|
TIDAK perlu deretan ensemble mengiringi persembahan selama sejam setengah Malam Melayu Klasik di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), malam Isnin lalu.
Cukup sekadar beberapa pemain instrumen tradisional termasuk akordion, gambus dan rebana di bawah pimpinan konduktor Badan Kesenian Yayasan Warisan Johor, Omar Taib sudah memberikan cukup rencah sepanjang persembahan.
Pentas dibuka menampilkan Elly Mazlein sebagai penyanyi jemputan. Elly menyampaikan lagu Tanjung Puteri yang sebelum ini dipopularkan oleh Rosiah Chik serta sebuah lagu nyanyian Elly Kasim, Kaparinyo.
Bersahaja, namun suara lunaknya berjaya mencuri hati penonton untuk setia di kerusi masing-masing.
Bintang kelahiran Akademi Fantasia, Haziq meneruskan persembahan menerusi rangkaian lagu-lagu Ahmad Jais dan Tan Sri SM Salim antaranya Umpan Jinak Di Air Tenang, Di Ambang Sore, Tak Seindah Wajah dan Mohon Kasih. Haziq dalam pada itu turut menyanyikan sebuah lagu duet bersama Rosma berjudul Joget Cinta Sakti.
Muzium
Kemunculan Datuk Andre Goh, satu-satunya penyanyi lagu Melayu asli bukan Melayu sudah pasti dinanti-nantikan oleh penggemar irama tradisional itu.
Andre membuai penonton dengan beberapa buah lagu yang memperkenalkan dirinya dalam industri seni seperti Wak Daeng, Makan Sireh, Joget Penghibur dan Mas Merah.
Selain itu, Andre turut menyampaikan dua buah lagu nyanyian asal Neng Yatimah dan Datuk Sharifah Aini berjudul Asmara Terkenang dan Hiburkanlah Hatiku.
|
Berseloroh tapi dalam masa sama menyampaikan mesej tersirat, kata Andre, dia tidak menjangkakan sambutan hangat penonton yang hadir menyaksikan Malam Melayu Klasik, tambahan pada hari cuti umum sempena Hari Malaysia.
“Saya ingatkan penonton yang datang mungkin cuma 10 orang, tapi syukur rupa-rupanya masih ramai lagi peminat lagu-lagu Melayu asli. Buktinya kehadiran pada malam ini,” ujarnya.
Tambah Andre menyambung bicara bersama penonton: ”Sebenarnya saya takut suatu masa nanti kita hanya mampu menyuruh anak-anak ke Muzium Negara saja untuk mendengar lagu-lagu Melayu asli, walhal acara begini sebenarnya lebih praktikal untuk mendidik.”
Daripada 700 orang penonton yang hadir memenuhi Dewan Filharmonik Petronas, turut kelihatan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan beberapa artis terkenal tanah air antaranya Ella dan suami, Farhan, Fazli Zainal dan Datuk Shah Rezza.
Konsert yang diiringi penari Badan Kesenian Yayasan Warisan Johor itu melantik Onn Jaafar sebagai pengarah artistik.
Turut membuat kejutan ialah kemunculan vokalis kumpulan Ilusi, Ayai menyanyikan lagu Inang Bujang dan Dara selepas memperdengarkan serangkap lagu popular, Puisi Cinta.
Pujian
Sedikit reaksi penonton yang menyaksikan persembahan kali ini, kebanyakannya kurang berpuas hati dengan kelicinan transisi persembahan.
Apabila Elly, Haziq dan Andre sering bertukar posisi dan keluar masuk terlalu kerap, perkara itu sedikit sebanyak menjejaskan fokus penonton yang sudah asyik dibuat nostalgia lagu-lagu klasik.
Durasi satu jam tiga puluh minit sejujurnya belum cukup untuk mencuri hati orang ramai terutama pelancong asing mengenai lagu Melayu asli, bagaimanapun sekurang-kurangnya dapat memperkenalkan keunikan yang ada di Malaysia.
Apapun, pujian harus diberikan atas kredibiliti Andre yang masih ampuh memperjuangkan lagu-lagu Melayu asli hingga kini. Pujian juga perlu diberikan kepada Dewan Filharmonik Petronas atas usaha mengangkat martabat warisan seni yang hampir dilupai generasi kini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: