Tuesday, September 24, 2013

Aeril Zafrel, Wawa Zainal nafi sudah bernikah


AERIL ZAFRIL menegaskan jika dia telah menikahi Wawa Zainal, perkara tersebut tidak akan disorokkan.


TIDAK ada angin masakan pokok bergoyang. Begitulah yang terjadi kepada dua pelakon popular, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang dikatakan sedang hangat bercinta meskipun masing-masing tidak pernah memberi kenyataan yang jelas mengenai status hubungan mereka.
Terbaharu, pada Sabtu lalu, sebuah stesen radio swasta mengeluarkan gosip, kononnya seorang pelakon wanita yang sudah lama menghilang sebenarnya telah selamat melahirkan anak dan kini sedang berpantang.
Suami kepada pelakon wanita itu pula dikatakan seorang pelakon juga yang cukup popular dengan drama yang ditayangkan pada waktu petang. Berita itu didakwa diperolehi daripada sumber yang boleh dipercayai iaitu keluarga angkat pelakon lelaki itu sendiri.
Ramai yang bertanyakan hal itu, adakah pelakon lelaki yang didakwa telah berkahwin itu merupakan pelakon kacak, Aeril Zafrel kerana secara kebetulan drama lakonannya iaitu Cinta Jannah sedang hangat pada waktu petang di TV3.
Teka-teki bermain di fikiran ramai, mungkin pelakon wanita yang didakwa menjadi isterinya itu adalah pelakon Wawa Zainal yang kebetulan sedang berehat di kampung halamannya di Sabah sejak empat bulan lalu kerana berubat akibat penyakit misteri atau bahasa mudahnya penyakit berkaitan makhluk halus.
Bagi mendapatkan cerita yang sebenar, ikuti temu bual Kosmo! bersama Aeril dan juga Wawa.
Kosmo!: Ada gosip mendakwa seorang pelakon lelaki yang popular dengan drama waktu petang telah bernikah secara sembunyi dengan seorang pelakon wanita. Sekarang drama Cinta Jannah sedang popular dan semua mata tertumpu pada Aeril, ada yang mendakwa pelakon lelaki itu Aeril. Komen?
AERIL: Saya tidak tahu hendak kata apa (ketawa). Itu hanyalah kata-kata tanpa sebarang bukti yang sahih, jika saya nafi dan komen lebih-lebih orang memang tidak akan berhenti bercakap.
Adakah memang benar anda telah berkahwin?
Memang saya tidak berkahwin, saya hanya kahwin dalam drama sahaja (ketawa).
Wanita yang didakwa kononnya menjadi isteri anda adalah pelakon Wawa Zainal. Komen?
Sekarang status kami berdua hanyalah sahabat baik dan saling mempercayai antara satu sama lain. Tidak dinafikan dan tipulah kalau kata kami tidak berjumpa. Jika dia berada di Kuala Lumpur, kami akan keluar makan bersama, tetapi sekarang dia berada di kampungnya di Sabah kerana sedang berubat.
Boleh komen cerita yang kononnya Wawa telah hamil?
Di sini saya ingin memohon tolong jangan sebarkan cerita jika tidak ada bukti dan akan memburukkan orang lain. Andai ada bukti sekalipun dan cerita itu sahih, jika dikeluarkan menjadi aib kepada tuan punya badan, tidak boleh juga dikeluarkan. Jika tidak benar, lagi berdosa dan harus meminta maaf kepada Wawa.
Andai anda berkahwin kelak adakah anda akan menyembunyikan perkahwinan itu?
Perkara yang baik saya akan beritahu kepada orang yang wajib tahu terlebih dahulu kerana bimbang akan menjadi fitnah pada kemudian hari. Jika saya kahwin, pasti ada bukti kerana pelbagai perkara harus diselesaikan seperti dokumen, bukan boleh berkahwin secara senyap kerana akhirnya orang akan tahu juga.
Sejauh mana keterbukaan anda bersama media dan peminat berhubung hal peribadi anda?
Saya lebih suka sembunyikan hal-hal yang tidak ada kaitan dengan kerja contohnya saya berkawan dengan Wawa. Sejujurnya saya tidak pernah sorok pun, lihat sahaja di laman sosial saya. Bagaimanapun, jika hal itu memberi manfaat jika saya kongsi bersama, dipersilakan untuk berkongsi. Tidak kiralah artis atau orang biasa, bukan semua hal kita akan kongsi dengan semua orang.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: