir.
Dia kemudian menyambung pengajian peringkat diploma di Universiti Help, Petaling Jaya, Selangor.
Semasa di universiti, Kabir mendapat tawaran untuk membuat persembahan di sebuah hotel di Subang, Selangor.
“Saya sendiri tidak menyangka dapat membuat persembahan di hotel pada setiap Sabtu semasa masih belajar. Walaupun bermula pukul 7 petang sehingga 3 pagi memenatkan badan tetapi saya berasa seronok,” ujarnya.
Lelaki yang berumur 28 tahun itu mengambil langkah drastik untuk menambah ilmu dalam dunia silap mata dengan mengambil keputusan menyambung pengajian dalam bidang tersebut di Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS).
“Saya memperolehi diploma dalam kemahiran silap mata di Chaves Studio of Magic, Los Angeles, California, AS dalam tempoh enam bulan sahaja walaupun tempoh pengajian sebenarnya selama dua tahun.
Teruja
Sebaik sahaja pulang selepas melanjutkan pelajaran, Kabir bertuah kerana mendapat tawaran membuat persembahan di hotel-hotel mewah di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Saya membuat persembahan di sana selama beberapa bulan dan bayarannya juga agak lumayan,” katanya.
Dia juga teruja kerana mendapat peluang membuat persembahan di Hollywood Magic Castle, Los Angeles, California, AS.
“Hanya ahli silap mata terkenal dunia sahaja yang membuat persembahan di kelab itu seperti David Copperfield dan David Blaine,” ujarnya.
Dia juga tidak dapat melupakan sisi lucu dan suspen sepanjang membuat persembahan di Abu Dhabi dan AS.
“Semasa melalui pemeriksaan imigresen di sebuah lapangan terbang yang terletak di Abu Dhabi, salah satu barang yang saya bawa ialah kotak silap mata yang boleh mengeluarkan wang kertas.
“Tetapi, saya ditahan oleh imigresen negara itu sebelum diminta duduk di sebuah bilik. Selang beberapa minit kemudian, beberapa pegawai imigresen hadir untuk menyoal saya.
“Mereka mendakwa saya terlibat dengan sindiket mengeluarkan wang palsu serta membiayai kegiatan jenayah,” cerita Kabir.
Tidak terbayang langsung ketakutan pada wajah lelaki itu ketika kejadian tersebut berlaku.
“Saya kemudian menerangkan tentang profesion saya sebagai seorang ahli silap mata. Sebagai cara untuk membuktikannya, saya diminta membuat beberapa aksi silap mata.
“Saya kemudian membuat persembahan selama 30 minit. Mulanya, hanya dua orang pegawai yang melihatnya sebelum bertambah menjadi tujuh orang kesemuanya.
“Akhirnya, saya dilepaskan. Mungkin kerana mereka bosan (menyoal siasat). Justeru, penahanan saya itu hanya merupakan helah mereka (para pegawai imigrsen) semata-mata (untuk melihat persembahannya),” ujarnya.
Kabir berkata, pengalamannya semasa membuat persembahan di Hollywood Magic Castle itu juga mencuit hatinya.
“Semasa saya sedang asyik membuat persembahan dengan tiba-tiba, seorang wanita pertengahan umur datang berhampiran pentas bertanyakan kepada saya mengenai lokasi tandas.
“Bayangkan, saya berasa terkejut dan tiada pengawal keselamatan yang menghalangnya.
”Lucunya, majoriti penonton ketawa dengan insiden itu kerana menyangka ia telah dirancang,” kata Kabir.
Dia juga tidak dapat melupakan pengalaman tentang seluarnya hampir terlucut dari badannya kerana banyak menyimpan barang silap mata di kedua-dua kocek seluar.
“Nasib baik saya dapat mengawalnya dengan baik jika tidak profesion saya berubah daripada seorang ahli silap mata menjadi penari separuh bogel,” katanya sambil ketawa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: