SEBELUM dijenamakan semula sebagai Se7enth Musafir, grup ini yang dianggotai oleh tujuh orang tampil dengan sebuah naskhah muzik islamik yang segar.
Enggan dilabel sebagai kumpulan nasyid biarpun menonjolkan imej Islam, sebaliknya Se7enth Musafir mahu dikenali sebagai sebuah kumpulan seniman jalanan yang menerapkan elemen keimanan.
"Sebenarnya kami bukanlah sebuah grup nasyid. Tetapi, kami mahu dikenali sebagai kumpulan street dakwah (dakwah jalanan) kerana konsep penyampaian kami juga berbeza dengan nasyid biasa.
"Muzik kami adalah tentang lagu-lagu keislaman yang digarap dengan irama yang lebih moden dan universal. Kalau boleh, Se7enth Musafir mahu membuat persembahan di lokasi-lokasi tumpuan anak muda dan penggiat seni jalanan seperti di kawasan Bukit Bintang," kata Zack mewakili rakan-rakannya.
Se7enth Musafir dianggotai oleh Zack dan Ustaz Sofian sebagai vokalis, Atan Kecik (gitar 1), Emal (gitar 2), Remy (perkusi), Lan Cina (Bes) dan A. Malek (perkusi).
Jelas mereka, nyanyian secara akapela itu bukan sahaja enak didengar, bahkan lirik yang ringkas menyebabkan lagu-lagu tersebut mudah menjadi halwa telinga pendengar.
"Se7enth Musafir ada dua orang vokalis. Tetapi, setiap orang daripada kami turut menyumbangkan suara pada bahagian tertentu dalam lagu secara harmoni.
"Lirik ringkas dan rentak mudah yang mendapat inspirasi daripada pelbagai genre lagu seperti dangdut, Nusantara, pop dan jaz turut diterapkan dalam lagu-lagu tersebut," kata Remy.
Yakin bahawa irama sedemikian sedang mendapat tempat dalam kalangan pendengar, A. Malik berkata, Se7enth Musafir juga menerima pelbagai maklum balas positif.
"Walaupun baru dilancarkan, sudah ramai pendengar cilik yang menghafal lagu Jom Ke Masjid kerana iramanya yang mudah melekap. Lebih menarik apabila kesemua lagu dalam album pertama kami turut diselitkan dengan alunan zikir.
"Baru-baru ini, ketika membuat persembahan secara langsung di konti sebuah saluran radio internet, pantas juruhebahnya menitiskan air mata ketika mendengar lagu yang didendangkan.
"Katanya, irama akustik sebegitu mudah meruntun jiwanya. Maklum balas positif seperti itu pastinya mengujakan kami dan memberi semangat untuk meneruskan usaha dakwah ini," kata A. Malek.
Se7enth Musafir yang ditubuhkan sejak hujung tahun lalu baru sahaja tampil dengan sebuah album terbitan Loonaq Records berjudul Se7enth Musafir: Jom Ke Masjid sejak Ramadan lalu.
Album itu mengandungi tujuh buah lagu termasuklah Palestin Berdarah, Musafir Ilallah, Semesta Bertasbih, Fatamorgana, Sepertiga Malam dan Hasbi Rabbi.
"Pada mulanya kami diminta oleh syarikat rakaman untuk memperkenalkan lagu single," kata Sofian.
Namun, katanya, pihak syarikat itu meminta mereka memperdengarkan banyak lagu.
"Pada akhirnya, syarikat itu setuju untuk menghasilkan album penuh dengan tujuh buah lagu.
"Kami difahamkan pihak berkenaan tertarik dengan kelainan yang ditampilkan dalam setiap lagu yang dicipta sepenuhnya oleh kami itu," kata Sofian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: