|
MUNGKIN sebelum ini peminat muzik jazz sering mendengar suara lunak penyanyi yang terkenal dengan genre itu seperti Datuk Shiela Majid atau Noryn Aziz.
Namun, kali ini, Festival Seni DFP 2013 memberi kelainan kepada dunia muzik jazz dengan menampilkan tiga penyanyi yang mempunyai julat vokal yang berbeza.
Alunan vokal mantap Dina Nadzir, Atilia Haron dan Elvira Arul telah memukau penonton dan peminat muzik jazz. Ternyata mereka berpuas hati dengan konsert terakhir Festival Seni DFP yang diberi nama MPO and All That Jazz yang berlangsung pada 22 September lepas di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
Ironi, rata-rata lagu yang dipilih secara asalnya bukan bergenre jazz, namun alunan muziknya telah digubah semula oleh pemuzik orkestra jazz seperti David Ling, Marques Young, Ahmad Muriz Che Rose serta Tiew Kok Khon.
Walaupun ia merupakan pengalaman sulung ketiga-tiga penyanyi wanita tersebut mengadakan persembahan di DFP, namun mereka dilihat berjaya memberi persembahan terbaik.
Ia juga kelihatan seolah seperti tiada cacat celanya sepanjang persembahan berlangsung. Malah, kelunakan dan alunan vokal yang diluahkan oleh Dina, Atilia dan Elvira sememangnya sangat mengagumkan.
Persembahan dimulakan dengan Dina Nadzir yang menyampaikan sebanyak lima buah lagu yang disusun semula mengikut kesesuaian muzik jazz seperti Tudung Periuk, Tak Rela, Itulah Sayang, When I Fall In Love serta medley dua lagu yang berjudul Obsesiku dan Pergi Untuk Kembali.
Selesai Dina, disambung pula dengan penyanyi bersuara manja, Atilia Haron. Sekali lagi peminat dibuai dengan lagu-lagu pilihan Atilia sendiri iaitu Sangkar, Harus Bagaimana, Old Love, Imagine, Breathless dan Indah. Kebanyakan lagu-lagu yang dipilih Atilia merupakan single-single daripada albumnya yang terdahulu.
Elvira Arul juga tidak ketinggalan memberikan persembahan hebat serta kemantapan vokalnya tidak dapat dinafikan lagi. Sepanjang persembahan, dia berjaya menarik minat dan jiwa penonton terhadap muzik jazz serta pengisian lagu-lagu yang disampaikan.
Antara lagu yang dinyanyikan oleh Elvira sepanjang persembahannya ialah Simple Love, Your Voice, I’d Rather Go Blind, medley Diggin’ On James Brown and Georgy Porgy serta Getaran Jiwa yang kesemuanya diberi nafas jazz.
Pada akhir konsert, ketiga-tiga wanita ini berkolaborasi dalam satu persembahan dengan menyampaikan gabungan medley tiga buah lagu, Asmara, Buka Pintu dan Bunyi Gitar.
Mungkin selama ini orang ramai menganggap pentas DFP hanya mampu dihadiri oleh golongan elit sahaja. Dengan mengadakan Festival Seni DFP 2013 ini, pihak DFP telah mengambil inisiatif untuk menarik golongan muda serta menghapuskan persepsi sesetengah masyarakat tentang perkara tersebut.
Kali ini juga, DFP telah memberi kelainan yang mana kesemua lagu yang dipersembahkan pada malam tersebut diigubah baharu mengikut genre jazz dan berbeza daripada konsert jazz lain.
Selain itu, MPO juga berjaya menunjukkan versatiliti mereka sebagai kumpulan muzik orkestra dengan bekerjasama dalam semua genre termasuk rock, muzik asli dan sebagainya.
Kesimpulannya, boleh dikatakan Konsert MPO and All That Jazz berjaya memberi kepuasan kepada 800 penonton yang hadir pada malam terakhir Festival Seni DFP 2013 itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: