Saturday, September 21, 2013

Hans sasar filem tayang di Cannes


BARISAN tenaga lakonan utama pementasan Lawak Ker Der 3 (dari kiri), Yus Jambu, Nabil Ahmad, Douglas Lim, Harith Iskander dan Tauke Jambu.


APABILA mendiang ibunya menghembuskan nafas terakhir pada tahun lalu akibat kanser, ia merupakan satu kehilangan yang cukup besar buat penerbit, pengarah dan pelakon Hans Isaac.
Tambahan pula, sebagai seorang anak tunggal, Hans memang cukup rapat dengan ibunya, Carmina Anciano Isaac sehingga kecewa kerana tidak dapat menunaikan hasrat ibunya itu untuk melihat dirinya berumah tangga.
Sebagai mengenangkan jasa seorang ibu yang telah membesarkannya selama ini, Hans memberitahu bahawa dia bakal menghasilkan sebuah filem berbahasa Inggeris mengenai riwayat hidup mendiang ibunya yang diberi judul Carmina.
“Filem ini akan mula menjalani penggambaran pada tahun hadapan dan ceritanya berkisarkan kisah benar mengenai diri mendiang ibu saya sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Itu merupakan antara projek terawal saya untuk tahun hadapan dan buat masa ini saya ingin memberi fokus terhadap pementasan Lawak Ke Der 3 dan teater Supermokh dulu,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Bercerita tentang projek filem berkenaan, Hans memberitahu, dia akan menjalinkan kerjasama dengan syarikat produksi milik seorang rakannya di Singapura dan penggambaran dilakukan di negara tersebut.
Jelasnya, dia sekadar bertindak selaku penerbit, pengarah dan penulis skrip, tetapi tidak akan berlakon serta akan memulakan proses pemilihan pelakon yang sesuai memegang karakter mendiang ibunya itu.
“Saya menghasilkan filem Carmina bukanlah untuk tujuan komersial, sebaliknya ia lebih kepada tayangan untuk festival filem antarabangsa. Selain itu, saya sasar filem ini akan ditayangkan di Festival Filem Cannes.
“Berkenaan dengan kos pula saya akan menggunakan duit sendiri untuk menerbitkannya, cuma saya gunakan syarikat rakan saya itu dan dia telah memberikan persetujuan,” jelasnya.
Ketika ditanya tentang keputusannya itu menjalani penggambaran di luar negara, Hans menyatakan, ia terpaksa dilakukan kerana filem berkenaan berkaitan dengan isu sensitiviti.
HANS bersama Nik Kamaruzaman pada sidang akhbar mengenai penangguhan pementasan Lawak Ker Der 3 di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Jelasnya, kalau penggambaran dilakukan di Malaysia dan untuk pasaran tempatan, dibimbangi akan terdapat banyak potongan yang dilakukan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), sedangkan dia tidak mahu sebarang pemotongan terhadap filem tersebut.
“Kalau dihasilkan di Malaysia pastinya saya perlu berhadapan dengan pelbagai sekatan, berbanding di luar negara yang memberikan saya lebih kebebasan untuk berkarya,” ujarnya.
Menurut Hans, ia juga sebenarnya berkaitan dengan keputusan yang telah dibuatnya sebelum ini untuk tidak menerbit dan melaburkan wang untuk menghasilkan filem di Malaysia setelah kegagalan filem Lemak Kampung Santan.
Ditangguhkan
Pementasan Lawak Ke Der 3 yang sepatutnya berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 3 hingga 6 Oktober ini telah ditangguhkan ke bulan Disember.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya, Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata, penangguhan tersebut terpaksa dilakukan kerana Istana Budaya telah dipilih sebagai lokasi untuk sebuah persembahan kesenian sempena kehadiran Presiden China ke Malaysia pada 4 Oktober ini.
“Penangguhan ini ternyata sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana ia melibatkan kepentingan negara. Bagaimanapun, pementasan Lawak Ke Der 3 bukanlah dibatalkan terus, sebaliknya cuma ditangguhkan sahaja ke tarikh yang lain.
“Setelah berbincang dengan pihak penerbit iaitu NRG Enterprises, akhirnya keputusan dibuat untuk memilih 4 hingga 8 Disember ini untuk tarikh pementasan yang baharu,” ujarnya dalam satu sidang akhbar semalam.
Jelas Nik Kamaruzaman, bagi mereka yang telah membeli tiket untuk menonton pementasan tersebut boleh menyimpan tiket yang telah dibeli atau memulangkan semula ke pejabat Istana Budaya untuk mendapatkan semula wang.
Sementara itu, Hans Isaac selaku pengarah pula mengakui agak terkejut dengan penangguhan berkenaan setelah dihubungi oleh pihak Istana Budaya pada minggu lalu.
Ujarnya, segala promosi sudah dilakukan dan tenaga produksi telah bersedia untuk pementasan, tetapi mereka akur kerana kepentingan yang melibatkan kerajaan perlu diutamakan terlebih dulu.
“Apabila ditangguhkan, pihak Istana Budaya telah memberi kami dua pilihan untuk tarikh pementasan. Setelah difikirkan semasak-masaknya kami pilih tarikh 4 hingga 8 Disember ini.
“Tidak dinafikan penangguhan ini telah memberi sedikit tekanan, namun saya fikir dari sudut positif. Misalnya, tarikh yang dipilih itu merupakan cuti sekolah dan ia memberi peluang kepada pelawak untuk mengembangkan lagi idea masing-masing,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: