Tuesday, September 24, 2013

Nilai ketimuran ceongsam moden

WARNA pastel melatari indah ceongsam rekaan Keith Kee.


CEONGSAM merupakan pakaian tradisi kaum Cina yang menonjolkan susuk tubuh dan nilai feminin seorang wanita. Kolar Mandarin pada busana itu pula menyerlahkan leher jinjang si pemakai manakala belahan sisi pada bahagian bawah baju mendedahkan keseksian kaki perempuan.
Keagungan busana klasik itu diangkat tiga pereka tempatan dalam hasil kerja terbaharu mereka. Pemilik jenama Shanghai Sun, Sunny Ng; pereka muda, Keith Kee dan pereka prolifik, Bill Keith berkongsi pentas peragaan bagi memaparkan koleksi ceongsam masing-masing.
Bertempat di The Weld, Kuala Lumpur, pertunjukan fesyen bertemakan Oriental Rhapsody itu turut diserikan dengan keindahan aksesori daripada Rafflesia seperti batu jed yang melengkapi sempurna sehelai ceongsam.
Acara dimulakan dengan paparan tujuh helai ceongsam labuh daripada Shanghai Sun. Supermodel terkenal, Amber Chia mengetuai pentas peragaan dengan persalinan glamor merah jambu. Penggunaan fabrik berkilat dan bergemerlapan meningkatkan ciri eksklusif ceongsam urban tersebut.
“Koleksi kali ini mempunyai fungsi yang sama seperti busana petang atau malam. Pemilihan rona terang seperti merah, perak dan emas memberikan keyakinan kepada wanita ketika melangkah.
“Ceongsam potongan klasik ini elegan digayakan wanita berusia 20 tahun ke atas meskipun ia sarat dengan perincian. Namun jangan bimbang kerana perincian yang diterapkan tidak kelihatan serabut,” jelas Sunny yang turut memaparkan lapan koleksi ceongsam pendek yang digayakan lapan selebriti wanita Melayu.

BILL KEITH (lima dari kiri) bersama para peserta Miss Chinese Cosmos yang memperagakan ceongsam rekaannya.


Kolar Mandarin
Sementara itu, pereka yang sedang meningkat naik, Keith Kee berjaya memukau pandangan mata hadirin dengan rekaan ceongsam koleksi musim bunga/panas 2014 jenamanya. Tujuh ceongsam labuh yang dipertontonkan sedikit lari daripada asas sehelai ceongsam dan cenderung pada rekaan pakaian moden.
Keith sengaja menampilkan rekaan yang sedemikian bagi menyerlahkan nilai couture.
“Pada asasnya, ia tetap sehelai ceongsam kerana saya mengekalkan penggunaan kolar Mandarin. Nilai kontemporari yang diterapkan dalam koleksi terbaharu ini boleh digayakan pada waktu siang atau malam, mengikut kesesuaian majlis.
“Penggunaan fabrik seperti syantung iaitu sutera tebal yang mempunyai permukaan tidak rata atau berkedut-kedut, sutera Thailand, broked China, tulle, kain net dan renda Perancis menambah elegan pakaian ini. Tidak ketinggalan, saya turut menggabungkan nilai Barat dan Timur dengan sempurna,”tutur Keith.
Sementara itu, koleksi ceongsam pendek Keith Kee pula tampak indah digayakan lapan aktres Cina tempatan. Rekaan ceongsam Bill Keith pula diperagakan lapan peserta Miss Chinese Cosmos.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: