Monday, September 30, 2013

Olesan gincu yang ideal



ALAT solek yang sering disapu pada bibir wanita ini boleh dianggap sebagai item wajib ada di dalam beg tangan mereka. Baik gadis remaja mahupun wanita dewasa, sekurang-kurangnya sebatang gincu pasti disimpan dalam beg tangan yang berfungsi meningkatkan keyakinan diri dalam berpenampilan.
Bahkan, ramai yang tidak kisah jika tidak memakai maskara, pemerah pipi atau pembayang mata, tetapi ada yang enggan keluar rumah tanpa gincu. Bergantung kepada cita rasa masing-masing, ada yang menggemari warna lembut, warna gelap dan tidak kurang yang memilih warna terang.
Gincu merupakan produk kosmetik yang mengandungi pigmen, minyak, lilin dan emolien memberikan warna, tekstur serta perlindungan pada bibir.
Pemakaiannya bermula sejak zaman purba. Wanita purba pada zaman Mesopotamia dipercayai merupakan wanita pertama yang mencipta dan memakai gincu dengan menghancurkan batu permata untuk dioles pada bibir.
Sepanjang awal abad ke-20, gincu hadir dalam bilangan warna yang terhad. Warna merah gelap merupakan salah satu warna yang popular sepanjang abad ke-19 dan abad ke-20.
Warna tersebut juga pernah popular pada tahun 1920-an dan golongan Flappers iaitu wanita muda generasi baharu di Barat memakainya sebagai simbol kebebasan.
Pada awal tahun 1930-an, Elizabeth Arden mula memperkenalkan warna-warna gincu berbeza sekali gus memberikan inspirasi kepada syarikat-syarikat lain mengikut jejak langkahnya.
Sekitar tahun 1930-an, gincu dilihat sebagai simbol seks dewasa dan remaja perempuan ketika itu percaya bahawa gincu merupakan simbol kewanitaan.

SELAIN warna merah dan coklat, warna gincu merah jambu turut menjadi pilihan ramai wanita termasuklah penyanyi antarabangsa, Beyonce Knowles.


Kini, kepelbagaian warna yang ditawarkan membuatkan golongan Hawa rambang mata untuk membuat pilihan. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa ada dalam kalangan mereka masih khilaf mengenai warna yang bersesuaian dengan personaliti masing-masing.
“Biasanya dalam dunia perniagaan, kebanyakan syarikat mahu melihat stafnya kelihatan kemas dan cantik, namun warna gincu yang dipakai tidak perlu keterlaluan hingga menenggelamkan personaliti, imej dan bidang tugasan yang dibawa.
“Sebagai contoh, bagi mereka yang bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan, mereka seharusnya nampak natural dan mesra. Pada waktu pagi biasanya orang Asia khususnya di Malaysia, mengenakan warna merah jambu atau nude,” kata Penasihat Kecantikan Farmasi Colour Cosmetics (FCC), Ili Ruzanna Ismail.
Tambahnya, warna nude yang digunakan tetap akan ada warna asas merah jambu. Gincu berasaskan warna pic dan oren lebih sesuai untuk mereka yang mempunyai kulit tidak terlalu gelap.
Jika seseorang yang berkulit cerah memakai gincu berwarna oren, dia akan kelihatan pucat dan bagi mengelakkan ia berlaku warna oren boleh dicampurkan dengan warna merah jambu.
“Jika mahu nampak manis dan segar pada waktu pagi, oleskan gincu berasaskan warna merah jambu tetapi bukan rona yang terang.
Pilihan warna gincu
“Warna-warna gincu berasaskan warna natural, merah jambu dan coklat lebih elok dipakai pada siang hari berbanding warna-warna yang terang memandangkan kita aktif dan banyak berkomunikasi,” ujarnya sambil memberitahu pemakaian gincu berwarna terang pada siang hari menyebabkan seseorang nampak comot berikutan warna gincu yang pudar.
Pada waktu petang dan malam, tiada masalah jika seseorang itu memakai gincu berwarna gelap dan lebih terang kerana cahaya pada ketika itu tidak sekuat cahaya pada waktu pagi.

CALITAN gincu menggunakan berus khas membuatkan olesan gincu menjadi rata dan kemas pada bibir si pemakai.


Ramai yang menggunakan kesempatan untuk lebih berani mengenakan warna-warna terang pada waktu malam dan kebiasaannya warna merah terang dan burgundy menjadi pilihan.
“Bagi mereka yang mahu mencuba warna-warna terang, dinasihatkan mencuba sampel terlebih dahulu kerana warna pada katalog dan produk sebenar tidak sama.
“Seperkara lagi, tiada syarat jika seseorang itu memakai baju merah, harus mengenakan gincu merah dan jangan pernah menyamakan warna baju dengan warna gincu kerana ia dua perkara yang berbeza,”
Ujar Ili, seseorang itu perlu memilih apa yang mahu ditonjolkan, sama ada baju atau wajahnya. Jika memilih untuk menonjolkan wajah, bahagian mata yang mahu difokuskan, mata, bibir atau pun pipi.
Kebiasaannya, seseorang itu cuma memakai warna senada bagi pipi dan bibir supaya nampak lebih berseri serta natural.
Bagi mereka yang mahu berpenampilan ceria dan segar, boleh memakai gincu berasaskan warna merah jambu seperti warna natural bibir tetapi lebih terang sedikit iaitu warnanya lebih cair daripada bibir.
Mengikut personaliti
“Warna kulit juga mempengaruhi gincu yang dipakai. Orang yang berkulit gelap boleh memakai warna terang tetapi bibirnya akan kelihatan lebih besar kerana asasnya gelap.
“Andai dia mahu memakai warna merah, gincu merah yang dipakai perlu berasaskan warna biru dan bukannya warna coklat. Warna merah yang terang menunjukkan ia mempunyai warna merah jambu atau biru dalam campurannya,” jelasnya.
Jika tidak mahu bibir kelihatan besar, pakai gincu berasaskan warna coklat dan bagi mereka yang berkulit cerah, pemakaian gincu warna cerah akan menyebabkan garisan bibir tidak kelihatan.
PADA tahun 1930-an Elizabeth Arden memperkenalkan himpunan gincu pelbagai warna.


Warna yang sesuai ialah warna merah yang lebih gelap supaya nampak lebih natural.
Ditanya sama ada warna gincu dipengaruhi faktor umur, Ili memberitahu, tiada panduan sedemikian dan sesiapa sahaja bebas memilih warna gincu yang sesuai buat mereka.
Warna-warna terang membuatkan si pemakai berasa lebih muda, namun demikian ia terpulang kepada majlis. Jika menghadiri majlis agama, agak kurang manis apabila memakai warna-warna terang.
“Pemakaian pengilat bibir tidak wajib dan ia boleh dipakai pada waktu siang dan malam. Penggunaannya membuatkan bibir kelihatan sentiasa basah dan tidak kurang pula yang mahu membuatkan bibir nampak lebih besar.
“Cara yang terbaik untuk menentukan gincu yang sesuai adalah terpulang kepada diri sendiri. Jika anda yakin dengan warna gincu yang dipakai menarik, maka teruskan,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: