BARISAN pelakon muda yang terdiri daripada Sari Yanti, Intan Ladyana, Tam Suhaimi dan Farish Aziz mempunyai cara tersendiri untuk memacu kerjaya seni mereka.
Berbekalkan pengalaman, mereka berganding bahu menghasilkan sebuah telemovie melalui syarikat penerbitan Mediaglo Sdn. Bhd. yang dimiliki Sari Yanti. Empat sahabat itu berkongsi kerusi pengarah untuk menghasilkan telemovie berjudul Pengancam Perkahwinan.
"Sebenarnya, saya ialah penulis skrip telemovie yang diterbitkan Sari Yanti itu. Intan merupakan penerbit eksekutif termasuk saya manakala Farish sebagai penerbit penyelaras," ujar Tam.
Bukan sahaja menjadi projek terbitan kawan-kawan, bahkan telemovie itu turut menampilkan rakan-rakan terdekat sebagai teraju utama apabila turut dilakonkan oleh Intan sebagai Ariana, Kilafairy (Melissa) dan Nadiya Nisaa (Maya).
"Para pelakon juga terdiri daripada kawan-kawan yang rapat. Ia pastinya memudahkan perjalanan untuk menyiapkan naskhah ini kerana komunikasi menjadi lebih mudah.
"Penggambaran juga siap dalam tempoh seminggu sekitar akhir bulan Ramadan yang lalu seperti yang dijadualkan," kata Tam ketika hadir dalam sesi fotografi bersama Sensasi Bintang di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Nadia menjelaskan bahawa peluang bekerja di bawah produksi 'kawan-kawan' itu memberinya kelebihan apabila berlakon dalam suasana yang lebih selesa.
"Saya bangga kerana dapat bekerja dengan syarikat produksi ini. Selain mengagumi bakat masing-masing, saya juga mengenali mereka.
"Ia secara tidak langsung memudahkan kerja kerana atmosfera yang lebih rapat. Berdasarkan sudut positif, hal itu memudahkan untuk kami berkongsi idea dan berbicara tentang soal karakter dengan lebih selesa," kata pelakon berusia 28 tahun itu.
Antara pelakon lain yang terlibat dalam naskhah arahan bersama Syahir Ismail dan Tam Suhaimi itu termasuklah Jonathan Putra sebagai Johan, Hafizul Kamal (Elyas) dan Nazrief Nazri (Danial).
Telemovie Pengancam Perkahwinan mengisahkan konflik mengenai dua orang sahabat lama iaitu Melissa dan Ariana. Bermula dari bangku sekolah sehingga mereka bertemu semula ketika bekerjaya, kedua-duanya sering bermasam muka.
Selepas 15 tahun meninggalkan bangku sekolah, Melissa bergelar seorang perunding perkahwinan manakala Ariana merupakan seorang perakam perkahwinan yang secara tidak sengaja dipertemukan pada majlis pernikahan Maya.
Namun, kedua-duanya masih terikat dengan konflik yang sekian lama berlarutan.
Telemovie Pengancam Perkahwinan akan ditayangkan pada Khamis ini di saluran Astro Ria (saluran 104) dan Astro Maya (saluran 135) pada pukul 9.30 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: