Tuesday, September 24, 2013

Pelajar AF 2013 terlalu mencuba


SAAT Darren diumumkan sebagai peserta yang tersingkir.


SELEPAS Sani, minggu kedua Konsert Akademi Fantasia 2013 bertemakan Inspirasi 15 Ikon Malaysia menyaksikan Darren peserta dari Pulau Pinang tersingkir apabila hanya meraih undian sebanyak empat peratus.
Juri tetap, Edry KRU menyifatkan lagu yang didendangkan Darren, Mentera Semerah Padi nyanyian asal Datuk M.Nasir tidak cukup bagus dan dan kelihatan agak aneh apabila dipersembahkan oleh Darren di atas pentas.
Bagaimanapun, Darren atau nama sebenarnya, Chin Teik Meng, 21, menerima penyingkirannya dengan hati yang terbuka dan akan meneruskan perjuangannya dalam bidang seni.
"Terima kasih kerana mengundi saya sebelum ini. Kegagalan hari ini bukan bermaksud saya akan berputus asa dengan cita-cita saya sebagai penyanyi.
"Walaupun perjuangan saya sampai di sini, saya akan terus berusaha dan kita akan jumpa lagi selepas ini," katanya ketika berucap sebelum meninggalkan pentas dengan menarik beg yang menjadi identiti program itu bagi pelajar yang tersingkir.
Minggu hadapan, sepuluh peserta yang bakal beraksi ialah Nur Nabila Razali (Nabila), 21, Nur Aisyah Aziz (Aisyah), 19, Siti Ruhailah Hussein (Indah), 23, Rasmawatie Mohd. Thamrin (Nona), 18, Nadia Amira Othman (Amira) 20 dan peserta duo wanita Irsa Sahabuddin, 26, dan Irmiza Sahabuddin, 23, (Irmisa).
Selain itu, Muhammad Ikhtiman Che Ismail (Iman), 23, Abdul Suhadah Unding (Suhada), 21, Mohd Faizul Sani (Faizul), 28, peserta duo lelaki, Mohd. Azhar Osman, 25, serta Hal Husaini Razmi, 25 yang menamakan diri mereka Azhael juga akan memberi saingan.
Bercakap tentang mutu persembahan pada konsert kedua boleh dikatakan pada tahap biasa, hanya Indah, peserta duo, Irmisa dan Azhael yang memberi suntikan yang berbeza,
Pelajar lain dilihat cuba menyanyikan lagu-lagu yang agak besar dan berat untuk mereka, sedangkan kemampuan vokal tidak setanding dengan lagu tersebut meskipun lagu tersebut dinyanyikan mengikut cara mereka sendiri.

PERSEMBAHAN penutup dengan lagu Menuju Puncak oleh para pelajar AF2013.


Paling ketara, Iman yang cuba menyanyikan lagu Yuna, Terukir Di Bintang dengan gayanya sendiri tetapi vokalnya tidak sampai, malah, suara sumbangnya jelas kedengaran.
Sejujurnya, tidak tahu bagaimana, Iman boleh terpilih sebagai pelajar kerana piawaian program Akademi Fantasia 20123 (AF2013) begitu tinggi selepas sembilan musim.
Begitu juga dengan Faizul yang menyanyikan lagu Pasti dendangan asal Ning Baizura dan Nabila dengan lagu Setiaku Di Sini dendangan asal Ziana Zain. Mungkin pelajar cuba membuktikan kemampuan diri mereka, tetapi diharap mereka harus ukur kemampuan vokal di badan sendiri terlebih dahulu sebelum memilih lagu.
Pelajar seperti Suhada, Amira, Aishah dan Nona diakui boleh menyanyi dengan baik tetapi persembahan mereka belum cukup memukau dan dibayangi oleh penyanyi asal lagu yang dipilih.
"Saya suka Aishah kerana penampilannya bagus tetapi nyanyi tidak sempurna. Tidak mahulah orang kata muka cantik tetapi nyanyi tidak sedap. Kalau dibetulkan pitching saya yakin awak akan jadi seorang penyanyi yang bagus," komen Roslan Aziz pada Aishah yang mendendangkan lagu Iris dendangan asal penyanyi Awie.
Walaupun ramai pelajar memberi persembahan biasa, tetapi penonton dikejutkan kononnya Nona tersingkir. Namun, hakikat sebenarnya pihak produksi AF2013 membenarkannya pulang ke kampung halaman di Sabah selama sehari selepas mendapati ibunya sakit buah pinggang.
Secara keseluruhannya, setakat minggu kedua konsert Akademi Fantasia 2013 yang berlangsung di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya, belum ada persembahan yang memukau daripada pelajar.
Sepatutnya dengan pengilham, Faizal Tahir dan tenaga pengajar AF2013 yang cukup berpengalaman seperti Fizz Fairuz, Shafi Sharif, Alam Wakaka dan Suhaili, tiada alasan untuk pelajar tidak memberikan persembahan yang bagus.
Selain tenaga pengajar, mereka juga diasuh oleh tiga orang pengilham iaitu Faizal Tahir, Datuk Siti Nurhaliza dan Melly Goeslow. Mungkin perjalanan mereka masih baharu dan diharap pada minggu hadapan tiada lagi kedengaran suara sumbang dalam konsert ketiga AF2013.
AF2013 bersiaran secara langsung setiap Sabtu pukul 9 malam di Astro Ria (104) dan Astro Maya (135) dan dihoskan oleh Zizan Razak, manakala Roslan Aziz, Edry KRU serta pelakon Sharifah Amani bertindak sebagai pengkritik tetap.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: